Khamis, 10 September 2020 | 1:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

RUU Gangguan Seksual mampu hentikan jenayah

KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang sedang digubal kerajaan diyakini mampu mengatasi masalah gangguan seksual dengan lebih berkesan, berbanding peruntukan undang-undang sedia ada ketika ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata undang-undang berkenaan mempunyai dua matlamat penting, iaitu mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual daripada berlaku dan menyediakan pihak mangsa pembelaan undang-undang yang lebih sesuai, berkesan serta bermakna.

Katanya, ketika ini, tiada akta khusus mengatasi gangguan seksual di negara ini dan mangsa jenayah itu perlu bertindak melalui beberapa saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahan tersendiri, antaranya Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 serta Kanun Keseksaan.

Katanya, antara kelemahan yang ada dalam peruntukan undang-undang itu, termasuk syarat beban pembuktian yang tinggi menyebabkan mangsa sukar membuktikan dakwaan gangguan seksual terhadap dirinya, selain prosedur tidak sesuai untuk mengendalikan kes terbabit yang sensitif dan kompleks.

"Justeru, penting supaya satu peruntukan khas diwujudkan bagi kita mengatasi gangguan seksual dengan lebih berkesan.

"Apa yang paling penting mangsa tidak berasakan diri mereka tiada harapan untuk membawa kes dan mendakwa pelaku ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan.

Muzaffar berkata, hampir setiap tahun masyarakat didedahkan dengan kes gangguan seksual yang turut dialami golongan profesional, termasuk peguam muda, doktor pelatih, malah wartawan.

Baru-baru ini, katanya, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan terhadap suspek bagi kes seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun yang membuat laporan polis selepas mengalami gangguan seksual daripada seorang pensyarah berpangkat profesor madya di universiti.

Beliau berkata, sukar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keputusan dibuat Jabatan Peguam Negara kerana ia keputusan muktamad seperti termaktub di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkembangan terbaru terhadap kes ini dibimbangi boleh membangkitkan persoalan dan perdebatan di dalam kalangan orang ramai terhadap gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita," katanya.

Muzaffar berkata, mangsa yang menghadapi masalah gangguan seksual selalunya tidak dapat hidup aman dan tahap pemikiran serta emosi mereka terjejas.

"Ini menyebabkan mangsa tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa. Jika tiada langkah diambil daripada sekarang bagi membendungnya, masalah ini terus berlaku dan lebih ramai pihak berisiko menjadi mangsa tanpa mengira jantina, tempat dan masa," katanya.

Berita Harian X