KUALA LUMPUR: Purata gaji dan upah bagi graduan lelaki dan perempuan berkelulusan ijazah menunjukkan terdapat jurang hampir 20 peratus, sekali gus menjadi penyebab utama wanita mempunyai simpanan yang sedikit berbanding lelaki.
Pakar perunding kewangan, Rohani Shahir, berkata berdasarkan laporan Statistik Siswazah 2019 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji graduan lelaki adalah sekitar RM7,055 manakala wanita ialah RM5,348.
Katanya, selain itu pekerja lelaki masih mendominasi pekerjaan berisiko yang menawarkan gaji lumayan, manakala sektor kerja yang dipelopori wanita kebanyakannya adalah dari sektor yang berpendapatan kecil dan sederhana.
"Dari segi sektor awam, hanya 22.7 peratus golongan wanita berada di peringkat penjawat awam dan pembuat keputusan yang bergaji tinggi.
"Manakala di sektor swasta, hanya 27 peratus wanita menjadi ahli lembaga pengarah dan peratusan itu masih sedikit berbanding lelaki, berdasarkan laporan Penyertaan Wanita dalam Ekonomi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2020," katanya kepada BH.
Rohani menjelaskan, tempoh masa perkhidmatan pekerja wanita juga menjadi antara menyumbang kepada simpanan yang rendah berbanding lelaki.
Katanya, sesetengah pekerja wanita terpaksa berhenti kerja sementara untuk memberi laluan bagi membesarkan anak-anak, berpindah mengikut suami atau bersara awal apabila tiada tanggungan lagi.
"Disebabkan faktor-faktor itu ramai wanita mempunyai tabungan sedikit berbanding lelaki terutamanya caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Apabila tangga gaji lebih rendah dari lelaki, kesudahannya tabungan persaraan mereka juga terkesan," katanya.
Melihat kepada keadaan itu, beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh wanita terutama dalam menjalankan perniagaan dalam talian amatlah wajar dalam usaha untuk menyimpan demi hari tua mereka.
"Terdapat 98,194 pencarum aktif di KWSP berusia 54 tahun, di mana pencarum lelaki adalah berjumlah 54,481 orang, manakala pencarum wanita adalah 43,713 iaitu perbezaan sebanyak 10.96 peratus.
"Purata simpanan pencarum aktif berusia 54 tahun adalah RM483,947, di mana pencarum lelaki mempunyai simpanan 58.78 peratus melebihi pencarum wanita yang dipetik daripada Laporan Tahunan KWSP 2021," katanya.
Dasar wanita terpinggir perlu dirangka
Berdasarkan situasi itu, beliau berpendapat, dasar mengenai wanita terpinggir harus dirangka berlandaskan fakta.
"Berdasarkan pandangan saya, ramai wanita berada di sektor perkilangan dan kebajikan mereka harus dibela.
"Selain itu, wanita yang menjalankan perniagaan diberi peluang dan disarankan untuk mendaftarkan diri dalam mana-mana agensi kerajaan yang dapat memberi peluang perniagaan untuk mereka.
Wanita yang menjalankan perniagaan dalam talian disarankan membuat caruman ke KWSP untuk persaraan mereka, manakala wanita yang ceburi perniagaan secara sosial enterprise, harus berdaftar di kementerian berkaitan untuk menjadi rakan strategik," katanya.