Khamis, 19 Januari 2023 | 10:05am
Rohaida (kiri) dan Siti Aidah menerima anugerah Ikon Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan 2022, baru-baru ini. NSTP/Mohd Amin Jalil.
Rohaida (kiri) dan Siti Aidah menerima anugerah Ikon Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan 2022, baru-baru ini. NSTP/Mohd Amin Jalil.
Penerima anugerah ikon asnaf MAINS membabitkan usahawan dan anak asnaf yang berjaya dalam pelajaran. NSTP/Mohd Amin Jalil.
Penerima anugerah ikon asnaf MAINS membabitkan usahawan dan anak asnaf yang berjaya dalam pelajaran. NSTP/Mohd Amin Jalil.

Berjaya ubah nasib hidup selepas ceburi bidang keusahawanan

SEREMBAN: Kehilangan tempat bergantung membuatkan dua ibu tunggal bertekad membina kehidupan lebih baik dengan mengusahakan bidang keusahawan hasil bantuan dan sokongan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Malah, menerusi usaha dan semangat yang tinggi dalam bidang keusahawanan menjadikan kedua-duanya terpilih sebagai Ikon Usahawan Asnaf MAINS 2022.

Rohaida Mustapa dan Siti Aidah Ahmad, masing-masing berusia 51 tahun bergelar asnaf selepas kedua-dua mereka kematian suami, tetapi bangkit mengubah nasib hidup dengan menyertai Program Pembangunan Keusahawanan MAINS di bawah kursus My Bidan.

Malah, kini, kedua-dua mereka bebas daripada status asnaf selepas mereka mengusahakan bidang urutan.

Rohaida berkata, memang pada awalnya beliau bagaikan kehilangan nyawa apabila suaminya meninggal dunia pada 2004 ditambah pula perlu menyara tiga anak yang masih kecil.

Katanya, ketika itu kehidupannya menjadi sukar, tambahan pula arwah suaminya tidak meninggalkan sebarang harta untuknya sekeluarga.

"Demi kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak, saya buat macam-macam kerja temasuk kerja kontrak, sebagai pekerja pembersihan dan pembantu kedai makan hanya untuk memastikan anak-anak ada makan dan minum.

"Sekarang ini, Alhamdulillah dengan kemahiran mengurut ini, saya mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 selepas menyertai program di bawah MAINS, seterusnya dapat mengubah hidup saya," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan di Seremban, baru-baru ini.

Majlis Anugerah Ikon Keusahawanan Asnaf MAINS 2022 itu disempurnakan oleh Setiausaha MAINS, Zainal Said.

Dengan kejayaan mengubah hidup, Rohaida dari Seremban, berkata beliau menyasarkan untuk keluar daripada kategori asnaf dan membantu golongan asnaf lain keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Saya ingin terus berjaya dalam bidang perniagaan ini dan keluar daripada senarai penerima zakat serta bantuan daripada MAINS tahun depan," katanya.

Sertai kursus My Bidan

Siti Aidah dari Senawang, berkata beliau mengusahakan spa bergerak dan kini perniagaannya semakin bertambah baik.

Menurutnya, beliau bergelar asnaf pada 2018 selepas kematian suami dan pelbagai kerja dilakukannya termasuk bekerja di pasar raya untuk menyara tiga anak.

"Saya bersyukur pada 2021, saya diberi peluang menyertai program kursus My Bidan anjuran MAINS.

"Ternyata program itu amat baik dan mampu memberi pendapatan yang baik. Ketika ini ramai yang mahu menggunakan khidmatnya bukan sahaja sekitar Seremban, malah dari luar daerah itu," katanya yang kini mampu memperoleh lebih RM3,000 sebulan.

Siti Aidah berkata, menjadi harapannya tidak mahu dibantu buat selama-lamanya dan mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang mampu memberi bantuan kepada orang lain.

"Saya malu untuk duduk di dalam kalangan asnaf terlalu lama. Saya bukannya nak kaya, tapi cukup untuk menampung hidup anak beranak.

"Terima kasih kepada MAINS dan pihak lain yang sudi membantu. Saya bersyukur kerana kehidupan saya kini mula berubah dan apa yang penting dapat membesarkan tiga anak," katanya.

MAINS tawar kursus keusahawanan

Sementara itu, Zainal berkata MAINS mahu memastikan lebih ramai lebih ramai golongan asnaf dan penerima bantuan zakat di negeri itu bebas daripada senarai asnaf melalui pelbagai program yang disediakan.

Program pembangunan keusahawanan mendapat sambutan baik dan membolehkan asnaf mendapat bimbingan serta latihan, selain bantuan modal mengusahakan perniagaan.

Katanya, sepanjang 2022 seramai 150 orang asnaf di negeri ini mengambil bahagian dalam program itu.

"Kita menawarkan pelbagai bidang kursus keusahawanan antaranya My Bidan, ternakan kelulut, usahawan Quickwin Asnaf (masakan gerai makan), program pemasaran melalui WhatsApp dan bekam.

"Program peningkatan kualiti persembahan produk usahawan, kursus kemahiran membaiki telefon dan kursus usahawan apam balik yang membabitkan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk kerajaan dan swasta," katanya.

Secara keseluruhannya seramai 893 asnaf menerima manfaat dan bantuan keusahawanan MAINS secara 'one-off' membabitkan peruntukan lebih RM1.7 juta sejak program itu dimulakan pada 2018.

MAINS juga membantu dari segi kewangan kepada anak-anak asnaf yang sedang belajar sama ada di institusi pengajian tinggi mahukan peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Tahun lalu, lebih RM4.38 juta disalurkan kepada anak-anak asnaf yang sedang belajar.

"Selain itu, MAINS turut menyediakan bantuan tambahan di bawah Program MAINS-PEKA (Prihatin Ekonomi dan Keperluan Asas Asnaf), sebanyak RM500 setiap seorang kepada golongan asnaf dan pelajar yang memerlukan membabitkan jumlah RM1.1 juta," katanya.

Berita Harian X