Selasa, 3 Ogos 2021 | 10:35am

Julia buktikan kemampuan dalam dunia nuklear

KUALA LUMPUR: Berada dalam bidang dimonopoli lelaki yang membabitkan teknologi nuklear, bukan perkara yang mudah kerana ia berkait rapat dengan teknikal dan kepakaran tertentu.

Ditambah persepsi wanita tidak layak berada dalam bidang itu, menjadikan hanya segelintir wanita yang benar-benar kental meneruskan kerjaya berkenaan.

Mengubah persepsi itu, Pengurus Pusat Teknologi Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia, Dr Julia Abdul Karim, membuktikan beliau yang bermula dari bawah, mampu mengetuai antara bahagian terpenting di dalam agensi berkenaan.

Katanya, usaha dan semangat yang tinggi tanpa mudah berputus asa perlu bagi memastikan komitmen padu secara berterusan.

"Ini adalah bidang sains dan teknologi sentiasa diperbaharui, membuatkan kita perlu maju melangkah untuk menjadikan tugasan dipikul bertambah menarik.

"Kita teruja kerana dari semasa ke semasa belajar teknologi baharu, sentiasa berbincang dengan rakan kerja dari luar negara untuk mencari penyelesaian terbaik sesuatu teknologi dan sebagainya.

"Apabila satu tugasan atau pencarian teknologi terbaru dapat diselesaikan, ia memberi kepuasan tidak terhingga kerana manfaatnya sangat besar untuk semua orang," katanya yang sudah lebih 20 tahun bertugas di pusat itu.

Julia juga terus aktif melakukan kajian membabitkan tugasan mengendalikan reaktor.

ulia memberi taklimat mengenai Reaktor kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (tengah) ketika lawatan kerjanya ke Agensi Nuklear Malaysia, tahun lalu.
ulia memberi taklimat mengenai Reaktor kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (tengah) ketika lawatan kerjanya ke Agensi Nuklear Malaysia, tahun lalu.

Antara kajian sedang dilakukan ialah analisis keselamatan Reaktor TRIGA PUSPATI, Penilaian Sistem, Struktur dan Komponen (SSC) untuk Pengurusan Penuaan Reaktor TRIGA PUSPATI dan Pengukuran dan analisis ciri teras Reaktor TRIGA PUSPATI.

Tidak mustahil, kecemerlangan dan kewibawaan Julia dalam bidang ini diiktiraf apabila menerima beberapa anugerah termasuk memenangi pingat emas pada Pameran Penemuan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa, Malaysia (ITEX2019); pingat perak pada Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2018; pingat gangsa untuk i-PFRx pada Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2018 dan bermacam-macam lagi.

Kejayaan itu menunjukkan peranan wanita dalam bidang ini tiada sempadan dan mengetepikan jurang gender, sekali gus menjadi golongan itu penyumbang aktif kepada negara.

"Kita tidak boleh menafikan wanita mempunyai peranan hebat dalam pembangunan negara, termasuk sebagai pembuat dasar.

"Saya antara yang terbabit sebagai pembuat dasar negara membabitkan keselamatan dasar bahan radioaktif dan bahan api terpakai.

"Wanita memiliki sisi istimewanya tersendiri yang boleh melihat sesuatu isu lebih mendalam dan teliti supaya pada masa akan hadapan, kesannya tidak membebankan generasi seterusnya.

"Contohnya, wanita berperanan memastikan keselamatan dan pengurusan sisa radioaktif dilengkapi strategi dan pendekatan sebelum dirawat dan dilepaskan ke punca air dalam keadaan selamat dan terkawal.

"Tetapi masyarakat tidak perlu gusar kerana terdapat badan penguatkuasaan iaitu agensi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di bawah Akta 304 yang akan memantau bagi melindungi penggunaan bahan sumber aktif di negara ini," katanya.

Bagi wanita yang tidak dapat meneruskan kerjaya dalam bidang ini, ilmu diperoleh boleh diaplikasikan dalam dalam banyak perkara.

Dr Julia Abdul Karim
Dr Julia Abdul Karim

Teknologi nuklear memberikan banyak manfaat membabitkan penyelidikan antaranya dalam bidang seperti industri, pertanian, perubatan, alam sekitar, pendidikan dan tenaga hijau.

"Antaranya menerusi bidang perubatan ini ia membantu merawat pesakit kanser, manakala dalam industri pula membantu mengesan kebocoran minyak dan gas.

"Di dalam bidang pertanian, contohnya bagi meningkatkan keupayaan penghasilan padi untuk tiga kali setahun, banyak elemen teknologi disuntik pada benih berkenaan supaya dalam keadaan kemarau atau banjir, padi tetap mengeluarkan hasil," katanya.

Orang ramai dialu-alukan ke Pusat Nuklear untuk melihat kemudahan dan penyelidikan dihasilkan.

"Kita boleh berkongsi mengenai fungsi nuklear supaya pemahaman mengenai industri ini tidak," katanya menerima 5,000 pengunjung saban tahun sebelum pandemik.

Selain itu, katanya pemahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear masih rendah kerana menganggap ia boleh mengundang bahaya dan radioaktif memberi kesan teruk seperti kecacatan bayi di dalam kandungan.

Tragedi nuklear Fukushima yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 akibat kejadian gempa bumi dan tsunami menjadi antara krisis pencemaran nuklear paling diingati hingga hari ini.

Tidak dapat dinafikan, nuklear menjadi satu perkara tabu dalam kalangan masyarakat sehingga menganggap tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

 Julia memberi taklimat mengenai Reaktor kepada Khairy (kiri) semasa lawatan kerja beliau ke Agensi Nuklear Malaysia, tahun lalu
Julia memberi taklimat mengenai Reaktor kepada Khairy (kiri) semasa lawatan kerja beliau ke Agensi Nuklear Malaysia, tahun lalu

Jika ramai yang memahami kepentingan nuklear dari sudut faedah dan manfaat dalam pelbagai bidang, mereka pasti akan teruja melihat kemajuan yang berjaya dihasilkan.

Di pusat nuklear sama seperti bidang pekerjaan lain, turut mempunyai risiko tersendiri, namun aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan.

"Kita mengutamakan keselamatan.

Sepanjang bekerja di agensi ini, tahap kesihatan saya berada dalam keadaan baik dan semua tanggapan negatif itu tidak berlaku kepada diri saya.

"Bagi yang bekerja di agensi ini, kadar dos radiasi diterima oleh pekerja sinaran adalah 20 millisieverts setahun, berbanding masyarakat adalah satu millisieverts saja," katanya.

Mengikut rekod, tiada siapa pernah menerima jumlah itu, kerana masing-masing mematuhi prinsip dan perlindungan.

"Setiap tahun kita akan sentiasa memperbaharui ilmu teknologi nuklear ini, jadi secara tidak langsung, kita akan menangani isu keselamatan ini dengan cara terbaik," katanya.

Malaysia adalah negara yang lama mengiktiraf penggunaan teknologi nuklear dan faedah diperoleh secara aman.

"Melalui keanggotaan dengan International Atomic Energy Agency (IAEA), Malaysia mendapat banyak manfaat daripada program latihan dan projek penyelidikan," katanya.

Berita Harian X