Khamis, 16 Jun 2022 | 10:44am
Rina (dua dari kiri) bersama Micheal Newbill (dua dari kanan)san Nuraizah pada majlis pelancaran AWE di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto/Amirudin Sahib
Rina (dua dari kiri) bersama Micheal Newbill (dua dari kanan)san Nuraizah pada majlis pelancaran AWE di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto/Amirudin Sahib

70 usahawan tempatan ikuti program anjuran kerajaan AS

KUALA LUMPUR: Seramai 70 usahawan wanita berpeluang menyertai Akademi Usahawan Wanita (AWE), iaitu program kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Wanita Global.

Usahawan yang dipilih menerusi kohort ketiga itu adalah dari enam negeri, meliputi Lembah Klang, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Program selama setahun yang turut mendapat kerjasama Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA) itu akan didedahkan dengan program pembelajaran dalam talian, latihan kemahiran, bimbingan dan sokongan mentor.

Kuasa Usaha Kedutaan AS, Michael Newbill, berkata AWE adalah sebahagian daripada kempen 'Embassy's Wanita Empowered' bertujuan menggalakkan kesaksamaan dalam peluang yang ada, menyokong pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia.

Katanya, program berkenaan memberi banyak manfaat terhadap wanita kerana kejayaan mereka bukan untuk diri sendiri tetapi terhadap keluarga, masyarakat dan negara.

"Saya percaya kejayaan usahawan wanita ini mampu menjadi dorongan kepada wanita lain yang turut berhasrat berjaya dalam kehidupan mereka dalam bidang perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran AWE di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Turut hadir Presiden WENA, Nuraizah Shamsul Baharin.

Newbill berkata, susulan program berkenaan Malaysia akan menjadi tuan rumah penganjuran AWE Asia Timur dan Sidang Kemuncak Pasifik yang dijadualkan pada Mac tahun hadapan.

Katanya, ia akan menghimpunkan usahawan wanita dari 10 negara di rantau itu bagi meraikan pencapaian dan berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan.

"Kita akan menjemput peserta dari 10 negara untuk datang ke Malaysia bagi berkongsi amalan terbaik mereka.

"Selain itu, ia akan berbincang mengenai bagaimana aktiviti eksport dan dagangan antara negara termasuk cabaran yang dihadapi usahawan wanita, dan cara mereka mengatasinya," katanya.

Sidang kemuncak berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu meningkatkan sumber kewangan, membina rangkaian serta usaha mengembangkan perniagaan sama ada dalam talian atau secara fizikal.

Komponen dalam usaha itu termasuk bimbingan dengan semua usahawan wanita terbabit akan mempunyai mentor.

Nuraizah berkata, menjelang sidang kemuncak berkenaan, negara yang terbabit akan mengadakan pertemuan secara dalam talian terlebih dahulu yang akan diadakan antara Januari hingga Februari depan.

Beliau melihat sidang kemuncak itu amat penting untuk mengukuhkan semula perniagaan terutama dalam kalangan usahawan wanita yang terjejas pada pandemik COVID-19.

"Saya berharap sidang yang akan masuk ke tahun ketiga ini akan berjalan dengan lancar dengan pertambahan Papua New Guinea yang akan kali pertama menyertainya nanti," katanya.

Mengulas mengenai AWE, beliau berkata program yang diadakan sejak tahun 2020 itu bermula dengan penyertaan 30 usahawan wanita terpilih sahaja.

Namun katanya, ia kini berjaya menghimpunkan seramai 180 usahawan wanita yang mahu berjaya dan bangkit semula selepas terkesan dengan COVID-19 lalu.

"Kali pertama program ini diadakan, kita mendapat penyertaan sehingga 700 orang, tetapi ketika itu hanya seramai 30 usahawan wanita terpilih menyertainya.

"Mereka terdiri daripada usahawan kecil dari pelbagai perniagaan termasuk produk makanan dan pendidikan kanak-kanak yang dipilih dari Lembah Klang, Kedah, Kelantan dan Sabah.

"Sebelum ini, program ini hanya dilaksanakan di Afrika dan AS, namun pada 2020, ia diperluaskan di Asia dengan pelancarannya diadakan di Malaysia ketika itu," katanya.

Berita Harian X