Selasa, 30 November 2021 | 8:49am
Bermandi keringat lalui pelbagai onak dan ranjau mengusahakan ladang kelapa sawit. - Foto/Ismail Ahmad
Bermandi keringat lalui pelbagai onak dan ranjau mengusahakan ladang kelapa sawit. - Foto/Ismail Ahmad
Gajah liar pernah menceroboh kediaman asrama dan ladang kelapa sawit.- Foto/Ihsan Tuminah
Gajah liar pernah menceroboh kediaman asrama dan ladang kelapa sawit.- Foto/Ihsan Tuminah
Punirah (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa menunjukkan sijil dan anugerah lain atas kejayaan. - Foto/Ismail Ahmad
Punirah (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa menunjukkan sijil dan anugerah lain atas kejayaan. - Foto/Ismail Ahmad

'Wanita besi' diganggu makhluk halus

SEGAMAT: Kelompok wanita ini bukan calang-calang.

Berperwatakan keibuan, namun di sebalik kelembutan mereka layak digelar 'wanita besi' kerana tabah menerokai hutan belukar untuk dijadikan ladang kelapa sawit berkeluasan ratusan hektar.

Tuminah Waras, 70, adalah antara 83 peserta perintis peneroka Rancangan Tanah Beliawanis Bukit Mambai di Segamat, Johor, pada 1974.

Projek Rancangan Tanah Beliawanis di Segamat itu, satu-satu di negara ini yang hanya disertai wanita.

Dengan memiliki ketinggian 1.2 meter, beliau yang mesra dipanggil Minah, menabur keringat membersihkan hutan belukar untuk menanam benih sawit.

Ketika ditemui di tanah rancangan itu baru-baru ini, Tuminah berkata, beliau menempuh pelbagai dugaan selama mengusahakan tanah berkenaan serta berbekalkan semangat untuk membuktikan kejayaan kepada rakan terdekat dan keluarga.

"Ini mendorong saya lebih kuat, bersemangat bekerja serta tabah melalui pelbagai onak dan ranjau.

"Antaranya, ketika itu kami diberikan elaun harian hanya RM1 sehari, selain berkongsi makan nasi kawah dan tinggal di asrama dalam bangunan papan dengan usia saya ketika itu baru memasuki 18 tahun.

"Kali pertama menjejakkan kaki di sini, kami terkedu melihat kayu balak tumbang yang harus dibersihkan, terdengar juga tempikan gajah liar selain berkongsi kediaman beramai-ramai.

"Bersyukur bersama rakan lain berusia seawal 16 sehingga 22 tahun, kami mampu mengharungi cabaran melakukan semua kerja di ladang sawit yang kebiasaannya dilakukan golongan lelaki," katanya.

Tuminah (kiri) antara peserta Perintis Rancangan Tanah Beliawanis Bukit Mambai.- Foto/Ahmad Ismail
Tuminah (kiri) antara peserta Perintis Rancangan Tanah Beliawanis Bukit Mambai.- Foto/Ahmad Ismail

Beliau turut berkongsi pengalaman kerap diganggu makhluk halus hingga histeria hampir tiap malam, namun berkurangan selepas kerap membaca ayat suci al-Quran dan solat hajat.

"Tidak terkecuali gangguan beberapa ekor gajah liar hampir setiap menceroboh kediaman asrama di kawasan kelapa sawit.

"Saya tidak nafikan keadaan ekonomi ketika itu agak mencabar menjadikan orang tua terpaksa bekerja mencari nafkah, tetapi sebagai anak perempuan tidak mahu berdiam diri ingin turut membantu.

"Kami mampu mengangkat tandan sawit seberat 20 kilogram dan selepas lima tahun berlalu segala keringat berbaloi apabila hasil mulai dituai." kata

ibu kepada enam anak dan 15 cucu ini.

Kudrat yang dicurah ternyata berhasil apabila mereka diberikan Sijil Hak Milik Kelompok Kebun Sawit, pada 2 Ogos 2002.

Sementara itu, rakannya, Punirah Munaji, 64, yang juga peserta termuda daripada 83 peneroka awal Beliawanis, pada 1994 turut membuktikan saiz badan bukan penghalang.

"Saya mampu mengangkat tandan sawit dan kumpulkannya ke tepi jalan. Saya juga gunakan besi pengangkat buah dan kereta tolak atau traktor bagi memudahkan kerja.

"Saya lakukan itu sejak umur 16 tahun kerana tiada pilihan termasuk memunggah, menuai dan memandu traktor membawa muatan sawit.

Kini beliau dan rakan lain menyerahkan kerja itu kepada kontraktor kerana kudrat semakin lemah, hanya sesekali turun ke kebun.

Lebih membanggakan beliau adalah penerima anugerah Kualiti Keusahawanan Koperasi (Wanita) Negeri Johor 2008, Anugerah Industri Sawit Malaysia Wilayah Selatan (Ladang Sawit Jaya) 1996, selain beberapa sijil penghargaan.

Berita Harian X