Khamis, 24 September 2020 | 12:25pm
WANITA perlu kreatif cari jalan bangkit semula dan tidak mudah menyerah kalah akibat COVID-19.- Foto hiasan
WANITA perlu kreatif cari jalan bangkit semula dan tidak mudah menyerah kalah akibat COVID-19.- Foto hiasan

Usahawan tak boleh mengalah

KUALA LUMPUR: Golongan usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 perlu lebih kreatif dan mencari jalan untuk bangkit semula, berbanding memilih untuk mengalah, dan membiarkan perniagaan dibina musnah begitu sahaja.

Presiden Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM), Norazizah Borhan, berkata kemelut kewangan global yang melanda dunia ketika ini tidak seharusnya dijadikan semangat dibina sekian lama luntur, tetapi pemangkin untuk terus bersemangat.

Beliau berkata, adalah penting untuk setiap usahawan bijak mencari ruang, dan mempelbagaikan peluang perniagaan sedia ada, bagi memastikan kelangsungan pendapatan.

"Saya sedar memang ramai yang terkesan dengan COVID-19, malah ada perniagaan dibina berdekad lamanya terpaksa menyerah, apabila gagal menghasilkan sebarang pendapatan.

Belum lagi golongan yang diberhentikan kerana majikan menghentikan operasi syarikat," katanya kepada BH ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Norazizah adalah di antara 120 peserta yang menghadiri Sesi Dialog Keusahawanan Wanita 2020, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini, baru-baru ini.

Dialog berkenaan yang turut mendapat kerjasama beberapa agensi berkaitan seperti SME Corporation (SME Corp), Bank Rakyat dan Tekun Nasional (TEKUN) memberi peluang kepada peserta untuk menyuarakan secara langsung cabaran serta isu dialami, susulan krisis kesihatan dunia dihadapi ketika ini.

Norazizah berkata, pembabitan dalam bentuk perniagaan digemari, sekiranya dilatari kaedah sistematik mampu membantu mereka menjana semula pendapatan yang hilang.

"Berbanding hanya mengeluh dan meratap, mengapa tidak kita bangun semula, cari bentuk atau jenis perniagaan yang kita gemari dan berdiri kembali, apatah lagi sekarang banyak bantuan yang kita lihat disalurkan kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Dalam hal ini, kita tidak boleh dinafikan bahawa Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat memberi sumbangan amat besar, dalam membantu memperkasa usahawan wanita, khususnya dari sektor PKS," katanya.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz pula berkata, peratusan usahawan wanita khususnya dari sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di destinasi luar bandar masih tidak begitu arif dengan era digital, justeru proses permohonan bantuan yang kebanyakannya berpaksikan perkhidmatan atas talian sedikit sebanyak agak membebankan.

"Kita bercakap mengenai pemberian bantuan, tetapi rata-rata permohonan diberikan melalui atas talian. Makcik Kiah di kampung tidak tahu bagaimana untuk memohon, justeru beliau terpinggir walaupun memenuhi kriteria diperlukan," katanya memberikan contoh.

Menurut Norhimah, sebarang bantuan diberikan kerajaan dan pihak berkaitan perlu mengambil kira aspek berkenaan, bagi memastikan tiada golongan tercicir.

"Amat menyedihkan apabila mereka seolah sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah perniagaan terjejas kerana COVID-19, tercicir pula dari menerima bantuan hanya kerana tidak arif dengan teknologi atau sistem digital masa kini," katanya

Berita Harian X