Khamis, 15 Oktober 2020 | 10:30am
Dr Meng Kuan (dua dari kiri) menunjukkan koleksi baharu beg jenama Kantoi yang direka khas untuk jualan bagi membantu pesakit kanser payudara. - Foto NSTP
Dr Meng Kuan (dua dari kiri) menunjukkan koleksi baharu beg jenama Kantoi yang direka khas untuk jualan bagi membantu pesakit kanser payudara. - Foto NSTP

Jual beg bantu rawat pesakit kanser payudara

KUALA LUMPUR: Bertitik tolak daripada usaha membantu seorang pemilik syarikat percetakan tempatan yang mengalami kerugian dengan cara menghasilkan beg sebagai hadiah, jenama Kantoi kini tampil koleksi baharu khusus membantu rawatan kanser payudara.

Pengasas Kantoi, Min Lim, berkata berikutan tulisan pada beg berbaur nakal dan menjengkelkan, koleksi yang mula dijual 7 Oktober lalu direka khusus untuk mengumpulkan dana untuk Hospital Tung Shin sempena bulan kesedaran kanser payudara.

Meskipun keluaran awalnya dahulu untuk hadiah kepada kalangan kenalan kami, ramai bertanya untuk mendapatkannya, jadi dari situ kami mengeluarkannya dalam jumlah lebih besar dan menyalurkan keuntungannya kepada badan kebajikan.

"Justeru, sempena bulan kesedaran ini, keuntungan daripada koleksi terbaharu ini akan disalurkan kepada Pusat Kanser Hospital Tung Shin untuk membantu rawatan kanser payudara bagi pesakit

mereka yang kurang berkemampuan.

Dana terbabit akan digunakan bagi tujuan perubatan, anggota palsu, kaunseling dan juga rambut palsu melalui program pertukaran rambut palsu hospital itu," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mahu menyalurkan keuntungannya kepada Hospital Tung Shin berikutan kebanyakan persatuan kanser payudara lain sudah mempunyai aliran dana yang mencukupi.

"Bagaimanapun, hospital kebajikan itu hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk merawat pesakit yang kurang berkemampuan dan tidak mampu untuk ke tempat lain," katanya.

Pengerusi Pusat Kanser Hospital Tung Shin, Dr Tan Meng Kuan berkata, kanser boleh menyerang sesiapa sahaja daripada semua peringkat masyarakat dan yang penting ialah berusaha mendapatkan rawatan.

"Derma yang diterima boleh memberikan harapan kepada seseorang," katanya. Beg berkenaan dijual dalam satu kotak yang mempunyai lima rekaan dengan harga RM100 ataupun boleh dibeli dengan harga RM25 untuk setiap rekaan.

Kotak terbabit boleh dibeli melalui laman Instagram Kantoi (kantoi.kl) atau di Journey Indoor Cycling Studio dan ia boleh dibeli secara individu di Kitsch melalui laman web mereka (kitsch.my).

Setiap penghantaran adalah percuma, sumbangan penaja penghantaran logistik rasmi inisiatif Pink October Kantoi, Ninja Van Malaysia.

Berita Harian X