Selasa, 14 April 2020 | 7:43am
Nur Aini (kanan) bersama rakan setugas ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya sepanjang PKP.
Nur Aini (kanan) bersama rakan setugas ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya sepanjang PKP.

Khidmat wanita barisan hadapan setanding lelaki

KUALA LUMPUR: “Kami perlu sentiasa bersedia dalam tempoh 24 jam dan bekerja tujuh hari seminggu bagi melakukan pemantauan dan menghantar laporan empat jam sekali.

“Sepanjang operasi sekatan jalan raya, saya sering berdepan dengan bermacam-macam kerenah orang awam yang tidak patuh arahan dan pandang rendah anggota polis wanita,” katanya.

Alah bisa tegal biasa. Itu antara cabaran dan pengalaman dilalui anggota polis, dari Balai Polis Genting Highlands, Koperal Nur Aini Mohd Azmi, 34, sepanjang melaksanakan tugas sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.

Katanya, beliau bersama pasukannya termasuk beberapa polis wanita lain kerap berdepan dengan masyarakat yang degil tidak mahu mengikut arahan supaya duduk di rumah.

“Banyak kali saya saya hadapi keadaan itu, orang awam ingkar arahan PKP. Tak bagi sebab munasabah kita arah mereka berpatah balik ke rumah.

“Mereka ingkar hanya kerana kami ini polis wanita, jadi tidak ada cara lain, saya mendapatkan bantuan anggota polis lelaki menasihati jika masih tidak patuh, mereka akan ditahan,” katanya.

Ternyata khidmat wanita setanding kudrat lelaki apabila golongan itu saling berganding bahu bersama barisan hadapan di kala negara berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Jasa wanita dalam pelbagai cabang sebagai petugas barisan hadapan dicurahkan demi melawan wabak COVID-19 yang saban hari semakin mencabar.

Bercerita lanjut, Nur Aini yang sudah 12 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata cabaran polis wanita hari ini dalam menjalankan tugas sama sahaja seperti anggota lelaki.

Selain itu, Nur Aini berkata, sepanjang PKP banyak pengorbanan perlu dilakukan termasuk melupakan hasrat bercuti dan menziarahi keluarga.

Justeru, beliau mengharapkan kesedaran masyarakat meningkat dalam tempoh lanjutan PKP bagi mematuhi arahan, selain tidak mempertikai atau memperlekehkan anggota polis berkhidmat demi keselamatan semua.

Sementara itu, tugas barisan hadapan turut dilalui sama seperti petugas perubatan.

Bagi penolong pegawai farmasi, Farrah Azman, 34, berkata walaupun beliau hanya staf sokongan yang ditugaskan membantu pengendalian COVID-19 iaitu bertugas atas panggilan (on call), ia tetap memerlukan persediaan mental dan fizikal yang tinggi.

“Dari jam 8 pagi hingga 5 petang saya melakukan kerja hakiki di wad pembedahan, selepas itu perlu membantu unit lain termasuk kecemasan sehingga jam 10 malam.

“Bertugas di unit kecemasan memerlukan ketahanan minda kerana setiap kakitangan perlu memakai sut perlindungan peribadi (PPE) yang tetap terdetik kebimbangan mungkin dijangkiti virus ini,” katanya.

Beliau berkata, risiko untuk menyebarkan jangkitan pihak lain tetap ada memandangkan beliau menyewa rumah dengan rakan sekerja yang kebanyakannya dalam kalangan barisan hadapan juga.

“Kebanyakan rakan yang menyewa bersama dalam kalangan jururawat. Jadi risiko untuk sesama kami membawa pulang virus ke rumah tetap ada.

“Jadi, sejak awal Mac lalu ketika jumlah kes COVID-19 semakin meningkat, saya juga ambil keputusan tidak menjenguk ahli keluarga yang tinggal Lembah Pantai.

“Apatah lagi, selepas kawasan itu diisytiharkan zon merah, tentu sahaja keselamatan dan kesihatan keluarga lebih diutamakan,” katanya.

Farrah menasihati masyarakat supaya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebersihan secara maksimum dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19, antaranya dengan kerap membasuh tangan dan mengamalkan penjarakan sosial sama ada ketika menjalankan tugas, membeli barangan di kedai runcit dan urusan.

Berita Harian X