Khamis, 9 Disember 2021 | 9:28am
Rahmayuni bekerja jam 7 pagi hingga 10 pagi hantar pesanan makanan pelanggan. - NSTP/Aziah Azmee
Rahmayuni bekerja jam 7 pagi hingga 10 pagi hantar pesanan makanan pelanggan. - NSTP/Aziah Azmee

Buang rasa malu jalan kaki hantar makanan

KUALA LUMPUR: Pendapatan terjejas akibat pandemik COVID-19 membuatkan wanita ini menolak perasaan malu dengan menjadi penghantar makanan sepenuh masa sejak Januari lalu.

Rahmayuni Rahmat, 33, berkata beliau mula menjadi Foodpanda walker selepas diperkenalkan seorang rakan yang juga bekerja sebagai penghantar makanan.

Uniknya katanya, beliau tidak memerlukan kenderaan bagi menghantar makanan dan hanya memerlukan kudrat untuk memastikan makanan dipesan pelanggan sampai tepat pada waktunya.

"Sebelum ini saya bekerja bebas sebagai pembantu peribadi dan perunding kewangan sewa beli kenderaan.

"Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan terjejas teruk, malah tiada lagi tawaran kerja diperoleh kerana ramai turut terkesan ketika itu," katanya.

Rahmayuni buang perasaan malu jadi penghantar makanan yang diceburi sejak Januari lalu.
Rahmayuni buang perasaan malu jadi penghantar makanan yang diceburi sejak Januari lalu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sepanjang tempoh pendapatan terjejas, beliau banyak bergantung harap pada ibu bapanya.

Selepas seorang rakan mengajak menjadi Foodpanda walker, beliau terus bersetuju walaupun pada mulanya tidak yakin dengan pekerjaan itu kerana dimonopoli lelaki.

"Namun selepas mencuba, saya merasa sangat seronok, malah saya amat sukakan pekerjaan sekarang ini dan jika boleh mahu diteruskan selagi termampu.

"Saya juga bersyukur apabila ibu bapa menerima pekerjaan ini walaupun pada mulanya mereka bimbangkan keselamatan saya," katanya.

Rahmayuni berkata, sebaik memulakan kerja itu, beliau meletakkan sasaran untuk membantu meringankan beban kedua ibu bapanya selain untuk membeli kereta.

Katanya, dalam tempoh 10 bulan, beliau bekerja hampir setiap hari dan hanya mengambil cuti jika terlalu letih, selain mempunyai jadual bekerja sendiri.

"Setiap hari saya bekerja dari jam 7 pagi sehingga jam 10 pagi untuk penghantaran sarapan di kawasan Datuk Keramat.

"Kemudian jam 2 petang sehingga 8 malam saya akan berada sama ada di Setapak atau kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Tidak kisah jalan kaki hantar makanan kepada pelanggan. - NSTP/Aziah Azmee
Tidak kisah jalan kaki hantar makanan kepada pelanggan. - NSTP/Aziah Azmee

"Setiap hari jumlah makanan yang dihantar tidak menentu namun jika saya melihatkan sasaran sudah diperoleh, saya akan berhenti," katanya.

Sebelum ini, beliau berjalan kaki atau menggunakan basikal untuk menghantar makanan, tetapi kini sudah mampu membeli motosikal elektronik bagi mempercepatkan lagi proses penghantaran.

"Setakat ini, saya juga tidak pernah berdepan pengalaman tidak baik membabitkan pelanggan namun hanya berdepan kekangan cuaca iaitu hujan.

"Saya akan tetap berusaha menghantar juga makanan kepada pelanggan dengan menggunakan baju hujan kerana bimbang mereka tidak mendapat makanan masih panas.

"Walaupun pelanggan faham keadaan hujan, tapi saya tidak selesa apabila gagal menghantar makanan dalam tempoh ditetapkan kerana bagi saya menjadi kepuasan dapat membantu memudahkan pelanggan mendapatkan makanan mereka," katanya.

Justeru katanya, beliau berharap dalam keadaan sekarang mereka masih tiada pekerjaan terutama wanita boleh bermula dengan menjadi Foodpanda walker.

Katanya, tiada kenderaan bukan lagi alasan untuk tidak mencuba kerana boleh bermula dengan hanya berjalan kaki untuk menghantar makanan di radius satu kilometer.

"Walaupun pendapatan diperoleh tidak menentu, namun dengan usaha gigih ia amat berbaloi dan mencukupi untuk menanggung komitmen yang ada.

"Bagaimanapun, pemilihan lokasi juga penting bagi memastikan sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan," katanya.

Katanya, Foodpanda walker turut menawarkan insurans dan rebat membeli telefon bimbit selain insentif setiap minggu jika berjaya mencapai sasaran.

Berita Harian X