Selasa, 22 Disember 2020 | 10:30am
FADZLIANA bergambar bersama Kapal Maritim (KM) Tugau ketika ditemuramah di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
FADZLIANA bergambar bersama Kapal Maritim (KM) Tugau ketika ditemuramah di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

'Orang nombor satu' kapal

LUMUT: Kerjaya tidak pernah memilih jantina, namun jika ditanya mana-mana wanita mengenai kerjaya diminati, pastinya dunia kerjaya lasak dan mencabar di laut tidak termasuk dalam senarai.

Berbeza buat dua wanita ini yang masing-masing kini menggalas tugas Pegawai Memerintah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pilihan kerjaya itu mungkin agak janggal buat insan bernama wanita.

Namun, alah bisa tegal biasa, kedua-dua wanita ini berani menyahut cabaran dengan memilih sektor yang dipelopori lelaki tanpa ragu-ragu, malah menjadikan kerjaya itu sesuatu yang menyeronokkan.

Selain bertanggungjawab menjaga aset agensi dengan baik, Leftenan Komander Maritim, Fadzliana Fadzil, 37, dan Leftenan Maritim Nurul Hanin Mohd Isa, 39, juga mengetuai kru kapal yang majoritinya adalah lelaki dalam penugasan operasi dan penguatkuasaan di perairan negara.

Selaras dengan saranan memperkasakan wanita dalam bidang maritim, peluang dan kepercayaan diberikan agensi membuka lebih ruang kepada mereka meneroka pengetahuan baru, sekali gus mengenal kemampuan diri sebenar.

Lebih manis, mereka mencipta kenangan sebagai 'buddies' yang mengharungi jerih-perih latihan selama 13 bulan di Pusat Latihan Maritim Malaysia Bandar Indera Mahkota di Kuantan, Pahang pada 2007 apabila dilantik ke jawatan 'orang nombor satu' kapal, pada 23 Oktober lalu.

Maritim Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila melantik pegawai wanita sebagai pegawai memerintah kapal yang berpangkalan di Lumut, Perak selepas Leftenan Komander Maritim, Aida Arzahari.

Perak menjadi satu-satunya agensi negeri dalam Maritim Malaysia mempunyai pegawai memerintah wanita mengetuai dua kapal milik agensi itu.

Fadzliana kini menerajui Kapal Maritim (KM) Tugau berkata, beliau tidak pernah terfikir menjawat jawatan itu, namun mengakui gembira apabila diberi peluang oleh pengurusan tertinggi agensi.

Katanya, kerjaya itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal selain tidak mudah menjaga aset negara, tetapi bertekad akan menggalas tanggungjawab tugas penguatkuasaan dan mengutamakan sifar kemalangan di laut dengan baik.

"Bekerja dalam bidang yang didominasikan lelaki tidak menjadi masalah kerana kerjaya ini sesuai dengan jiwa saya yang sukakan aktiviti lasak. Kita perlu mencabar diri, belajar dan menerima sesuatu perkara baharu dengan cepat.

"Sebagai ketua saya mengutamakan komunikasi dengan warga kapal dan kami adalah keluarga, namun tetap serius dan menghormati satu sama lain dalam menjalankan tugas," katanya.

FADZLIANA (dua dari kiri) bersama pegawainya menjalankan tugas harian di dalam kapal ketika belayar di perairan Pangkor berdekatan Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
FADZLIANA (dua dari kiri) bersama pegawainya menjalankan tugas harian di dalam kapal ketika belayar di perairan Pangkor berdekatan Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Keadaan laut bergelora juga bukan penghalang kepada pemegang Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kerana beliau mengakui tidak mabuk laut dan penting baginya tugas digalas dilakukan dengan terbaik bersama 15 kru KM Tugau termasuk beliau dan seorang lagi pegawai wanita.

Peluang itu memberi pengalaman baharu kepadanya dengan skop kerja terdahulu membabitkan pengurusan dan latihan, namun mengakui pengalaman di kapal sebelum ini sedikit sebanyak membantunya.

"Justeru, golongan wanita usah gentar dan tanamkan keyakinan diri dengan menyahut cabaran diberikan dengan penuh bersemangat.

"Apabila kita ke depan bukan bermakna mahu melangkaui lelaki tetapi membuktikan boleh berada setanding dengan mereka," katanya yang turut menyimpan hasrat bertugas di kapal lebih besar suatu hari nanti.

Bagi Pegawai Memerintah KM Nyalau, Nurul Hanin, biarpun dunia maritim jauh berbeza dengan kerjayanya sebelum ini, namun keinginan meneroka sesuatu baharu lebih mencabar mengatasi segala-galanya.

"Selepas tamat latihan saya ditempatkan di KM Marlin selama dua tahun sebelum bertukar tugas di pejabat dan kini selepas 10 tahun saya kembali semula ke laut dengan tanggungjawab lebih besar.

"Saya tidak pernah terfikir akan berada di kedudukan ini, namun bersyukur diberikan kepercayaan mengetuai KM Nyalau yang mempunyai 14 kru termasuk dua lagi pegawai wanita," kata anak kelahiran Taiping, Perak ini.

Sebagai pegawai memerintah, mereka mempunyai cabaran tersendiri apabila perlu memahami cara operasi semua kapal agensi dan tidak terhad kepada kapal mereka sahaja.

"Maritim Malaysia Perak menggunakan konsep di mana pegawai memerintah boleh mengemudi enam kapal berbeza keupayaan. Kami boleh bertukar kapal untuk penugasan operasi mengikut keadaan," katanya.

Nurul Hanin berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi agensi dan berharap ruang diberikan itu juga dapat membuka lebih peluang kepada pegawai wanita di negeri lain.

"Apa lelaki boleh buat wanita juga boleh buat, asalkan kita mempunyai keyakinan dengan tidak meletakkan diri di takuk lama dan jangan takut mencuba sesuatu baharu dalam semua bidang.

"Bagi saya tiada beza kerana setiap tugas akan dilaksanakan sebaiknya dan saya tiada masalah bekerja dengan kru kapal yang majoritinya lelaki kerana dengan kerjasama, komunikasi baik dan saling menghormati serta bertolak ansur pastinya semua urusan berjalan lancar mengikut prosedur.

"Alhamdulillah, penugasan operasi pertama baru-baru ini berjalan lancar dan komuniti maritim turut memberikan kerjasama yang baik. Keluarga juga memberikan sokongan menjadikan saya lebih bersemangat menjalankan tugas," katanya.

Ketika pandemik COVID-19 ini, kedua-dua wanita ini turut bertugas bersama pasukannya menggiatkan kawalan di sempadan perairan negara untuk mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengelak penularan wabak itu.

Menerusi operasi itu lebih 150 bot nelayan Indonesia sudah diusir keluar dari perairan negara.

Profil:

Nama: Leftenan Komander Maritim, Fadzliana Fadzil

Umur: 37 tahun

Asal: Petaling Jaya, Selangor.

Status: Ibu tunggal seorang anak lelaki

Jawatan: Pegawai Memerintah KM Tugau

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari UPM

Pengalaman:

• Wartawan di Kosmo (setahun)

• Berkhidmat 13 tahun sehingga kini bersama Maritim Malaysia.

• Jawatan terdahulu: Penolong Pengarah Kanan Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi di Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

FADZLIANA (kanan) bersama Nurul Hanin ketika ditemui di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
FADZLIANA (kanan) bersama Nurul Hanin ketika ditemui di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kampung Acheh, Sitiawan. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Profil:

Nama: Leftenan Maritim Nurul Hanin Mohd Isa

Umur: 39 tahun

Asal: Taiping, Perak

Status: Bujang

Jawatan: Pegawai Memerintah KM Nyalau

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM).

• Kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Pengajian Strategik di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara separuh masa.

Pengalaman:

• Pembantu jurutera dalam bidang kejuruteraan awam.

• Berkhidmat 13 tahun sehingga kini bersama Maritim Malaysia

• Jawatan terdahulu: Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan dan Eksesais, Seksyen Operasi, Maritim Malaysia Pulau Pinang.

Berita Harian X