Selasa, 24 Ogos 2021 | 11:30am
Yong Nirota ketika melawat kawasan lombong dolomite yang digunakan untuk tujuan pertanian.- Foto Ihsan Yong Norita
Yong Nirota ketika melawat kawasan lombong dolomite yang digunakan untuk tujuan pertanian.- Foto Ihsan Yong Norita

Dolomite tangani masalah tanah kurang subur

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Imej feminin langsung tidak terhakis dalam dirinya, biarpun bidang pekerjaannya memang ditakrifkan dalam industri berat yang kebanyakan dimonopoli golongan lelaki.

Malah lebih membanggakan, syarikatnya adalah satu-satunya perusahaan Bumiputera yang terbabit dalam industri kuari bagi melombong dolomite, iaitu batu sedimen yang mempunyai pelbagai kegunaan.

Antaranya ia banyak digunakan bagi tujuan pembinaan, kaca, simen, farmaseutikal namun masih kurang meluas dikomersilkan dalam pertanian, ternakan dan kolam ternakan.

Justeru, usahawan, Yong Norita Ahmad, 53, membawakan kebaikan mineral daripada penghasilan batu kapur, sekali gus membantu petani menyuburkan hasil mereka.

Beliau mula berkecimpung industri dolomite hampir tujuh tahun lalu lebih terarah untuk menumpukan perusahaan mineral dolomite untuk kegunaan pertanian.

Katanya, daripada batuan itu, ia diproses menjadi serbuk atau sebatian untuk dijadikan baja atau perangsang (enhancer) medium pertanian.

"Jadi dolomite ini akan membantu meningkatkan nilai keasidan (pH) tanah supaya seimbang (pH 5 hingga 8) yang hilang akibat penggunaan baja kimia, ekosistem tanaman rosak dan tanaman tidak lagi mengeluarkan hasil seperti sebelumnya.

"Sehingga kini, kami masih sukar untuk mengubah mentaliti petani konvensional yang sudah sekian lama menggunakan baja serta racun dari negara jiran yang dirasakan murah tetapi tinggi kandungan kimia.

"Kesan daripada itu, daya pengeluaran merosot, tidak berkualiti berikutan enggan mengurus tadbir tanah dengan kaedah sepatutnya," katanya.

Katanya, pada umumnya jika pH tanah kurang 6.5, ia akan mengakibatkan pembaziran baja misalnya pH tanah 4.5 kira-kira 71 peratus pembaziran baja berlaku atau jika pH 6.0, sebanyak 20 peratus penggunaan berlaku.

Beliau mengatakan dolomite di Perlis sudah diuji dan diperakui paling berkualiti dengan kandungan 20 hingga 30 peratus magnesium (Mg0) dan antara 35 hingga 40 peratus kalsium (Ca0).

Kecenderungan terhadap pertanian semakin mendalam apabila daun semakin menghijau, tumbuh pucuk baharu dan pokok tanaman yang dulunya ibarat 'hidup segan mati tak mahu' mula menunjukkan hasil.

"Tekad ini semakin besar untuk mengubah landskap pertanian supaya petaninya dapat hasil lumayan dengan pemulihan tanah serta menggunakan baja berkualiti.

"Saya sendiri terbabit secara serius dalam perusahaan dolomite apabila menguruskan ladang sendiri, saya perlu belajar menanam, menjaga, sehingga memetik hasil kelapa sawit.

"Tetapi saya berdepan masalah untuk mendapatkan hasil yang baik dan berganda. Lalu saya mencari solusi sehingga menjumpai teknik memulihkan pokok," katanya.

Beliau menemui dolomite sebagai cara menyelesaikan masalah tanah yang kurang subur hingga ia mencetuskan pencarian dolomite hingga membawa ke Perlis," katanya.

Batu mineral itu sangat berkualiti dan mutunya setanding dengan dolomite daripada luar negara berikutan kandungan magnesium yang tertinggi di Malaysia iaitu hampir 22 peratus.

Berita Harian X