Selasa, 29 September 2020 | 11:06am
NURUL Azlifah dilantik sebagai duta sebuah syarikat kelengkapan sukan mewakili penyelam dan jurufoto dasar laut yang berhijab. - Fot0/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail
NURUL Azlifah dilantik sebagai duta sebuah syarikat kelengkapan sukan mewakili penyelam dan jurufoto dasar laut yang berhijab. - Fot0/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail

Penampilan berhijab bagaikan rahmat

KUALA LUMPUR: Kejayaan jurulatih skuba profesional, Nurul Azlifah Mohd Ismail melakar sejarah sebagai satu-satunya penyelam Muslimah berhijab negara yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa cukup membanggakan dan wajar menjadi contoh wanita lain, khususnya bagi pencinta sukan air.

Nurul Azlifah, atau dikenali dengan gelaran Ipah Uid memenangi banyak pertandingan fotografi dasar laut dan lebih manis, penampilannya menarik minat syarikat antarabangsa hingga dilantik sebagai duta mewakili penyelam Muslim dan jurugambar dasar laut berhijab.

Setakat ini, beliau sudah menerima 17 anugerah di peringkat antarabangsa dalam tempoh empat tahun sejak pembabitannya sebagai jurufoto dasar laut.

Antara anugerah dimenanginya adalah meraih tempat pertama Pertandingan Fotografi Dasar Laut bagi 2018, 2019 dan 2020 di Mares, Itali dan juara Pertandingan Fotografi Dasar Laut Kategori Kamera Kompak pada 2018 dan 2019 di United Kingdom.

Membawa tong gas dan peralatan kamera seberat 25 kg bukan halangan untuk menyelam di dasar laut.- Foto/ Nurul Azlifah Mohd Ismail
Membawa tong gas dan peralatan kamera seberat 25 kg bukan halangan untuk menyelam di dasar laut.- Foto/ Nurul Azlifah Mohd Ismail

Mula menceburi bidang skuba sejak 15 tahun lalu, Nurul Azlifah berkata, pencapaian itu amat bermakna kerana ia secara tidak langsung mengangkat nama Malaysia yang sebelum ini kurang dikenali khususnya dalam kalangan penggiat sukan skuba antarabangsa.

"Saya bersyukur dapat membawa bersama nama Malaysia apabila memenangi banyak pertandingan fotografi dasar laut bertaraf antarabangsa kerana sebelum ini, ramai (dalam sukan skuba) yang tidak mengenali negara kita.

"Penampilan berhijab juga bagaikan satu rahmat, apabila syarikat kelengkapan sukan skuba terkemuka dunia, Fourth Element melantik saya sebagai duta mewakili penyelam Muslim dan jurufoto dasar laut yang berhijab," katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pembabitan beliau bersama Fourth Element turut membuka peluang untuk beliau menjalankan tanggungjawab sosial khususnya membangkitkan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan memelihara, melindungi dan memulihara hidupan laut.

BANGGA membawa nama Malaysia di peringkat dunia menerusi pelbagai pertandingan fotografi dasar laut. - Foto/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail
BANGGA membawa nama Malaysia di peringkat dunia menerusi pelbagai pertandingan fotografi dasar laut. - Foto/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail

"Syarikat itu banyak melakukan kegiatan berkaitan kesedaran bagi melindungi hidupan laut termasuk projek Ocean Positive.

"Melalui projek berkenaan, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pembersihan dasar laut untuk mengesan pukat terbiar yang bukan sahaja mengancam nyawa hidupan marin dan penyelam yang berisiko terjerut, bahkan menghalang tumbesaran terumbu karang akibat dilitupi olehnya.

"Menariknya, melalui misi ini, pukat yang dikutip akan dikitar semula sebagai baju skuba," katanya.

Katanya, misi membabitkan pelbagai negara termasuk New Zealand dan Australia itu digerakkan dengan kerjasama Group Ghost Diving Worldwide untuk mengutip lebih banyak pukat besar di dasar laut.

Ibu kepada enam orang anak berasal dari Johor Bahru ini mengakui kejayaan itu menguatkan semangatnya untuk memburu anugerah lain dan membuktikan meskipun tidak mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang itu pada awal menceburi bidang berkenaan.

"Pada pembabitan awal, saya hanya menggunakan kamera kompak kecil berbanding rakan penyelam daripada negara lain khususnya dari Eropah yang jauh lebih ke hadapan dengan menggunakan gajet lebih canggih, iaitu kamera jenis DSLR (Digital Single Lens Reflex).

"Tidak dinafikan, agak sukar untuk mendapat foto yang menarik menggunakan kamera kompak, ia memerlukan iltizam yang tinggi dengan kebanyakannya dipelajari sendiri melalui pengalaman," katanya.

Nurul Azlifah berkata, untuk memiliki DSLR memerlukan kos yang tinggi. Ini tidak menghalang minatnya, sebaliknya dijadikan pembakar semangat untuk terus membuktikan beliau mampu menghasilkan karya fotografi yang berkualiti.

MENERIMA 17 anugerah di peringkat antarabangsa pertandingan fotografi dasar laut di Itali dan United Kingdom.- Foto/Nurul Azlifah Mohd Ismail
MENERIMA 17 anugerah di peringkat antarabangsa pertandingan fotografi dasar laut di Itali dan United Kingdom.- Foto/Nurul Azlifah Mohd Ismail

"Kamera DSLR bagi kegunaan di dasar laut sebenarnya amat mahal, harganya boleh mencecah RM70,000 satu set.

"Memikirkan kos memiliki DSLR yang agak tinggi dan luar daripada kemampuan apatah lagi dengan tanggungan keluarga yang besar, saya memilih untuk menggunakan kamera kompak yang berharga RM7,000," katanya, selain perlu memikul peralatan menyelam dan kamera seberat 25 kilogram (kg) di dasar laut.

Mengulas cabaran merakam foto dari dasar laut, beliau berkata, amat penting bagi seseorang itu mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai pergerakan dan tingkah laku hidupan di laut.

"Perkara ini perlu dipelajari dan banyak saya kongsikan dalam sesi ceramah berkaitan seni fotografi di dasar laut.

"Saya pernah bertembung dengan ikan yu paus, petuanya adalah tidak panik dan bergerak seperti biasa. Selain itu, elakkan daripada melakukan perbuatan yang seolah-olah mengancam hidupan laut ini," katanya.

Beliau turut berbesar hati kerana kejayaannya menjadi inspirasi kepada ramai wanita yang mula menunjukkan minat untuk bergiat serius dalam bidang seni fotografi dasar laut.

"Ketika di awal pembabitan, tidak ramai wanita yang menceburi bidang ini dan saya satu-satunya jurufoto wanita profesional menggunakan kamera kompak.

"Bagaimanapun, selepas meraih banyak kemenangan, tidak sangka ramai yang mendapat inspirasi dan ingin mengikut jejak langkah saya," katanya yang kini turut menjadi tenaga pengajar bagi seni fotografi dasar laut.

Hidupan laut antara yang dirakamkan.
Hidupan laut antara yang dirakamkan.

Berita Harian X