Khamis, 16 September 2021 | 12:04pm
Peningkatan kes keganasan rumah tangga ketika pandemik COVID-19 membimbangkan. - Foto hiasan
Peningkatan kes keganasan rumah tangga ketika pandemik COVID-19 membimbangkan. - Foto hiasan

10 peratus mangsa keganasan rumah tangga rujuk guaman

KUALA LUMPUR: Hanya 10 peratus daripada 5,260 kes keganasan rumah tangga membabitkan wanita yang mendapat khidmat guaman bagi tujuan menyelesaikan kes berkenaan.

Penasihat Kehormat Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Sharifah Shawati Syed Mohd, berkata jumlah peratusan direkodkan pada tahun lalu itu adalah disebabkan ramai wanita tidak tahu hak mereka, selain buntu apabila berhadapan dengan situasi itu.

Katanya, peningkatan kes keganasan membabitkan wanita ketika pandemik COVID-19 sangat membimbangkan.

"Ramai wanita menjadi mangsa keganasan seperti penderaan fizikal, mental dan emosi.

"Ada juga antara tidak tahu hak mereka dan bagaimana untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya melalui institusi perundangan.

"Malah, mereka takut untuk membawa perkara ini ke pengadilan disebabkan tidak mampu membiayai yuran guaman yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kes," katanya pada pelancaran Kempen Care 2gether Moelife #kamipeduli, baru-baru ini.

Kempen selama tiga bulan bermula 1 September lalu itu adalah inisiatif sebuah jenama kesihatan, dengan kerjasama KWIM bagi membantu wanita khususnya golongan B40 membiayai yuran guaman syariah untuk menfailkan tuntutan hak mereka di mahkamah syariah.

Kes keganasan rumah tangga amat diberi perhatian serius pelbagai pihak khususnya kerajaan menyarankan mangsa membuat aduan.

Antaranya laporan boleh dibuat menerusi talian 15999 atau menerusi WhatsApp 019 2615999 untuk tindakan lanjut.

Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed, berkata kerjasama pihaknya dalam kempen itu juga bertujuan untuk melindungi wanita mengalami masalah rumah tangga melalui teras undang-undang supaya hak mereka yang teraniaya dapat ditegakkan sekali gus melindungi institusi kekeluargaan.

"Penderaan ini bukan bermaksud untuk fizikal sahaja, tetapi turut membabitkan mental. Jangan terkejut KWIM pernah menerima kes isteri mengalami tekanan emosi disebabkan suami kerap bermain permainan video.

"KWIM menasihati mereka terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Kalau tidak boleh diselesaikan baru kita akan bawa perkara ini ke muka pengadilan dengan bantuan peguam," katanya.

Pengasas Moelife, Muhamad Abdullah Al Amin, berkata bagi isteri yang dizalimi, mereka mempunyai hak yang boleh dituntut mengikut teras undang-undang.

"Kempen ini untuk membantu wanita yang mempunyai masalah rumah tangga bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman di samping mempertahankan hak mereka dan perlindungan mengikut undang-undang sedia ada.

"Dengan berkonsepkan membeli dan membantu, pembeli akan mendapat poskad #kamipeduli sebagai tanda sokongan kepada kempen ini," katanya.

Berita Harian X