Sabtu, 4 Jun 2022 | 5:08pm
Zarina bersama anak dan suami yang sentiasa memberi sokongan dalam menjalani kehidupan sebagai OKU. Foto Ihsan Zarina
Zarina bersama anak dan suami yang sentiasa memberi sokongan dalam menjalani kehidupan sebagai OKU. Foto Ihsan Zarina

Bersyukur 30 tahun dapat lihat dunia

Kuala Lumpur: Hanya 30 tahun berkesempatan melihat pemandangan dalam kelam sebelum nikmat pancaindera ditarik Tuhan, pegawai khidmat pelanggan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), namun Zarina Aziz, 41, tetap cekap melaksanakan tugasan meskipun keadaan mata yang gelap-gelita.

Zarina yang juga telefonis di jabatan itu sejak 2010 tetap bersyukur sekurang-kurangnya pernah melihat berbanding ada orang kelainan upaya (OKU) lain yang buta sejak dilahirkan.

Katanya, cabaran bertugas sebagai telefonis sentiasa ada kerana beliau perlu menghafal nombor telefon di setiap sambungan jabatan di JAWI memandangkan telefon sedia ada jenis yang biasa.

Zarina bersyukur pernah melihat berbanding OKU lain buta sejak dilahirkan. Foto Ihsan Zarina
Zarina bersyukur pernah melihat berbanding OKU lain buta sejak dilahirkan. Foto Ihsan Zarina

"Di JAWI tiada kemudahan dari segi penyediaan tulisan braille dan tiada perisian suara. Tetapi saya mampu melaksanakan tugas.

"Saya bersyukur dalam keadaan seperti ini majikan tetap prihatin dengan kebajikan termasuk bertanya khabar, ambil peduli mengenai tugas dan perkara lain yang boleh membantu saya lebih berdikari," katanya.

Beliau memahami untuk menyediakan peralatan itu memerlukan kos yang tinggi. Namun, beliau berpandangan kerajaan perlu beri peluang pekerjaan kepada OKU dalam perkhidmatan awam dengan kemudahan mesra OKU.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu, berkata kerjasama antara kerajaan dan persatuan amat penting bagi memastikan apa keperluan dimahukan, selain mengutamakan keselamatan golongan itu.

"Sama seperti prasarana lain, kita lihat sudah ada laluan pejalan kaki khas dan kemudahan khas lain untuk OKU, meskipun hanya lokasi tertentu," katanya.

Mengimbas mengenai situasi hilang penglihatan, Zarina yang sentiasa reda dengan ketentuan takdir berkata, pada awalnya beliau adalah insan normal, cuma mengalami masalah rabun mata sejak kecil lagi.

Saban tahun penglihatannya semakin teruk dan ketika usia 22 tahun ketika belajar di Politeknik, berita buruk diterima apabila hasil pemeriksaan doktor mendapati dirinya menghadapi masalah glukoma pada tahap teruk.

"Saya tidak perasan mengenai masalah mata kerana sering memakai cermin mata dan beranggapan mungkin 'power' semakin bertambah, tetapi sebaliknya doktor memaklumkan penglihatan mata kiri saya tidak lagi berfungsi, manakala mata kanan hanya 20 peratus.

"Bagaikan terpana dengan kata-kata doktor itu, namun apa yang boleh dilakukan lagi, hanya bersedia dengan semua kemungkinan dihadapi, iaitu buta selama-lamanya.

"Bohong kalau saya tidak merasa 'down', tetapi apa daya, itu adalah takdir saya. Namun, bersyukur kerana sempat menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Akaun hingga tamat praktikal dengan penglihatan yang sangat terhad," katanya.

Jelasnya, sebaik tamat pengajian, beliau terperap di rumah di Kuala Krai, Kelantan selama lima tahun kerana tidak mempunyai pendedahan cara bagaimana untuk keluar daripada kepompong masalah itu dan 'down' kerana tidak mampu seiring dengan rakan lain.

"Alhamdulillah, mungkin Tuhan nak bantu saya apabila kakak ipar terlihat mengenai Persatuan Orang Buta di Brickfields dan menyuruh saya mendaftar pada tahun 2005 untuk mengikuti kursus operator, asas braille dan komputer dengan perisian suara bagaimana cara untuk menjawab panggilan.

"Bersyukur sangat kerana saya dapat keluar daripada zon itu dan mengubah diri menjadi lebih baik," katanya.

Lebih membanggakan beliau berjaya menempatkan diri dalam perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di JAWI sejak 2010 hingga sekarang.

"Kali pertama memohon, saya terus diterima bekerja dan kerjaya ini sesuai dengan keadaan penglihatan sangat terhad. Ketika itu saya mengandung anak pertama dan bersyukur sempat melihat anak membesar selama setahun, sebelum pada suatu pagi, saya bangun, pemandangan bertukar gelap semuanya.

"Ketika itu saya faham dan bersedia dengan semua ketentuan itu," katanya yang berkahwin dengan golongan OKU dan mempunyai dua cahaya mata.

Berita Harian X