Khamis, 8 April 2021 | 11:09am
Prof Dr Adeeba (kanan) merasmikan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa fasa kedua dengan kerjasama Yayasan ROSE, di sini baru-baru ini.
Prof Dr Adeeba (kanan) merasmikan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa fasa kedua dengan kerjasama Yayasan ROSE, di sini baru-baru ini.

Ujian HPV bantu lindungi kanser serviks

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan menjalani saringan kanser serviks yang boleh dikesan melalui ujian Human Papillomavirus (HPV), di negara ini masih rendah.

Keputusan saringan HPV positif bukan bermakna wanita akan menghidap kanser serviks, sebaliknya boleh dibendung, meskipun ia adalah barah ketiga paling tinggi paling kerap dideritai wanita di Malaysia dan keempat di dunia.

Pengerusi Yayasan ROSE, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata sejajar usaha mengekang kanser serviks, yayasan itu dan Etiqa akan meneruskan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa fasa kedua.

"Dengan kejayaan keseluruhan menerusi program itu, Yayasan ROSE dan Etiqa bersetuju untuk melanjutkan lagi program itu membabitkan 6,000 wanita pada tahun ini.

"Menerusi program berkenaan menunjukkan komitmen kami untuk membantu populasi yang tidak disaring dan kurang berkemampuan mendapat pendedahan awal mengenai penyakit ini.

"Sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah untuk mengurang dan menyingkirkan kanser serviks," katanya ketika merasmikan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa fasa kedua dengan kerjasama Yayasan ROSE, di sini baru-baru ini.

Forum yang bertajuk 'Frontliners Bersatu Mencegah Kanser Serviks' turut diadakan selepas majlis pelancaran itu.

Mengulas mengenai sambutan yang diterima pada fasa pertama, lebih 6,000 wanita mendapat manfaat saringan serviks secara percuma termasuk 1,500 petugas barisan hadapan dalam usaha membanteras kanser itu yang juga barah sering dihadapi wanita di seluruh dunia.

"Fasa pertama program itu dilaksanakan, pada Julai tahun lalu dan kini memasuki fasa kedua. Saringan percuma diberikan kepada 6,000 wanita mengikut lokasi terpilih," katanya.

Tiga komponen Projek ROSE menggabungkan tiga komponen iaitu persampelan sendiri, ujian HPV dan platform digital yang juga sistem bersepadu pertama dilaksanakan di negara ini.

"Wanita diberikan kit ujian diri dan membuat ujian HPV sendiri. Sampel kemudian akan dihantar ke makmal ROSE untuk ujian HPV seterusnya beberapa proses akan dijalankan sekiranya keputusan didapati positif," katanya.

Pada November tahun lalu, syarikat farmaseutikal global, Merck Sharp dan Dohme (MSD) menganugerahkan geran International Neighbour of Choice (INOC) bagi kempen Frontliners Bersatu Mencegah Kanser Serviks.

Awal bulan lalu, kempen 'frontliner' ini mendapat pengiktirafan di dalam Anugerah Kesihatan Awam Global daripada Rangkaian Global bagi Kesihatan Awam Akademik.

Pengerusi Etiqa Group, Datuk R Karunakaran, berkata pihaknya menyedari angka kanser serviks dalam kalangan wanita di negara ini semakin meningkat.

Katanya, ia boleh dikurangkan dengan membuat saringan di peringkat awal. Kejayaan fasa pertama

"Kami berharap dapat membantu lebih ramai komuniti menjaga kesihatan reproduktif mereka," katanya.

Berita Harian X