Rabu, 6 November 2019 | 11:06am
PERAJURIT muda semakin menyerlah dan mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan anggota lelaki Port Dickson. - Nstp Mohd Khidir Zakaria

Pranita setanding lelaki

PORT DICKSON: Tentera dalam kalangan wanita yang dikenali sebagai Pranita di Pusat Latihan Askar Wataniah (PLAW) Tambun, Ipoh, Perak, kini diberi peluang berlatih bersama dengan perajurit muda lelaki di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini.

Wanita terbabit di dalam bidang ketenteraan kini juga dilihat semakin menyerlah dan mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan anggota lelaki.

Perajurit muda, Syarah Nur Hajar Salam, 21, dari Tuaran, Sabah, berkata, latihan dan layanan diterima di PUSASDA, tiada bezanya dengan perajurit muda lelaki.

Katanya, jurulatih pernah memaklumkan ini kerana dalam dunia perang yang sebenar, tiada bezanya antara lelaki dan perempuan berikutan peluru tidak mengenal jantina.

“Malah, selepas tamat latihan selama enam bulan kami seramai 68 perajurit wanita amat berbangga kerana berjaya menempuh semua bentuk cabaran.

“Saya mahu buktikan wanita juga mampu lakukan sama seperti lelaki, terutama dalam bidang ketenteraan,” katanya.


SYARAH Nur Hajar Salam, 21 (tengah) bersama ibunya, Yam Pog, 53, gembira bertemu selepas enam bulan menjalani latihan di PUSASDA, Port Dickson. - NSTP - Mohd Khidir Zakari

Beliau ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 189/19 dan Wanita Siri 45/19 di PUSASDA, di sini, baru-baru ini.

Selain 68 perajurit wanita, 1,696 Perajurit Muda Lelaki turut menamatkan latihan mereka.

Ibu kepada Syarah Nur, Yam Pog, 53, berkata dia terkejut sebaik anaknya memaklumkan akan menjalani latihan ketenteraan di PUSASDA selepas berjaya dalam pemilihan di Tuaran.

Katanya, beliau sedar anak kelima daripada tujuh beradik itu amat meminati kerjaya sebagai tentera sejak kecil walaupun tiada anak lain berkecimpung dalam bidang itu.

“Saya tidak menghalang minatnya, tetapi sebagai ibu saya bimbang dia gagal di pertengahan jalan. Tambahan pula, dia beritahu akan terima latihan bersama pelatih lelaki.

“Hari ini saya hadir ke Port Dickson mahu menunjukkan betapa bangganya saya kerana dia satu-satunya anak yang bertugas sebagai tentera.

“Sebaik lintas perbarisan perajurit muda wanita, saya menitiskan air mata kerana anak saya di tengah-tengah mereka yang hebat,” katanya.

Bagi perajurit muda Farialan Jamaludin, 24, dari Lahad Datu, Sabah, dia mula minat bidang ketenteraan selepas peristiwa pencerobohan di Lahad Datu enam tahun lalu yang meninggalkan kesan pada dirinya.

Katanya, peristiwa itu membuatkan hatinya terpaut pada kerjaya tentera dan berikrar mahu menjadi sebahagian anggota pasukan yang bertugas ketika itu.

“Sebaik melihat peluang yang ada, saya memohon sesi pemilihan sebagai pelatih dengan hanya berbekalkan sijil persekolahan, selain minat yang mendalam.

“Mungkin sudah tersurat rezeki saya, maka sekarang saya bergelar perajurit muda,” kata.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata pengambilan tentera wanita dilakukan mengikut keperluan semasa bagi mengisi kekosongan.


PERAJURIT Muda ketika majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat siri 188/2018 di PUSASDA, Port Dickson. - NSTP Mohd Khidir Zakaria

Katanya, Tentera Darat mempunyai cara tersendiri dalam memilih anggota, termasuk kekosongan tentera wanita yang amat terhad.

“Tugasan anggota Tentera Darat sekarang ialah menjaga dua wilayah, iaitu Sabah dan Sarawak serta wilayah Semenanjung.

“Ada ketika kita memerlukan hampir 200 anggota wanita, ada ketika hanya 68 orang dan ada ketika dalam siri pengambilan anggota baharu, tiada anggota wanita diperlukan kerana kita ambil mengikut keperluan perkhidmatan,” katanya.

Berita Harian X