Selasa, 16 November 2021 | 12:09pm
Dr Chai Hong (kiri) bersama pasukan penyelidikan yang membangunkan sistem jarum panas pemacu laser bagi biopsi tisu perkutan melalui kulit yang diketuainya.- Foto/Ihsan Dr Chai Hong
Dr Chai Hong (kiri) bersama pasukan penyelidikan yang membangunkan sistem jarum panas pemacu laser bagi biopsi tisu perkutan melalui kulit yang diketuainya.- Foto/Ihsan Dr Chai Hong

Penyelidikan Malaysia berkaitan rawatan kanser diiktiraf dunia

KUALA LUMPUR: Pakar fizik perubatan dalam bidang radiologi, Prof Madya Dr Yeong Chai Hong, mencatat kejayaan membanggakan Malaysia apabila menjadi saintis pertama Asia Tenggara memenangi Anugerah Saintis Muda Kesatuan Antarabangsa Fizik Tulen dan Gunaan (IUPAP) 2021.

Dr Chai Hong, 39, dipilih Organisasi Antarabangsa Untuk Fizik Perubatan (IOMP) berikutan keunggulannya memberi sumbangan, kepemimpinan, kejayaannya dalam penyelidikan berkaitan diagnosis dan rawatan kanser.

Sebagai pakar fizik dalam perubatan nuklear dan radiologi intervensi serta Pensyarah di Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan Universiti Taylor's ini juga mengetuai pasukan penyelidikan dianggotai doktor, ahli fizik dan patologi untuk membangunkan sistem jarum panas pemacu laser bagi prosedur biopsi tisu perkutan melalui kulit.

Kajian dimulakan pada 2016, dilaksana bagi mengurangkan risiko pendarahan dalaman dan kebarangkalian pemindahan sel kanser ke organ lain semasa biopsi tisu perkutan dilakukan.

Kaedah sedia ada bagi prosedur biopsi tisu menggunakan jarum panjang mempunyai risiko, termasuk boleh menyebabkan pendarahan dalaman kepada pesakit jika jarum itu menembusi saluran darah dalam organ.

Malah, kajian di luar negara mendapati, jarum digunakan bagi mengambil sampel tisu boleh menyebabkan sel kanser merebak ke bahagian lain tubuh pesakit jika

prosedur tidak dilakukan dengan berhati-hati.

"Bagaimanapun, melalui penyelidikan yang saya bangunkan, prosedur biopsi ini boleh dilaksana menggunakan jarum biopsi yang disambungkan kepada satu sumber laser.

"Sumber laser diguna untuk memanaskan jarum biopsi bagi menghentikan dan membekukan pendarahan, sekali gus mengelak pesakit pemindahan sel kanser ke bahagian lain tubuh.

"Selain kosnya rendah, sistem jarum panas pemacu laser bagi prosedur biopsi ini lebih selamat dan pada masa akan menjadi hala tuju masa depan bagi rawatan kanser di negara ini," katanya kepada BH.

Anugerah Saintis Muda IUPAP dalam Fizik Perubatan dianugerahkan oleh IOMP yang mewakili 27,000 ahli fizik perubatan di seluruh dunia serta 87 organisasi nasional dan dua gabungan organisasi.

Selain menerima pingat IUPAP dan sijil IOMP, penganugerahan ini membolehkan Dr Chai Hong membawa pulang wang RM4,809.

Menurut Dr Chai Hong setakat ini beliau sudah berjaya memperoleh paten tempatan bagi penyelidikannya bagaimanapun kini usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan paten antarabangsa.

Kajian klinikal ke atas manusia akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum penyelidikannya ini dikomersialkan beberapa tahun lagi.

Mengenai kejayaannya itu, Dr Chai Hong yang lebih banyak menumpukan kepada pembangunan penyelidikan (R&D) serta tanggungjawab sebagai pensyarah di Universiti Taylor's, mengakui tidak menyangka menerima pengiktirafan terutama pada peringkat antarabangsa.

"Selama ini saya hanya menumpukan R&D di samping melaksanakan tanggungjawab sebagai pensyarah dalam bidang fizik perubatan.

"Anugerah ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk menambah baik rawatan kanser melalui radiologi seimbang di negara ini, " katanya.

Prof Madya Dr Yeong Chai Hong.
Prof Madya Dr Yeong Chai Hong.

Anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam penyelidikan klinikal tetap berpegang kepada pendirian untuk tidak mudah berputus asa.

Disebabkan penyelidikan itu membabitkan penggunaan fasiliti di hospital termasuk sistem tomografi berkomputer (CT Scanner), kebanyakan kajiannya hanya boleh dijalankan selepas waktu klinikal atau pada hari minggu.

"Tidak mungkin saya dapat membeli mesin yang sangat mahal, jadi perlu menunggu sehingga mesin itu tidak digunakan pesakit.

"Banyak pengorbanan terutama dari segi masa kerana perlu melakukan penyelidikan walaupun ketika bercuti, namun tidak dianggap masalah besar bagi memenuhi minat dan impian berjaya dalam bidang ini.

"Saya juga mahu menunjukkan teladan yang baik kepada pelajar sarjana muda serta Ijazah doktor falsafah (PhD) di bawah penyeliaan saya," katanya.

Beliau juga satu-satunya rakyat Malaysia pernah memenangi Sijil Merit yang berprestij daripada Persatuan Radiologi Eropah, iaitu persatuan radiologi kedua terbesar di dunia.

Dr Chai Hong kini sedang mengusahakan kajian bahan radioaktif bagi tujuan rawatan kanser dengan kesan sampingan yang minimum.

Selain itu, katanya saintis muda perlu lebih berani dan komited menampilkan penyelidikan berskala besar mengenai sesuatu penemuan dalam perubatan supaya dapat ditampilkan dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Ramai saintis muda di negara ini menghasilkan penyelidikan bermutu, tetapi ada yang tidak yakin sehingga menghalang mereka mengetengahkan kajian itu.

Katanya, kebanyakan penyelidikan dilaksanakan di negara ini kebiasaannya pada skala kecil, justeru beliau mencadangkan rangkaian pakar daripada pelbagai universiti bergabung bagi menghasilkan kajian berimpak tinggi.

"Kajian saintis muda di negara ini bermutu tinggi, tetapi mereka kurang berkeyakinan berkongsi mengenainya terutama di pentas antarabangsa," katanya.

Sebarang kajian dilakukan ini memerlukan geran yang besar, perkongsian fasiliti dan pakar daripada pelbagai institusi, selain penyertaan sektor swasta serta awam amat digalakkan.

Bagaimanapun, pembahagian geran kerajaan secara purata mengikut universiti itu menyebabkan penyelidikan tidak dapat dijalankan dengan lebih mendalam.

"Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan isu ini dan memastikan pemberian geran dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Berita Harian X