Selasa, 29 September 2020 | 10:33am
SIKAP kurang prihatin masyarakat buang pelitup muka dan botol cecair pembasmi kuman boleh mengancam ekosistem laut. - Foto/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail
SIKAP kurang prihatin masyarakat buang pelitup muka dan botol cecair pembasmi kuman boleh mengancam ekosistem laut. - Foto/Ihsan Nurul Azlifah Mohd Ismail

Pelitup muka ancam hidupan laut

KUALA LUMPUR: Sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuang pelitup muka dan botol cecair pembasmi kuman ke laut boleh memberi kesan buruk terhadap hidupan di dasar laut.

Dalam keadaan dunia sedang memberi perhatian kepada kawalan dan pencegahan bagi memutuskan rantaian COVID-19, tindakan kurang prihatin ini amat dikesali kerana mengakibatkan keseluruhan ekosistem laut terjejas.

Jurulatih skuba profesional dan jurufoto seni dasar laut, Nurul Azlifah Mohd Ismail, berkata senario ini semakin membimbangkan dan perlu dibendung dan ditangani untuk mengelak situasi lebih buruk.

"Ini memberikan implikasi yang amat buruk kerana bahan berasaskan plastik mengambil masa sehingga 450 tahun untuk dilupuskan.

"Lebih parah sekiranya ia dimakan oleh hidupan laut seperti ikan dan penyu akan mati, sekali gus kadar kepupusan hidupan laut itu tidak akan dapat dibendung," katanya.

Nurul Azlifah berkata, beliau berharap semua pihak lebih prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar dan hidupan laut.

Pada masa sama, beliau turut komited untuk menyampaikan mesej melindungi hidupan termasuk terumbu karang kerana ia berperanan sebagai sumber oksigen hidupan laut.

Katanya, peluang untuk menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara hidupan laut itu dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu terbabit.

"Ketika dijemput sebagai penceramah saya berkongsi ilmu dan mesej mengenai kepentingan memelihara hidupan laut.

"Antaranya, kempen positif ini disampaikan ketika acara Pertunjukan Menyelam Dunia yang dihadiri peserta daripada pelbagai negara," katanya.

Berita Harian X