Rabu, 4 Disember 2019 | 2:47pm
ANTARA koleksi selendang tenun diperagakan. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA koleksi selendang tenun diperagakan. - Foto Rohanis Shukri

Jualan selendang tenun kutip dana bantuan

KUALA LUMPUR: Badan kebajikan kerabat Negeri Sembilan, Royal Sembilan mengambil inisiatif mengumpul dana dengan memperkenalkan tiga koleksi selendang eksklusif daripada tekstil tenun dalam usaha membantu golongan yang begitu memerlukan.

Royal Sembilan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Najihah, memperkenalkan tiga rangkaian selendang tenun iaitu Jawahir, Jehan dan Najihah diambil sempena nama keluarga Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketiga-tiga mereka iaitu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Tunku Puteri Jawahir Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tengku Asra Jehan Tan Sri Tengku Azlan.

Pengasas Royal Sembilan, Jawahir berkata, koleksi selendang tenun dihasilkan tukang tenun dalam kalangan ibu tunggal dan asnaf dari beberapa negara antaranya Indonesia, Kemboja dan Thailand.

Beliau berkata, pihaknya mendapati, ada kumpulan wanita di kawasan pedalaman berbakat menghasilkan tenun berkualiti. Antara corak rekaan yang diilhamkan termasuk tema Minangkabau yang menjadi identiti penduduk di Negeri Sembilan.

“Bagi menyokong hasil kerja seni mereka yang melakukan kerja menenun di tempat masing-masing, kita membeli bagi membantu menjana pendapatan lebih baik.

TUANKU Najihah memotong kek pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di ibu kota, baru-baru ini. - Foto Rohanis Shukri
TUANKU Najihah memotong kek pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di ibu kota, baru-baru ini. - Foto Rohanis Shukri

“Kita mengharapkan sebahagian keuntungan jualan akan disalurkan kepada Yayasan Tuanku Najihah bagi menampung aktiviti kebajikan membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di ibu kota baru-baru ini.

Jawahir berkata, selendang adalah sebahagian tradisi budaya setiap perkampungan serta suku kaum di ASEAN, masing-masing mempunyai tema tenunan tradisional tersendiri.

“Selendang tenun ini membawa sifat mulia, berdaya tahan, cantik malah penuh makna. Walaupun hanya sehelai kain selendang tetapi corak fabrik tenun menyerlahkan penampilan sesiapa individu yang menggayakannya.

“Aksesori ringkas menyerlahkan keanggunan wanita malah relevan bukan saja kepada yang tidak berhijab malah mereka yang mengenakan tudung juga nampak lebih bergaya,” katanya.

Koleksi Najihah menampilkan rekaan tenun atap tema Minangkabau, manakala Jawahir dan Jehan bersifat geometrik terang tetapi masih mengekalkan identiti Negeri Sembilan. Koleksi berkenaan cantik dan manis dipakai bersama baju kebaya.

“Kita ingin mengetengahkan identiti Negeri Sembilan kepada pencinta seni fesyen. Inisiatif ini dapat memelihara ikon budaya bangsa yang kaya dengan seni warisan tersendiri,” katanya.

Semua rekaan adalah buatan tangan dengan menggunakan kayu tenunan tradisional sebagai asas. Setiap helaian selendang mengambil masa antara empat hingga 10 hari untuk disiapkan. Sehelai selendang dijual bermula pada harga RM650.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X