Khamis, 2 Disember 2021 | 9:21am
Bimbang mengenai keselamatan menyukarkan individu keluar janji temu.- Gambar hiasan
Bimbang mengenai keselamatan menyukarkan individu keluar janji temu.- Gambar hiasan

COVID-19 hantui orang bujang keluar 'dating'

Oleh Mahani Ishak

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kira-kira 37 peratus daripada 500 individu bujang di negara ini mengakui pandemik COVID-19 dan kebimbangan mengenai keselamatan menyukarkan mereka untuk memulakan hubungan atau keluar janji temu atau 'dating'.

Hal itu sekali gus memberi kesan kepada kesihatan mental mereka yang dikatakan lebih buruk berbanding sebelum kewujudan pandemik COVID-19.

Situasi itu berdasarkan kaji selidik dilakukan oleh firma mencari jodoh, Lunch Actually membabitkan seramai 2,500 individu bujang dari Malaysia (500 orang) dan selebihnya Hong Kong, Thailand serta Indonesia.

Daripada jumlah responden di Malaysia, kira-kira 93 peratus menyatakan bersedia dan mempunyai komitmen untuk berpasangan, iaitu peratusan lebih tinggi berbanding 2020, iaitu 76 peratus, selain 40 peratus daripadanya bersedia berkahwin dalam masa terdekat.

Tinjauan itu juga mendapati 63 peratus individu tidak langsung membuat janji temu fizikal, sementara 60 peratus mengakui mereka tidak cuba mencari pasangan secara dalam maya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Lunch Actually, Violet Lim, berkata pandemik COVID-19 yang berterusan lebih setahun memberi kesan kepada kesihatan mental serta menjejaskan keinginan mencari pasangan.

"Tahun ini, ketika kes COVID-19 masih memperlihatkan peningkatan, ramai individu bujang mengalami ketidaktentuan dan perubahan, sekali gus menjejaskan hasrat untuk mengenali seseorang atau keluar janji temu.

"Tinjauan kami mendapati 69 peratus individu bujang berperasaan gementar untuk keluar menemui seseorang," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini

Kaji selidik terbabit bertujuan memberi gambaran mengenai matlamat dan pengalaman dalam mencari pasangan serta kesihatan mental mereka pada tahun ini.

Kaji selidik itu dilakukan selama dua minggu melalui e-mel dan hantaran di media sosial.

Violet berkata, kajian terbabit selari dengan matlamat pihaknya untuk menggalakkan kembali individu bujang keluar janji temu sebagai langkah pertama untuk menemui pasangan seumur hidup.

Katanya, malah mereka juga menekankan kesihatan mental serta tahap kegembiraan kalangan individu bujang.

"Kaji selidik turut mendapati kira-kira 24 peratus individu bujang mengakui kesihatan mental mereka tahun lalu menjadi lebih buruk berbanding 2020.

"Perkara itu dipengaruhi oleh tiga sebab, iaitu tiada lagi kebebasan keluar (75 peratus), bekerja dari rumah terlalu lama (53 peratus) dan menyaksikan berita negatif berkaitan COVID-19 serta menyesuaikan diri dengan pelbagai sekatan dilakukan kerajaan (51 peratus)," katanya.

Menjelas lebih lanjut, Violet berkata, ramai kalangan individu bujang juga mengalami perubahan kesihatan mental, iaitu stres (73 peratus), kesunyian (71 peratus) dan terkurung (55 peratus).

"Justeru, sebagai agensi yang mengaturkan janji temu, kami perlu mewujudkan platform selamat dalam usaha menyokong individu terbabit memulakan janji temu," katanya.

Berita Harian X