Jumaat, 16 Disember 2022 | 1:21pm
Dr Long Seh Lin mahu memperjuangkan program konservasi penyu elak diancam kepupusan dan bagi tingkatkan pembangunan ekonomi komuniti di Terengganu. - Foto/Ihsan UMT
Dr Long Seh Lin mahu memperjuangkan program konservasi penyu elak diancam kepupusan dan bagi tingkatkan pembangunan ekonomi komuniti di Terengganu. - Foto/Ihsan UMT

Dr penyu giat laksana program konservasi, elak pupus

KUALA TERENGGANU: Minat mendalam terhadap pemuliharaan penyu daripada berhadapan ancaman kepupusan, membuatkan seorang penyelidik giat melaksanakan program konservasi haiwan berkenaan di Terengganu.

Justeru, Pengurus Projek Lang Tengah Turtle Watch (LTTW), Dr Long Seh Ling, mengadaptasi pengalaman sebagai pembantu penyelidik ketika bertugas di Costa Rica dalam aspek pemuliharaan berkaitan penyu untuk juga mahu memperjuangkan program konservasi haiwan itu bagi meningkatkan pembangunan ekonomi komuniti di Terengganu.

Katanya, bertepatan dengan penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951, yang dipinda baru-baru ini beliau menganggap negeri itu sudah bersedia menjadikan sektor pelancongan berasaskan penyu sebagai tarikan utama.

Oleh itu, pembabitan beliau dalam projek konservasi penyu di Pulau Perhentian, khususnya dilakukan juga bertujuan mengelak penjualan telur penyu secara komersial.

Katanya, usaha konservasi penyu negara banyak tertumpu kepada usaha memahami tingkah laku dan peranan yang dimainkan oleh haiwan ini dalam persekitaran.

Justeru, berbeza dengan anak jati kelahiran Kuala Terengganu itu, yang membawakan suatu dimensi baharu dalam usaha konservasi penyu di negeri yang terkenal dengan sejarah penyu belimbing ini.

"Untuk menyelamatkan penyu, bukan sahaja perlu memahami penyu, bahkan perlu memahami masyarakat yang berhubung kait dengan haiwan itu. Dimensi ini, amat penting kerana usaha konservasi penyu perlu bersifat inklusif, dan tidak sewajarnya meminggirkan soal kelangsungan hidup komuniti," katanya.

Di Terengganu, usaha konservasi penyu di sepanjang 244 kilometer (km) pantai negeri ini membabitkan kaedah pajakan pantai. Sistem yang diamalkan sejak lebih separuh abad yang lalu ternyata berhasil membantu pihak kerajaan dalam mengumpulkan telur penyu ketika musim persarangan.

Beliau berkata, usaha konservasi di Costa Rica, umpamanya bermula sejak 1950-an membuahkan hasil dengan hampir 300 ekor penyu mendarat di sepanjang 8 kilometer (km) pantai pada satu malam ketika puncak musim persarangan.

Perkara ini memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada beliau dalam mempelajari kaedah pemantauan persarangan penyu.

Beliau turut menyaksikan sendiri bagaimana komuniti setempat di negara terbabit mampu meraih pendapatan sampingan dengan penawaran produk pelancongan seperti melihat penyu bertelur.

Untuk mengurangkan impak aktiviti ekopelancongan ini ke atas penyu bertelur, Turtle Spotter Project diwujudkan. Hanya renjer yang akan meronda pantai dan memaklumkan kepada kumpulan pemandu pelancong yang menunggu bersama pelancong.

Mengulas mengenai penerimaan Anugerah Khas Pengarah, pada majlis anugerah pelajar Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) bersempena Majlis Konvokesyen UMT ke-20 pada Sabtu, lalu, beliau menyifatkan ia amat bermakna dalam mengenang kembali cabaran ketika menyiapkan kajian memerlukannya menterjemah dan mengolah kembali dapatan dalam bentuk temuramah ke dalam penulisan saintifik.

Selepas menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam jurusan Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, beliau menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di University of Exeter dalam bidang Pemuliharaan dan Biodiversiti.

Berita Harian X