Selasa, 1 September 2020 | 10:53am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Usah 'undang' jenayah rogol

IPOH: Kajian mendapati sebahagian besar kejadian rogol di negara ini disebabkan oleh kecuaian berikutan terlalu terdedah kepada media sosial, selain pasangan galak membuat hubungan, rangsangan seperti dari video pornografi dan kesilapan yang dilakukan gadis atau wanita sendiri.

Ada golongan itu yang seolah-olah menjemput perogol contohnya menggunakan media sosial dengan 'check-in' lokasi dan memuat naik gambar yang boleh memberi rangsangan kepada lelaki yang akan menjejaki wanita itu.

Perunding motivasi, Airol Irwan Limin, berkata rogol bukan jenayah biasa, malah ia sesuatu yang menakutkan dan akan memberi kesan besar dalam kehidupan wanita.

Katanya, apabila anak perempuan mengemas kini status dan butir diri selain kekasih meminta gambar tidak berpakaian yang semuanya ini boleh membuka ruang dan menjemput jenayah berlaku.

Perunding motivasi, Airol Irwan Limin. - NSTP/Shazreen Zamzuri
Perunding motivasi, Airol Irwan Limin. - NSTP/Shazreen Zamzuri

Ibu bapa tegasnya, perlu tahu dengan siapa anak bergaul termasuk di media sosial dan untuk kes bapa rogol anak, isteri jangan sembunyikan kejadian serta jangan takut kehilangan suami

"Definasi rogol mengikut undang-undang boleh ditafsirkan jikalau perbuatan bertentangan dengan kehendak wanita atau tiada kerelaannya atau kerelaan yang dibuat secara paksa kerana diancam dengan kematian atau cedera parah.

"Persetujuan wanita yang menyangka lelaki itu adalah suaminya atau dengan kerelaannya ataupun tidak, sekiranya gadis itu berusia di bawah 16 tahun (kes turut diklasifikasikan sebagai rogol)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sembang santai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perak, Siri 2: Jenayah Rogol dan Keganasan Terhadap Wanita vs Solusi yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi JPW Perak, baru-baru ini.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi tahun 2015 hingga 2017, sebanyak 39 peratus kes rogol membabitkan kekasih, kenalan (38 peratus).

Selain itu, sumbang mahram (11.8 peratus), orang asing (8.7 peratus), jiran (2 peratus), guru (0.2 peratus) manakala 0.1 peratus masing-masing membabitkan tunang, rakan sekerja atau majikan dan dukun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jenayah rogol dan keganasan terhadap wanita semakin menular dalam masyarakat dengan kes suka sama suka antara pasangan bawah umur, sumbang mahram atau menjadi mangsa rogol perlu diberi perhatian.

Lebih menyedihkan, kes rogol membabitkan sumbang mahram selain kecuaian diri sendiri dan terjerat dengan lelaki hidung belang yang baharu dikenali menerusi media sosial juga menjadi permasalahan yang tidak seharusnya diketepikan.

"Malah, ada juga kes tertarik dengan tawaran kerja yang dijanjikan sebelum mereka diganasi serta disentuh tanpa kerelaan dan secara paksa," katanya.

Katanya, ramai wanita menjadi mangsa dan mereka perlu mengelakkan diri daripada terus menjadi mangsa kerakusan lelaki perosak.

"Ini kerana jenayah rogol dan keganasan bukan saja meninggalkan titik hitam dalam hidup dan kesan terhadap kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan psikologi mangsa, tetapi boleh juga membawa kepada kecederaan dan kematian," katanya.

Menurutnya, wanita perlu tahu dan mempunyai ilmu supaya dapat mengelak kejadian itu berlaku kepada mereka selain tidak menjemput jenayah dan perogol dengan tindakan tidak sepatutnya.

Katanya, selain itu, pendidikan dan pendedahan sejak dari awal usia seperti bahagian badan yang tidak boleh disentuh lelaki juga adalah signal baik serta memainkan peranan dalam membanteras jenayah itu.

Airol Irwan berkata, selain itu antara teknik jenayah rogol yang dikesan seperti menggunakan budak menangis, menyuntik dadah dalam air, menyorok dalam tandas awam, bersembunyi dalam kereta, menggunakan cecair merangsang wanita dan rawatan bomoh.

"Sekiranya kita nampak budak menangis jangan terus dihantar ke rumah sebaliknya bawa ke balai polis. Kita juga perlu berhati-hati terutama dengan orang yang kali pertama berjumpa.

"Kalau minum dengan orang yang baru dikenali jangan bangun dan tinggalkan minuman (untuk elak lelaki yang berniat jahat masukkan sesuatu dalam air).

"Jika wanita pergi ke tandas awam seperti di stesen minyak, suaminya boleh menemani hingga ke belakang, sekurang-kurangnya kita berada di hadapan tandas dan boleh membantu jika berlaku sesuatu.

"Wanita juga perlu memastikan sentiasa mengunci pintu selepas keluar dari kereta. Mendapatkan rawatan bomoh juga penting berhati-hati, jangan mudah terpedaya.

"Kita mungkin tidak sedar perbuatan itu sebenarnya boleh menjemput penjenayah, jangan keluar malam berseorangan sesuka hati, berhati-hati apabila berkenalan dengan seseorang terutama di media sosial, jangan memuat naik gambar seksi yang boleh merangsang lelaki dan maklumat lokasi," katanya.

Beliau berkata, wanita perlu ada ilmu mempertahankan diri yang boleh dilakukan ketika berdepan dengan situasi cubaan merogol.

Katanya, kebiasaan wanita yang berhadapan dengan situasi ini akan menjerit 'tolong' atau 'argh', namun sebaiknya yang boleh dibuat adalah jeritan 'polis'.

Manusia dari segi psikologi jika dengar perkataan polis akan ''menggelabah'.

"Jadi apabila ada cubaan merompak, merogol dan sebagainya anda lari sambil menjerit polis, itu akan membuat tindakan (si pelaku) terhenti," katanya.

Berita Harian X