Rabu, 22 Jun 2022 | 9:23am
Dr S Kumar (Kiri), Dr Amsary dan Bibi Sunita ketika MoU berkaitan kerjasama bagi mewujudkan Pusat Kerjaya Hospitaliti Wanita, baru-baru ini. - Foto/Ihsan Bibi Sunita
Dr S Kumar (Kiri), Dr Amsary dan Bibi Sunita ketika MoU berkaitan kerjasama bagi mewujudkan Pusat Kerjaya Hospitaliti Wanita, baru-baru ini. - Foto/Ihsan Bibi Sunita

Lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk wanita B40

KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan Pusat Kerjaya Hospitaliti Wanita yang diterajui Humanity Workplace Centre (HWC) dalam usaha membantu ketua isi rumah wanita terutama daripada golongan ibu tunggal yang memiliki tanggungan ramai meningkatkan taraf hidup mereka.

Pusat Kerjaya Hospitali Wanita itu adalah kerjasama strategik antara Asia e University dan DHS Hospitaliti Akademi, bersama HWC yang bukan sahaja menawarkan latihan dalam bidang hospitaliti dan makanan, malah, turut memberikan sijil kemahiran serta peluang pekerjaan sebaik saja tamat latihan.

Pengasas HWC, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata pusat itu dilancarkan pada awal bulan ini dan membuka peluang kepada semua wanita di seluruh negara.

Katanya, HWC adalah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan antaranya Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) dan Kelab Anak Muda Inovasi (MUDA) yang berperanan mencari peserta wanita dari setiap pelosok negara.

"Nama peserta yang berdaftar dan dikenal pasti berminat untuk menceburi bidang hospitaliti serta makanan akan diserahkan kepada DHS Hospitaliti Akademi.

"DHS kemudian berperanan mencari industri yang akan menyediakan latihan kepada peserta selama 12 bulan berserta elaun bulanan, tempat tinggal, makanan, insurans dan juga pakaian seragam," katanya kepada BH.

Majlis menandatangani perjanjian (MoU) berkaitan kerjasama mewujudkan Pusat Kerjaya Hospitaliti Wanita diadakan, baru-baru ini dihadiri Pengarah Kumpulan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd, Dr S Sri Kumar dan Pengasas Asia e University, Prof Datuk Dr Ansary Ahmed.

Bibi Sunita berkata, sebaik sahaja peserta menamatkan latihan selama 12 bulan, mereka akan diberikan sijil kemahiran dari Asia e University dan diserap masuk ke dalam industri.

Menerusi inisiatif itu, peserta diberikan peluang pekerjaan dan mempunyai asas kemahiran serta sijil yang membolehkan mereka mencari peluang pekerjaan lebih baik.

"Sasaran kami bukan hanya wanita generasi muda lepasan sekolah, malah mereka yang berusia sehingga 65 tahun juga turut digalakkan menyertai program ini.

"Hasil analisis mendapati ramai golongan wanita hilang punca pendapatan atau sumber mata pencarian, terutama selepas dilanda pandemik COVID-19. Keadaan ini menjadikan mereka susah untuk meneruskan kehidupan sehingga ada yang terpaksa menjadi gelandangan," katanya.

Tambahnya, pihak HWC turut mengalu-alukan pembabitan NGO lain ke dalam program itu.

Katanya, beliau mensasarkan 50 NGO untuk bergabung dengan WHC dan mempunyai wakil di setiap negeri.

Menjawab soalan berhubung keperluan menjalani latihan industri selama 12 bulan sebelum diserap masuk, Bibi Sunita, berkata ia bertujuan memberikan mereka pengetahuan mengenai bidang yang akan diceburi.

Katanya, kurang sambutan terhadap pekerja tempatan kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dan memahami skop tugas yang diberikan.

"Berbanding pekerja asing yang sudah diberikan latihan, kebanyakan warga tempatan tidak mempunyai asas yang kukuh.

"Oleh itu, Pusat Kerjaya Hospitaliti Wanita membantu menyelesaikan masalah itu," katanya.

Antara syarikat yang akan bekerjasama antaranya ialah Old Town White Coffee, The Chicken Rice Shop, Ippudo Japanese Cuisine dan Simple Life Vegetarian Restaurant Shiok Kopitiam.

Berita Harian X