Khamis, 21 Mei 2020 | 2:48pm
Kuih karas. - Foto hiasan
Kuih karas. - Foto hiasan

Kuih tradisional tetap jadi pilihan

BOTA: Kebanjiran pelbagai kuih moden dengan dekorasi lebih menarik dan pelbagai pilihan warna tidak menggugat legasi kuih tradisional yang diusahakan sejak sekian lama.

Malah, kuih tradisional mampu bertahan sehingga kini biarpun hanya dengan berlandaskan resipi turun-temurun keluarga tanpa perlu banyak pengubahsuaian.

Ia dibuktikan kuih karas, agar-agar kering, dodol, bangkit serta bahulu yang tetap mempunyai peminat tersendiri dan pengusahanya menerima banyak tempahan setiap kali menjelang musim perayaan.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini susulan penularan wabak COVID-19, turut menjejaskan tempahan pelanggan sekali gus mengubah landskap perniagaan dengan dilakukan secara atas talian.

Pembuat kuih karas dari Kampung Padang Serai, Manjung, Mariani Abdul Rani, 51, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan dari sekitar Perak dan Klang, Selangor.

Mariani bersama anaknya, Nur Asmayani Amirah membuat kuih karas yang ditempah pelanggan. - Foto ihsan Mariani
Mariani bersama anaknya, Nur Asmayani Amirah membuat kuih karas yang ditempah pelanggan. - Foto ihsan Mariani

Katanya, kebiasaannya beliau akan memulakan kerja memasak pada awal Ramadan supaya pelanggannya dapat mengambil bekalan mengikut masa yang sudah ditetapkan atau lebih awal lagi.

"Permintaan terhadap kuih tradisional terutama kuih karas masih ada dan tempahan diterima daripada pelbagai lapisan umur tidak terhad kepada golongan berusia saja.

"Sebelum ini saya dengan bantuan anak, Nur Asmayani Amirah Mat Kasim, 20 bertungkus-lumus menyiapkan tempahan pelanggan hingga kuih untuk rumah sendiri terpaksa dibuat pada malam raya," katanya yang mula menyiapkan tempahan pada Ramadan ke-13 lalu.

Mariani berkata, untuk tahun ini tempahan yang diterima sangat berkurangan dan boleh dikatakan perniagaan kuih tradisional yang diusahakan sejak lebih 15 tahun lalu kian meruncing disebabkan penularan wabak berkenaan.

"Pada tahun ini, saya hanya menerima tempahan 300 bekas saja berbanding lebih 500 bekas pada tahun lalu, manakala agar-agar kering pula 20 kilogram (kg) yang jauh berbeza dengan lebih 50kg tempahan pada tahun lalu.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana masih menerima tempahan dan ini juga menunjukkan kuih tradisional masih mempunyai permintaan namun akur dengan arahan kerana ketika ini keselamatan diri perlu diutamakan," katanya.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, bancuhan kuih karas sangat ringkas iaitu hanya menggunakan tepung beras dan air gula saja mengikut sukatan supaya urat kuih yang dihasilkan halus.

Katanya, sekilogram adunan menghasilkan 160 keping kuih karas dengan menggunakan resipi warisan keluarga yang diturunkan ibu, Chek Mah Yahya, 72, berserta acuan pusaka peninggalan neneknya yang sudah berusia lebih 60 tahun.

"Sekilo adunan memakan masa hampir empat jam dan saya terpaksa duduk untuk memudahkan kerja kerana acuan perlu disangkut untuk membuat bulatan bagi mendapatkan urat yang cantik.

"Proses penyediaannya rumit dan menuntut kesabaran tinggi kerana kuih karas perlu dimasak satu-satu dalam minyak yang tidak terlalu banyak, manakala api perlu dikawal sekata untuk mendapatkan warna yang cantik sebelum dibentuk," katanya.

Mariani berkata, selain kuih karas dan agar-agar kering antara kuih tradisional lain yang dihasilkan adalah putu kacang, putu beras, bangkit kacang dan jejari udang.

Bagi pengusaha dodol Perak, Normi Ramli, 49, mereka juga terjejas ekoran pelaksanaan PKP yang memaksanya menukar landskap perniagaan dengan melakukan jualan secara dalam talian sepanjang Ramadan ini.

Normi membungkus dodol yang ditempah pelanggan. - NSTP Hidayah Tanzizi
Normi membungkus dodol yang ditempah pelanggan. - NSTP Hidayah Tanzizi

Beliau yang ditemui di bengkelnya di Kampung Empai, Teluk Sareh di Pulau Tiga, dekat Kampung Gajah, baru-baru ini memaklumkan alternatif itu dilakukan bagi memasarkan produk selepas mengalami kekurangan pelanggan ke premisnya.

Beliau berkata, sebelum ini dodol resipi warisan keluarganya mendapat permintaan tinggi terutama pada Ramadan dan Aidilfitri, tetapi penularan wabak COVID-19 sangat memberi kesan kepada perniagaannya.

"Selalunya tempahan untuk Ramadan dan Aidilfitri akan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa, malah boleh dianggap lubuk rezeki bila tiba bulan ini, namun ketika ini agak sukar susulan penularan wabak ini.

"Tetapi saya bersyukur masih menerima tempahan termasuk dari luar Perak biarpun tidak banyak seperti sebelum ini dan terpaksa menggunakan perkhidmatan pos," katanya.

Normi yang juga generasi ketiga menjalankan perniagaan itu berkata, keistimewaan dodol Perak tidak menggunakan gula biasa, merah atau kabung sebaliknya menggunakan gula hangus.

Katanya, kebiasaannya dia akan menerima tempahan lebih 700 kilogram (kg) setiap kali menjelang Ramadan, namun ketika ini pemprosesan dodol baru dilakukan empat kali saja sejak PKP dilaksanakan.

"Ramadan kali ini memang sangat berbeza dan dodol dihasilkan sekarang tidak sampai 100 kg. Selalunya tempahan sudah diterima sebelum puasa tetapi kali ini telefon kami agak 'sunyi' kerana kurang tempahan dari pelanggan.

"Bagaimanapun, harga jualan masih tidak berubah kerana saya perlu mengira kos bahan mentah dan upah pekerja cuma akan bagi diskaun untuk bayaran penghantaran," katanya.

Aishah menunjukkan kuih bahulu yang dihasilkan untuk juadah Aidilfitri. - NSTP Hidayah Tanzizi
Aishah menunjukkan kuih bahulu yang dihasilkan untuk juadah Aidilfitri. - NSTP Hidayah Tanzizi

Pengusaha kuih bakar dan bahulu, Aishah Mohamad, 78, berkata, beliau menjalankan perniagaan yang kini diwarisi kepada anaknya, Ishamsul Desa, 51, sejak 1970-an dan kerap menerima tempahan dalam skala besar.

Katanya, ekoran penularan wabak COVID-19 mereka terpaksa mengambil keputusan untuk tidak mengambil tempahan namun tetap menyediakan bahulu untuk dijual di hadapan rumah.

"Kalau dahulu pernah terima tempahan hingga 10,000 bekas, kami bakar bahulu siang dan malam tetapi sekarang memang berubah dan kami tidak mengambil tempahan kerana kita tidak tahu bagaimana situasi selepas ini selain tahu ramai yang terjejas ketika ini.

"Jadi, kami ambil keputusan bahulu tetap dibakar untuk jualan terus di rumah saja dan kuih bakar pula tahun ini tidak dapat buat kerana saya kurang sihat tetapi masih ada orang bertanya," katanya yang tinggal di Kampung Aji, Bota Kiri, Bota, Perak.

Berita Harian X