Khamis, 26 Mei 2022 | 10:22am
Siti Normala di Rawatan Rapi Bayi (NICU), Kompleks Perubatan Raja Faisal, Taif, Arab Saudi bagi menjaga dan merawat bayi pramatang. - Foto/Ihsan Normala
Siti Normala di Rawatan Rapi Bayi (NICU), Kompleks Perubatan Raja Faisal, Taif, Arab Saudi bagi menjaga dan merawat bayi pramatang. - Foto/Ihsan Normala

Jaga bayi pramatang sebesar tapak tangan

KUALA LUMPUR: Menjaga, mengawasi serta merawat bayi pramatang yang dilahirkan, saiz sebesar tapak tangan dengan berat kira-kira 500 gram memerlukan keampuhan mental dan fizikal bagai mengelak sebarang komplikasi serius.

Itulah antara liku bidang tugas Siti Normala A Rahman sebagai pakar kejururawatan dengan menerima antara lima hingga enam bayi pramatang sehari yang di tempatkan di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), Kompleks Perubatan Raja Faisal, Taif, Arab Saudi.

Siti Normala, 35, jururawat dari Malaysia yang menerima anugerah Jururawat Cemerlang, pada April lalu, daripada hospital berkenaan hanya selepas enam bulan bertugas di Taif, mengakui 'alah bisa tegal biasa', apabila tanggungjawab itu digalas dengan baik, selain perlu bijak mengendalikan emosi ketika menjaga dan merawat bayi pramatang yang lahir dengan pelbagai isu kesihatan.

"Ada antaranya lahir dalam saiz sebesar tapak tangan. Malah lebih memilukan apabila ada bayi yang tidak mempunyai anggota badan yang lengkap.

"Di sini, saya membantu doktor menyambut kelahiran bayi yang sihat, tetapi bertugas menjaga dan merawat bayi pramatang di Taif.

"Saya merawat bayi pramatang yang dilahirkan dari pelbagai negara termasuk dari Sudan, Yamani dan Mesir yang berdepan pelbagai masalah kesihatan yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta memerlukan inkubator dan ventilator

"Ada antaranya lahir seberat 500 gram atau sebesar tapak tangan. Malah, ada yang lahir tanpa kaki dan tangan.

Siti Normala (kanan) bersama jururawat lain dari pelbagai negara galas tanggungjawab jaga dan merawat bayi pramatang. - Foto/Ihsan Normala
Siti Normala (kanan) bersama jururawat lain dari pelbagai negara galas tanggungjawab jaga dan merawat bayi pramatang. - Foto/Ihsan Normala

"Saya cukup tersentuh dengan keadaan bayi ini. Ada masanya sedih dan menangis tetapi jiwa harus kuat demi melaksanakan tugas diamanahkan," katanya kepada BH.

Ditanya motivasi utamanya berkhidmat di Taif, Siti Normala yang pernah menjadi tenaga pengajar jururawat klinikal di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) berkata, menjadi impiannya sejak masih bergelar pelajar kejururawatan untuk mencari pengalaman bekerja di luar negara.

Meskipun tidak menafikan faktor gaji turut menjadi tarikan, tetapi anak jati Pantai Peringgit, Melaka ini mahu menimba lebih banyak pengalaman dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang kejururawatan di negara asing.

Sebagai 'kaki' melancong, berkhidmat di luar negara menjadi impian Siti Normala sejak awal lagi, tambahan lagi apabila mengetahui akan ditempatkan di Taif, yang hanya 45 minit perjalanan dari Makkah.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk merindui suaminya, Mohd Hafiz Seninudin, 37, di tanah air, namun sokongan padu itu juga adalah antara rahsia di sebalik kejayaannya.

"Setiap hari saya akan hubungi suaminya sebaik saya bangun dari tidur bagi memohon restunya dalam pekerjaan. Beza waktu lima jam antara Malaysia dan Arab Saudi tidak menjadi halangan kami untuk saling berhubung.

Selain itu, lokasi hospitalnya yang dekat dengan Tanah Suci banyak memberi kekuatan kepada dirinya untuk mendepani rintangan bertugas jauh di perantauan.

"Faktor berada sangat hampir dengan Tanah Suci juga menyebabkan saya dapat menikmati pengalaman bekerja di Taif. Jika rindu pada suami dan keluarga atau mahu menghilangkan tekanan, saya akan ke Makkah menunaikan umrah.

"Jika diikutkan, tidak terkira berapa kali saya sudah menunaikan umrah sepanjang di sini. Saya juga sukakan Madinah yang sangat menenangkan. Perjalanannya hanya dua jam menaiki kereta api laju," katanya.

Sebagai kakitangan baharu, bertugas pada 1 Syawal lalu, di dalam wad dianggap pengorbanan dan pengalaman yang indah yang akan terus disimpan dalam diari hidupnya.

Siti Normala menerima Anugerah Cemerlang daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang diserahkan pihak pengurusan hospital, Kompleks Perubatan Raja Faisal, Taif, Arab Saudi, baru-baru ini. - Foto/Ihsan Siti Normala
Siti Normala menerima Anugerah Cemerlang daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang diserahkan pihak pengurusan hospital, Kompleks Perubatan Raja Faisal, Taif, Arab Saudi, baru-baru ini. - Foto/Ihsan Siti Normala

Meskipun disambut dalam suasana bekerja tanpa suami dan keluarga, tetapi Aidilfitri pertamanya di Taif tetap meriah dengan kehadiran rakan jururawat beragama Islam dari pelbagai negara termasuk Filipina dan India serta keluarga angkatnya di sana.

Mengulas mengenai anugerah diterima, beliau mengakui kerja keras menyesuaikan diri bertugas dalam suasana baharu di bumi Taif tidak sia-sia apabila diterima bekerja di Kompleks Perubatan Raja Faisal, sejak September tahun lalu.

Beliau menyifatkan anugerah itu sebagai timbal balik pengorbanan dilakukannya dalam menjalankan tugas.

Sering ke Tanah Suci menunaikan umrah bila ada waktu terluang sekali gus menguatkan semangat bertugas di perantauan. - Foto/Ihsan Siti Normala
Sering ke Tanah Suci menunaikan umrah bila ada waktu terluang sekali gus menguatkan semangat bertugas di perantauan. - Foto/Ihsan Siti Normala

"Sebagai jururawat, dugaan yang ada ketika bertugas, perlu dijadikan dijadikan semangat dan cabaran itu memperbaiki diri untuk memastikan meningkatkan ilmu dan dalam keadaan positif setiap hari. Saya belajar banyak benda baharu sepanjang di sini.

"Bekerja perlu ikhlas terutama berhadapan pelbagai latar belakang bangsa dan agama pesakit. Anggap saja pesakit seperti keluarga sendiri supaya daripada situ baru wujud perasaan berkhidmat dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan," katanya.

Berita Harian X