Selasa, 23 November 2021 | 11:01am
Program inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM, usahawan wanita beri bimbingan dan berkongsi panduan kejayaan mereka.- Foto hiasan
Program inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM, usahawan wanita beri bimbingan dan berkongsi panduan kejayaan mereka.- Foto hiasan
May Sarah Nadiah Meor Mohamad
May Sarah Nadiah Meor Mohamad

Jutawan bimbing bakal usahawan

KUALA LUMPUR: Kepayahan membina perniagaan dari bawah sehingga bergelar jutawan mendorong 30 usahawan wanita menyumbang kembali kepada wanita lain yang sedang dan mula berniaga.

Melalui program inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM, usahawan wanita berkenaan memberi bimbingan dan berkongsi panduan kejayaan mereka yang diharap dapat memanfaatkan lebih 10,000 peserta, kebanyakannya terjejas akibat COVID-19.

Usahawan yang juga pengasas Chocodap's, May Sarah Nadiah Meor Mohamad, berkata platform webinar secara percuma selama tiga, bermula 26 November ini akan digunakan untuk membuka peluang kepada mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Hasil usaha bersama suami, Mohamad Farhan Mohamad Zainuddin, mereka kini sudah melahirkan kira-kira 50,000 usahawan di bawah syarikatnya yang mengusahakan variasi coklat jenama tempatan itu.

"Hampir 90 peratus usahawan kami ialah suri rumah yang ada antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

"Justeru, melalui program Wanita Bangkit@KPWKM, kita mahu membantu suri rumah dan mereka yang diuji termasuk kehilangan pekerjaan serta terjejas pendapatan.

"Kita menyediakan produk dan memberi bimbingan langkah demi langkah melalui modul disediakan supaya mereka dapat menjana pendapatan dengan konsisten kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis prapelancaran Wanita Bangkit@KPWKM yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas produk minyak aromaterapi, Najah Najeehah, berkata beliau mahu berkongsi pengetahuan dengan peserta program itu, yang mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.

"Saya dahulu bermula daripada bawah dengan modal kecil.

"Melalui syarikat yang kami tubuhkan, kini berjaya melahirkan ramai usahawan dalam kalangan wanita yang mampu meraih pendapatan sendiri," katanya.

Wanita Bangkit@KPWKM adalah program usaha sama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan dan Richworks International Sdn Bhd (Richworks International) yang akan menyediakan akses kepada platform perniagaan dan keusahawanan.

Berita Harian X