Jumaat, 7 Februari 2020 | 7:58am
Fadhly (empat dari kiri, belakang) dan Norzaiton (lima dari kiri, belakang) bersama ahli panel pada sidang media Inisiatif OKU oleh MYNIC, di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Fadhly (empat dari kiri, belakang) dan Norzaiton (lima dari kiri, belakang) bersama ahli panel pada sidang media Inisiatif OKU oleh MYNIC, di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Saifullizan Tamadi

OKU tak terpinggir depani IR4.0

CYBERJAYA: Golongan orang kurang upaya (OKU) kini berpeluang berada secara inklusif di dalam arus digital dunia perniagaan dalam talian, sekali gus dapat mempromosi produk mereka secara meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Fadhly Hasan, berkata inisiatif itu bertujuan mempromosi dan menggalakkan penyertaan mereka bagi mendapat peluang sama rata seperti insan normal.

Justeru, MYNIC iaitu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertanggungjawab menyediakan program latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta media sosial kepada golongan itu.

Katanya, latihan ICT itu dapat meningkatkan adaptasi teknologi digital khususnya dalam kalangan OKU untuk membantu transformasi perniagaan mereka seiring era Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) ini.

“Di MYNIC, matlamat kami untuk merapatkan jurang dan menyediakan peluang sebagai platform kepada semua masyarakat.

“Kami mahu mengimbangi pasaran dan mempromosikan peluang keupayaan digital kepada komuniti OKU supaya mereka dapat memanfaatkan revolusi digital di negara ini.

“Jangan lupa, golongan OKU ini juga sebahagian daripada potensi pelanggan di dunia digital, jadi mereka juga seharusnya didedahkan dan diberi peluang untuk berada pada era teknologi dalam talian ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Inisiatif OKU oleh MYNIC, di sini, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi MYNIC, Norzaiton Senusi; Pengerusi Persatuan OKU Sentral, Ras Adiba Mohd Radzi; Pengarah Eksekutif Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia, Moses Choo dan Pengasas DAPE Garage, Mohd Afiq Barni.

MYNIC berperanan membantu menyediakan domain.my dan perkhidmatan lain berkaitan, memberikan identiti internet unik kepada organisasi serta individu di negara ini.

Fadhly berkata, mereka layak mendapat diskaun 50 peratus dan hanya perlu membayar RM60 setahun untuk pendaftaran baharu nama domain.MY dan boleh mendaftar sehingga lima nama domain.MY.

“Ini peluang golongan OKU mengubah nasib dan menjana pendapatan dalam talian,” katanya.

Ras Adiba berkata, peluang itu dapat digunakan untuk mendekati golongan OKU menerusi latihan perniagaan berkenaan.

“Kita berharap dapat mencipta peluang dan memberi inspirasi kepada OKU lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang itu. Pintu sudah terbuka untuk OKU mengubah nasib, jangan merasa segan lagi dan rebut peluang yang ada,” katanya.

Bagi Afiq pula, sebelum ada akaun domain.MY sendiri, perniagaan yang diusahakan, iaitu alat bantuan memandu OKU kurang mendapat sambutan kerana tidak ada yang mengenalinya.

“Tetapi kini, selepas memiliki domain.MY sendiri, iaitu dapegarage.my, lebih 100,000 orang sudah menjengah masuk ke laman webnya dan turut menerima tempahan dari luar negara. Pendapatan saya juga meningkat 60 peratus berbanding sebelum memiliki website sendiri,” katanya.

Golongan OKU yang ingin mendaftar boleh lakukan di talian www.ichoose.my atau layari mynic.my/okubenefits.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X