Selasa, 5 Mei 2020 | 7:02am
Rohana menjahit pakaian di rumahnya. - Foto ihsan Rohana Julis
Rohana menjahit pakaian di rumahnya. - Foto ihsan Rohana Julis

Kedai jahit sunyi kurang tempahan

KOTA KINABALU: Lazimnya sebelum menjelang Ramadan tukang jahit dan pereka fesyen masih menerima tempahan menjahit baju raya daripada pelanggan untuk digayakan pada pagi Syawal.

Namun, keadaan tahun ini berbeza selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi memutuskan rangkaian virus COVID-19 menyebabkan kebanyakan tukang jahit kurang tempahan.

Tukang jahit dari Papar, Sabah, Rohana Julis, 38, berkata tempahan kurang diterima deretan kedai jahit tempatnya bekerja di tingkat dua Pasar Am Papar, di sini.

"Tahun lalu, pendapatan saya mencecah RM5,000 hasil tempahan baju raya, tetapi tahun ini saya hanya menerima tempahan daripada 10 pelanggan.

"Setakat ini untung saya RM160 untuk dua helai baju raya yang baru diambil pelanggan.

"Sekarang saya hanya menjahit dari rumah. Mujur saya masih menerima tempahan menjahit seragam kerja, khususnya untuk petugas kesihatan.

"Saya bersyukur kerana mempunyai sebuah mesin jahit di rumah, selain mesin jahit di kedai saya di tingkat atas Pasar Am Papar.

"Bagi rakan yang tiada mesin jahit di rumah, pendapatan mereka terjejas sejak PKP," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu mengakui sangat merindui kesibukan menyiapkan tempahan baju raya bersama tukang jahit lain yang sama mencari rezeki di tingkat dua Pasar Am Papar.

"Kebiasaannya pada waktu begini saya sibuk menyiapkan tempahan baju raya bersama rakan.

"Pada Ramadan biasanya kami menjahit sehingga malam dan berbuka puasa bersama. Sekarang 'mood' menyambut lebaran juga tidak ada," katanya.

Rohana memberitahu, kini beliau hanya menjahit pakaian seragam kerja yang diterima daripada kenalan rapat di rumah.

"Memandangkan ramai pelatih kesihatan yang dipanggil bertugas, jadi mereka amat memerlukan uniform.

"Malah, baru-baru ini ada seorang pelanggan yang dipanggil bertugas secara mengejut, kelam-kabut mencari tukang jahit.

"Saya terpaksa guna aksesori sedia ada di rumah seperti zip dan butang memandangkan tiada kedai menjual barangan jahitan dibuka sepanjang PKP.

"Sekiranya kehabisan benang putih saya terpaksa meminta daripada orang lain.

"Sebelum ini ada pembekal barangan menjahit dari Kota Kinabalu menghantar bekalan, tetapi sekarang pembekal tidak berani keluar, tambahan pula Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai Zon Merah," katanya.

Berita Harian X