Sabtu, 28 March 2020 | 10:42am
Abdul Fattah (empat dari kanan) bersama anggota KOWANI yang memasarkan produk pati asam jawa ke seluruh Pahang.
Abdul Fattah (empat dari kanan) bersama anggota KOWANI yang memasarkan produk pati asam jawa ke seluruh Pahang.

Wanita mampu perkasa sektor koperasi negara

LIPIS: Pembabitan aktif wanita dalam gerakan koperasi penting bagi memastikan sektor itu terus berdaya saing dan dijadikan platform untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi, melalui pemasaran produk ke pasaran yang lebih luas.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata peranan wanita mampu memberi impak besar serta melonjak sektor koperasi negara untuk sama-sama menyumbang kepada pendapatan negara.

Beliau berkata, 40 peratus daripada lapan juta ahli koperasi adalah wanita dan mereka adalah pengguna serta tenaga kerja utama sektor koperasi.

“Pada masa kini ada 249 koperasi wanita, 28 koperasi ibu tunggal dan selebihnya koperasi puteri yang menyertai pelbagai bidang perniagaan dengan keahlian lebih 100,000 orang.

“Kewujudan koperasi wanita ini memberi saingan kepada koperasi yang diterajui oleh golongan lelaki.

“Malah, peningkatan bilangan koperasi wanita membuktikan, wanita negara ini ada kesedaran tinggi untuk berjaya di dalam kegiatan gerakan koperasi,” katanya selepas menghadiri Persidangan Negeri ANGKASA Pahang, Zon Dua di Dewan Residen, di sini.

Abdul Fattah berkata, melalui pelbagai aktiviti perniagaan dan perkhidmatan, koperasi terbabit berjaya memperolehi pendapatan kira-kira RM10 juta setahun.

“Bagaimanapun, di peringkat kepimpinan koperasi, pembabitan wanita hanya dua peratus, justeru ia masih perlu diperkasa. Koperasi wanita perlu terus melakukan transformasi secara berstruktur, sistematik dan komprehensif bagi menjana lebih keuntungan, sekali gus memberi faedah kepada anggota,” katanya.

Sementara itu, bagi Koperasi Perkumpulan Perempuan (WI), Lipis, (KOWILIP) cabaran Presiden ANGKASA itu menyebabkan mereka terus pandang ke depan bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan koperasi yang diterajui lelaki.

Pengerusinya, Wan Norizan Wan Badaruzzaman, berkata koperasi yang mempunyai 320 ahli itu kini tidak lagi menjalankan aktiviti tradisi golongan wanita.

Koperasi ini diberi kepercayaan oleh Pejabat Kebajikan dan Masyarakat Daerah Lipis untuk membekalkan barang mentah pangkalan hadapan banjir untuk daerah Lipis sejak enam tahun yang lalu.

“Selain itu kami turut membekalkan lembu untuk korban setiap kali menjelang hari raya haji dan majlis lain seperti akikah dan kenduri,” katanya.

Kita KOWIILIP terus melangkah ke depan apabila mengambil alih pengurusan Hotel Lipis Centrepoint di tengah bandar Kuala Lipis dan ini adalah kejayaan terbesar dan berharap ahli terus memberi komitmen memajukan koperasi ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi Koperasi Wanita Jerantut Berhad, (KOWANI) selain memasarkan barangan yang dikeluarkan oleh ahli, mereka turut menceburi bidang pengedaran produk sendiri iaitu pati asam jawa.

Pengerusinya, Datuk Khatijah Mohd Said, berkata produk koperasi ini dibekal kepada beberapa pasar raya dan kedai runcit di setiap daerah di Pahang.

“Walaupun ahli hanya 300 orang tetapi ahli sentiasa bekerjasama memasarkan produk koperasi di mana sahaja terutama ketika ada pameran, ekspo dan sebagainya. Selain melantik pengedar kepada yang berminat,” katanya.

Berita Harian X