Khamis, 2 Disember 2021 | 11:23am
Nur Saema Che Tengah yang mewakili skuad wanita negara ke Piala Asia Wanita 2022. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nur Saema Che Tengah yang mewakili skuad wanita negara ke Piala Asia Wanita 2022. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berdebar beraksi di negara sedang bergolak

KOTA BHARU: Sebagai anak kampung yang dahulu berperwatakan lasak, kini Nur Saema Che Tengah, 23, antara tunjang utama 'benteng pertahanan' dalam skuad bola sepak wanita negara.

Beliau adalah anggota tentera laut di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, tidak menyangka minat dalam dunia bola sepak membawa kepada impiannya untuk mewakili negara sehingga peringkat antarabangsa.

Nur Saema berasal dari Kampung Bawah Lembah, Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan mengakui perjalanan menjadi pemain bola sepak wanita agak sukar terutama untuk mendapatkan kepercayaan ibu bapa dan keluarga.

Bagaimanapun, kini membuktikan impiannya mampu digapai apabila mewakili skuad wanita negara ke Piala Asia Wanita 2022 yang berlangsung di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin, pada 13 sehingga 23 September lalu.

Nur Saema pemain bola sepak wanita negara antara tunjang utama benteng pertahanan ketika ditemui dirumahnya di Kampung Bawah Lembah, Gual Periok di Rantau Panjang. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nur Saema pemain bola sepak wanita negara antara tunjang utama benteng pertahanan ketika ditemui dirumahnya di Kampung Bawah Lembah, Gual Periok di Rantau Panjang. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Pengalaman ke Palestin dalam misi mengharumkan nama negara mencetuskan perasaan bercampur baur. Rasa berkobar-kobar dan bersemangat untuk beraksi, namun berdebar untuk ke negara sedang bergolak.

"Ia suatu kenangan berharga kerana ramai mahu menjejak kaki ke bumi Palestin atas pelbagai alasan, terutama menyertai misi kemanusiaan.

"Kehadiran saya agak berbeza iaitu untuk beraksi di padang. Selepas mengetahui lokasi perlawanan di Palestin, semangat menjadi lebih luar biasa.

"Pelbagai onak duri terpaksa saya lalui sebelum bergelar pemain bola sepak wanita kebangsaan termasuk terpaksa 'menepis' kata-kata sesetengah orang yang menganggap sukan itu tidak sesuai untuk wanita," katanya.

Nur Saema satu-satunya anggota pakaian seragam dalam skuad wanita negara teruja dapat melawat pelbagai tempat menarik di Palestin, termasuk Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Bercerita permulaan menyertai dunia bola sepak, Nur Saema, berkata pada Mac 2017, beliau memberanikan diri ke Ipoh, menyertai pemilihan terbuka bagi skuad bola sepak wanita Perak, sekali gus terpilih sebagai pemain pasukan berkenaan.

"Ketika itu, saya menyambung pengajian di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk berpindah ke SMK Anderson di Ipoh bagi memudahkan menjalani latihan bola sepak.

"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Pada Ogos tahun sama, saya menyertai temu duga terbuka sebagai anggota TLDM, diterima sehingga kini.

"Saya bersyukur minat dalam bidang ini tidak 'terkubur' apabila terus berkembang di bawah pasukan bola Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bakat saya dilihat oleh skuad pasukan negara yang meletakkan bagi menyertai merekai," kata anak bongsu daripada tujuh beradik.

Nur Saema bersama ibunya, Che Adoni Mat Daud melihat gambar ketika menyertai anggota TLDM. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nur Saema bersama ibunya, Che Adoni Mat Daud melihat gambar ketika menyertai anggota TLDM. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berterima kasih kepada bapanya, Che Tengah Dollah, 62, dan ibu, Che Adoni Mat Daud, yang awalnya agak kurang percaya impian dalam bidang itu

"Selepas melihat usaha dan pengorbanan saya, ibu bapa dan adik-beradik beri sokongan penuh. Kepercayaan diberi memberi manfaat untuk saya, keluarga, bangsa dan negara," katanya.

"Jadual saya agak padat untuk membahagikan masa sebagai anggota TLDM dan pemain skuad wanita negara dan perlu berdisiplin.

"Perlu tahan mental dan fizikal menjalani pelbagai latihan sama seperti skuad lelaki. Masa cuti saya banyak dikorbankan di padang untuk berlatih," katanya.

Nur Saema berharap bola sepak wanita akan terus diberi peluang dan diterima masyarakat sebagai sukan yang boleh membawa nama negara ke persada dunia.

"Persepsi negatif aksi wanita dalam dunia bola sepak tidak sewajarnya menjadi kekangan untuk kami terus mengorak langkah menempa nama dalam bidang ini.

"Bagi wanita yang berminat dapatkan maklumat, tahu saluran betul kerana ada pelbagai peluang untuk menyerlahkan bakat mereka dalam pasukan bola sepak," katanya.

Berita Harian X