Khamis, 19 September 2019 | 3:00pm
Gambar hiasan.

Mudahkan mohon status kewarganegaraan anak

PETALING JAYA: Tiga kementerian sedang mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan wanita warga negara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik.

Kajian itu membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Ketiga-tiga kementerian berkenaan sudah berbincang sejak April lalu bagi melihat kesesuaian semasa berkaitan undang-undang berkenaan kerana sudah dikuatkuasa sejak berdekad lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata kementeriannya berusaha memastikan wanita yang melahirkan anak di luar negara memperoleh haknya sebagai mana diperoleh anak warga negara lelaki.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. - NSTP/Rohanis Shukri

Katanya, ketika ini hanya bapa warga tempatan dibenarkan memperoleh kewarganegaraan anak yang dilahir di luar negara, secara automatik manakala ibu perlu membuat permohonan bagi tujuan itu.

“Menerusi beberapa perbincangan itu kita melihat perkembangan positif apabila KDN bersedia meneliti perkara itu.

“Lima penekanan utama dicadangkan iaitu mereka yang membuat permohonan, iaitu perlu melakukan ujian deoksiribonukleik (DNA) sebagai bukti konklusif untuk kelulusan kewarganegaraan.

“Kriteria lain ialah kewarganegaraan anak melalui penerimaan undang-undang saksama seperti hak warga negara lelaki, keutamaan memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mempermudahkan proses permohonan yang lebih mesra kepada wanita serta keluarga dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus mengemukakan alasan kukuh h bagi penolakan permohonan kewarganegaraan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan video Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia yang menggesa Pindaan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan di sini, semalam.

Kempen itu dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan diskriminasi jantina terhadap wanita di negara ini.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/Rosela Ismail

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Penasihat Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia, Ivy Josiah dan Penyelaras kempen, Bina Ramanand.

Kempen itu sebagai memohon pindaan yang membenarkan wanita mendapat taraf kewarganegaraan kepada anak mereka sebagaimana kewajipan di bawah Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diperakui Malaysia pada 1995.

Yeoh berkata, perbincangan antara kementerian itu bertujuan mencari jalan penyelesaian termasuk penambahbaikan isu kewarganegaraan terutama berkenaan prosedur dan perkhidmatan untuk ibu yang memohon warga negara untuk anak mereka.

“Kita mendapati ramai wanita melalui pelbagai prosedur memohon kewarganegaraan anak sehingga bertahun-tahun. Malah mereka menghadapi kesukaran memperoleh akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial dan dalam jangka panjang sekali gus menghadapi masalah sosio-ekonomi.

“Berikutan itu, ada antaranya terpaksa berpisah daripada keluarga berikutan perbezaan kewarganegaraan, iaitu anak tidak dapat keluar negara. Jika berada di negara ini mereka menggunakan pas lawatan (sosial) yang perlu diperbaharui mengikut tempoh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, kesaksamaan gender adalah teras manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu Iltizam Khusus Untuk Wanita.

Justeru, pindaan mengkaji semua undang-undang yang berkaitan dengan kesaksamaan gender perlu untuk memastikan setiap wanita menikmati kesaksamaan undang-undang.

“Kesamaan kewarganegaraan itu, bagaimanapun memerlukan perbincangan secara terperinci dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Peguam Negara terutama membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak sekian lama, banyak keluarga terjejas kerana undang-undang ini walaupun kita tiada data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai keseluruhan permohonan,” katanya.

Beliau mahu melihat isu ini secara mendalam kerana wanita yang terbabit adalah ibu warga negara ini.

“Justeru, saya melihat kempen ini tepat kerana wanita tidak harus diketepikan haknya kerana faktor gender. Jika tidak ditangani ia akan menjejaskan masa depan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Noor Aziah menafikan hak kewarganegaraan anak tidak lagi relevan hanya kerana melahirkan anak di luar negara dan perkara itu mempunyai sebab yang tersendiri.

“Tidak adil anak tiada kewarganegaraan kerana gender ibu. Situasi itu akan mengakibatkan keluarga berpecah-belah apabila tinggal berasingan, kos yang banyak untuk memperbaharui pas mereka.

“Apabila anak ini membesar mereka sukar mengikuti pembelajaran berikutan tiada perakuan warga negara,” katanya.

Berita Harian X