Khamis, 2 April 2020 | 9:50pm
Yang Zaharah menyifatkan pakej PRIHATIN memberi banyak manfaat kepada rakyat dan perusahaan Kiah Pekasam Enterprise. - Foto BERNAMA
Yang Zaharah menyifatkan pakej PRIHATIN memberi banyak manfaat kepada rakyat dan perusahaan Kiah Pekasam Enterprise. - Foto BERNAMA

Pakej PRIHATIN bantu kelangsungan operasi Kiah Pekasam

IPOH: Generasi ketiga pengendali perusahaan Kiah Pekasam Enterprise sebelum ini risau memikirkan nasib perniagaan keluarga yang berusia kira-kira 60 tahun di Kampung Pengkalan Ikan, Kuak, Lenggong, di sini, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Bagi Yang Zaharah Ahmad Mazlan, 43, dia bukan saja berdepan risiko bertan-tan ikan yang disimpan di dalam kilang mini sebelah rumahnya akan rosak kerana tidak dapat diproses, malah jualan produk juga susut.

Kini, Yang Zaharah boleh menarik nafas lega kerana menyifatkan hampir 50 peratus daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu bakal dinikmati antaranya kebenaran penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selama tiga bulan mulai 1 April.

“Ini pastinya melegakan saya dan begitu juga PKS lain yang tidak dinafikan terkesan dengan PKP kerana sekarang baru awal tahun, tidak tahu berapa lama lagi masalah ini. Jadi pendapatan kami juga susut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, setiap bulan beliau dapat memasarkan lebih satu tan ikan pekasam pelbagai jenis antaranya gelama, loma, tilapia dan sepat yang dijual di beberapa pasar raya seluruh Perak, selain kedai runcit, namun kini jumlah itu mungkin tidak dapat dicapai.

Selain itu, katanya, faedah lain yang dinikmati oleh syarikat Kiah Pekasam Enterprise ialah pemberian diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus ke atas bil elektrik berdasarkan kadar penggunaan, selain dua peratus yang diumumkan sebelum ini.

“Setiap bulan bil elektrik untuk kilang mini saya antara RM190 hingga RM250 dan jika menikmati diskaun serendah 15 peratus ditambah lagi dengan dua peratus, saya dapat menjimatkan lebih RM30 sebulan,” katanya.

Bimbang bekalan ikan yang ada akan rosak, selain enam pekerjanya akan hilang pendapatan, Yang Zaharah berkata, dia membenarkan pekerja datang untuk membersihkan ikan, tetapi tetap mengutamakan langkah pencegahan jangkitan seperti memastikan jarak sosial serta memakai penutup muka.

“Waktu bekerja juga tidak lama, dalam lima ke enam jam. Kami bimbang ikan yang sudah diperam dengan beras akan rosak jika dibiar terlalu lama atau lebih tiga minggu diperam dengan beras,” katanya.

Sebagai majikan, beliau turut menguar-uarkan kepada pekerjanya mengenai faedah yang mereka akan dapat daripada PRIHATIN, termasuk bayaran RM1,600 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah.

“Tinggal kampung, ada suami (pekerja) yang hanya kerja sebagai nelayan, berapalah hasilnya.

“Jadi, selepas pengumuman (pakej rangsangan) saya beritahu mereka banyak boleh dapat kerana mungkin ada yang tidak faham. “Apapun, lega dan bersyukur. Dia (Perdana Menteri) memang fikir apa yang orang susah ini fikir dan rasa, dia bagi adil kepada semua. Ada yang tidak dapat banyak, sikit pun syukur daripada tidak dapat langsung,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X