Khamis, 13 Februari 2020 | 12:20pm
Anggota bomba wanita dilengkapi kemahiran sebagai persediaan melaksanakan tugas penyelamatan dan operasi.
Anggota bomba wanita dilengkapi kemahiran sebagai persediaan melaksanakan tugas penyelamatan dan operasi.
Latihan yang dilakukan anggota bomba wanita ketika melakukan operasi penyelamatan di aras tinggi.
Latihan yang dilakukan anggota bomba wanita ketika melakukan operasi penyelamatan di aras tinggi.

Latih anggota bomba wanita setanding lelaki

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan mempertingkatkan kemahiran dan latihan kepada semua pegawai bomba di negeri ini, untuk melakukan tugas setanding dengan anggota lelaki.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kedah Sayani Saidon berkata, setakat ini JBPM Kedah mempunyai 44 pegawai tetap wanita dan 25 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) wanita yang bertugas di 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.

Beliau berkata, dengan latihan dan kemahiran yang diberikan itu dapat menangkis tanggapan masyarakat sebelum ini anggota bomba wanita hanya bekerja di pejabat, namun sebaliknya mereka diberi latihan sama seperti lelaki.

“Kami juga mempunyai anggota wanita dalam Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ada yang boleh memandu jentera serta berkemahiran memanjat bangunan tinggi dan sebagainya.

“Cuma setakat ini kita belum ada pegawai wanita kita yang terbabit dalam unit pasukan khas seperti STORM, HAZMAT, RIM, Must Team atau Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), ” katanya ketika ditemui, di sini.

Sayani berkata, kesemua pegawai bomba wanita akan menjalani Kursus Pemantapan Pegawai Wanita JBPM Kedah bermula Ahad hingga Selasa ini di Pulau Singa, Langkawi.

Beliau berkata, kursus itu bertujuan untuk memberi kemahiran kepada pegawai wanita untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dalam tugas penyelamatan dan operasi.

“Setiap anggota bomba wanita kita sudah mempunyai kemahiran dan terlatih dalam mengendalikan operasi menyelamat pada aras tinggi dan mereka mampu lakukan dengan baik,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X