LANGKAWI: Seramai 25 pendayung wanita mencatat sejarah tersendiri selepas menamatkan misi berkayak sejauh 150 kilometer (km) mengelilingi pulau ini, semalam.
Selain memerah kudrat, wanita berusia antara 22 hingga 62 tahun turut memperoleh pengalaman berkhemah dan bermalam di pantai sepanjang empat hari ekspedisi.
Turut serta dalam aktiviti lasak itu pesilat olahraga negara, Rina Jordana Adnan, 42.
Ketika ditemui, Rina Jordana, berkata dia dan rakan gembira dapat menyelesaikan misi walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran, terutama ombak besar dan arus kuat.
"Alhamdulillah, dayungan dan aktiviti berkhemah mengelilingi pulau legenda Mahsuri selama empat hari berakhir dengan jaya tanpa sebarang insiden buruk.
"Semua peserta menyatakan komitmen tinggi untuk sertai lagi ekspedisi mencabar seperti ini jika diadakan lagi pada masa hadapan," katanya ketika ditemui di sini.
Penganjur, Mohd Khairi Md Nanyan berkata, misi bermula di Akademi Kastam Diraja Malaysia cawangan Langkawi di Bukit Malut di sini pada Isnin lalu dan berakhir di tempat sama, jam 1.30 tengah hari semalam.
"Ekspedisi ini agak mencabar kerana peserta bukan sahaja mendayung pada waktu siang, malah mereka turut berbuat demikian pada waktu malam, khususnya pada hari pertama.
"Antara cabaran lain, mereka juga terpaksa menempuh keadaan cuaca ekstrim iaitu panas terik, selain angin kuat dan hujan lebat serta arus kuat," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Ekspedisi Kayak Wanita di Telaga Walk di sini, malam tadi.