Selasa, 18 Januari 2022 | 10:30am
Paparan pasangan pengantin baharu dalam video TikTok unboxing by husband sebegini boleh timbulkan pelbagai kritikan. - Gambar hiasan
Paparan pasangan pengantin baharu dalam video TikTok unboxing by husband sebegini boleh timbulkan pelbagai kritikan. - Gambar hiasan

Dedah hubungan intim suami isteri pengkhianatan besar

KUALA LUMPUR: Hubungan intim antara suami isteri haram dikongsi dengan orang lain atau media sosial seperti paparan pasangan pengantin baharu dalam video TikTok unboxing by husband yang tular baru-baru ini.

Perbuatan pendedahan berkenaan juga dianggap sebagai satu pengkhianatan besar menurut pandangan Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata memelihara rahsia rumah tangga adalah wajib dan banyak ayat al-Quran dan hadis melarang suami atau isteri menceritakan hubungan intim antara mereka kepada rakan atau sesiapa sahaja.

Hadis riwayat Saidatina Khadijah, Rasulullah SAW murka kepada seorang perempuan yang menceritakan hubungan intim antara dirinya dan suaminya kepada seorang rakan.

"Islam amat mementingkan sifat malu, malah dalam beberapa hadis Baginda, ia dianggap sebagai kunci syurga dan tiang seri bagi akhlak terpuji yang mampu memelihara iman seorang Muslim dan mencegahnya melakukan maksiat.

"Pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga boleh melahirkan kasih sayang menerusi cara lain seperti bertukar hadiah, memuji, melahirkan penghargaan atau melahirkan rasa kagum kepada pasangan kerana budi bahasa atau sifat terpuji mereka.

"Jika berdua-duaan, baru mereka boleh mengucapkan kata-kata romantik dan sebagainya," katanya.

Wan Salim Wan Mohd Noor.
Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau mengulas mengenai penghasilan video diberi tanda pagar unboxing by husband yang menjadi aliran kebelakangan ini, terutama membabitkan pasangan pengantin baharu beragama Islam mengundang kritikan ramai.

Unboxing biasanya dikaitkan dengan tindakan mengeluarkan sesuatu produk yang baru dibeli daripada pembungkusan serta mengulas ciri yang terdapat padanya untuk dikongsikan ke laman sosial media.

Disebabkan itu, tindakan merakamkan video unboxing by husband yang memperlihatkan pengantin lelaki membuka aksesori kepala pengantin perempuan, termasuk mahkota dan layah dipakai, menyebabkan timbul konotasi negatif terhadap cara perhubungan suci itu diraikan.

Malah, ia disifatkan sebagai satu tindakan mengaibkan kerana cuba untuk menonjolkan keintiman di hadapan masyarakat.

Wan Salim turut menyarankan pasangan yang membuat video itu untuk memohon maaf kepada penonton yang mungkin berasakan diri tidak dihormati selepas melihat video sedemikian.

"Pasangan juga perlu meminta supaya masyarakat tidak menularkan gambar atau video yang diambil kepada umum," katanya.

Wan Salim juga menyarankan mahkamah syariah menjalankan perbicaraan terhadap kes perbalahan antara suami isteri secara tertutup supaya rahsia kedua-duanya tidak diketahui orang lain.

Perbalahan antara pasangan suami isteri tidak seharusnya dijadikan bahan tontonan tambahan lagi perbicaraan itu akan menyebabkan tersingkapnya aib masing-masing.

"Kadang ada pula yang mengambil kesempatan meruntuhkan rumah tangga pasangan terbabit atau meruncingkan lagi keadaan sehingga sukar diselesaikan," katanya.

Peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor, melalui hantaran Facebooknya berkata, pertuduhan terhadap perbuatan jelik, sumbang atau lucah perlu mempunyai elemen yang sangat kuat, jelas dan nyata sebagai contohnya video ditularkan jelas memaparkan perbuatan intimasi atau tanpa berpakaian.

"Ini (kalau) memang jelas sumbang, lucah dan jelik, ada beberapa seksyen dakwaan.

"Video (unboxing) mencabut pin tudung satu demi satu, sambil si suami mencium dahi (isteri) bukan secara jelas kesalahan jenayah lucah kerana membabitkan suami isteri yang sah dan secara rela membuat naik video tanpa adegan lucah," katanya.

Pada pendapatnya, dari sudut jenayah penghasilan video berkenaan bukan satu kesalahan.

Bagaimanapun, ia boleh menarik perhatian dengan menimbulkan persoalan bagaimana jika ketika video berkenaan dimuat naik, terdapat komen berbaur lucah, termasuk berkenaan susuk tubuh isteri.

Nor Zabetha berkata, penggunaan perkataan unboxing dalam penghasilan video oleh pasangan itu memberi gambaran pelik dan jelik kerana penghasilan video unboxing di media sosial mengikut kebiasaannya turut disertakan dengan ulasan atau review.

"Tujuan perkongsian video itu bakal menjemput imaginasi orang lain untuk sama-sama menggambarkan adegan sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X