KUALA LUMPUR: Risau, takut, malu, kurang maklumat, tidak berani dan konflik peribadi antara alasan yang menghalang wanita untuk membuat laporan terhadap kes penderaan atau keganasan rumah tangga yang dilalui mereka.
Kaunselor Berdaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata masih ramai wanita tidak mempertahankan hak dan kebajikan diri disebabkan stigma serta persepsi berkenaan.
Justeru, isu penderaan atau keganasan dalam rumah tangga sering kali berlaku membabitkan perkara itu sehingga membelenggu emosi wanita.
"Mangsa juga mungkin faham dan sedar ada peruntukan undang-undang sedia ada boleh membendung jenayah ini, tapi berdiam diri.
"Malah, kebanyakan mangsa rasa berbelah bagi untuk mengambil apa-apa tindakan atas alasan masing sayangkan hubungan perkahwinan, masa depan suami isteri dan anak-anak serta risaukan persepsi masyarakat.
"Banyak kes yang pernah didakwa sekalipun, kemudiannya tidak dapat diteruskan di mahkamah kerana mangsa tidak mahu hadir memberikan keterangan semasa perbicaraan kerana masih sayangkan pelaku, iaitu suami," katanya.
Beliau berkata, sekiranya mangsa tidak mahu melaporkan jenayah ini atau tidak mahu bekerjasama, rakan atau jiran perlu tampil ke hadapan bagi mencegah keganasan ini.
"Pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) memberikan beberapa saranan dan langkah untuk berhadapan dengan keganasan rumah tangga.
"Pertama adalah buat laporan polis di balai berhampiran dan kebiasaannya polis akan meminta mangsa untuk ke hospital segera untuk pemeriksaan lanjut.
"Untuk makluman, hospital mempunyai Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital kerajaan yang terletak di wad kecemasan dan trauma untuk mangsa membuat laporan.
"Seterusnya, membuat pengaduan di pejabat kebajikan masyarakat daerah berhampiran," katanya.
Masyarakat perlu jadi mata dan telinga
Beliau berkata, faktor provokasi, kegawatan ekonomi, masalah kewangan, pengangguran, kekecewaan dalam hidup, sikap cemburu yang keterlaluan atau sifat panas baran menjadi pendorong perilaku penderaan ini.
Kebanyakan pendera menggunakan helah bela diri, kononnya dapat menyelesaikan masalah mereka dan menguasai orang lain. Mereka tidak pernah sedar dan ingin bertanggungjawab terhadap tingkah laku itu.
"Keluarga sejahtera bermula dari kita. Memperkasakan diri menerusi ilmu dan pendidikan pembangunan keluarga seperti kemahiran keibubapaan, persediaan perkahwinan dan pembangunan identiti remaja.
"Selain mengamalkan sikap dan amalan positif dalam menguruskan hidup berkeluarga," katanya.
Namun, untuk membendung isu ini, Siti Fatimah menegaskan perlu ada peranan orang sekeliling membantu, selain menginsafi betapa sengsaranya mangsa dera sama ada dari segi fizikal mahupun mental.
Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan kes dera dengan segera.
"Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar, iaitu laksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam menangani kes dera.
"Meneliti punca kes dera secara analitikal dan praktikal. Jika disebabkan masalah kesempitan hidup, masyarakat perlu dibantu menerusi pelbagai sumber sokongan dalam meningkatkan pendapatan keluarga.
"Peranan badan agama setempat juga perlu dititikberatkan. Misalnya, usaha untuk menyedarkan pelaku bahawa penderaan itu jenayah yang tidak berperikemanusiaan.
"Negara kita mempunyai undang-undang. Segala hukuman yang setimpal akan diselaraskan menerusi proses pengadilan yang sewajarnya.
"Sebagai contoh, menerusi Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) bertujuan mengadakan peruntukan bagi perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga.
"Isu sosial ini boleh membawa kepada keruntuhan masyarakat sekiranya tidak dibendung. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 adalah satu undang-undang yang memberi perhatian yang khusus dalam hal-hal keganasan rumah tangga," jelas Siti Fatimah.