Selasa, 17 September 2019 | 10:49am
Usahawan Malaysia, Sharon Chin bersama produk tenunan yang dihasilkan dengan gabungan kontemporari dan tradisional.
Ven Sokunthea penenun dari Kemboja.
Majlis MoU antara Yayasan Maybank dan Muzium Negara Singapura.

Yayasan Maybank martabat seni tenun

SINGAPURA: Melihat tenunan pelbagai corak yang dihasilkan usahawan wanita tempatan dan beberapa negara ASEAN memaparkan keindahan sentuhan kreatif serta keunikan produk kraf tangan dari negara serantau.

Menerusi Pameran Entwine: Maybank Women Eco-Weavers meet Southeast Asian Artists berlangsung di Muzium Negara Singapura, baru-baru ini disertai 10 artis dan penenun tujuh negara serantau, termasuk Malaysia mampu memartabat industri hasil kraf tangan pada tahap tertinggi.

Pameran dianjurkan Yayasan Maybank juga membuktikan wujud kerjasama erat antara negara ASEAN dalam bidang seni dan budaya.

Usahawan tempatan, Sharon Chin, berkata program itu memberi peluang luas kepada penenun berpotensi untuk mempromosi produk ke luar negara.

“Saya menyertai program ini pada Ogos lalu. Sebelum ini penganjur memberi peluang saya menimba ilmu tenunan selama lima hari di Indonesia.

“Banyak yang saya belajar berkaitan tenunan tradisional dari Indonesia. Malah saya yang juga sebagai penenun kontemporari di Malaysia turut berkongsi ilmu kepada penenun Indonesia.

“Hasilnya, produk tenunan saya turut mengambil inspirasi tenunan tradisional dari negara itu untuk dipamerkan di Muzium Negara Singapura,” katanya ketika ditemui pada pameran Entwine: Maybank Women Eco-Weavers meet Southeast Asian Artists, di sini baru-baru ini.

Peserta Kemboja, Ven Sokunthea, 50, berkata pemilihannya sebagai wakil negara itu secara tidak langsung mengubah faktor sosial ekonomi hidupnya.

Beliau yang mula bergiat aktif dalam industri tenunan ini baru setahun setengah selepas mendapat kursus di Takeo Province & Siem Reap.

Tenun tradisi berkualiti

“Penyertaan saya dalam program bersama Yayasan Maybank ini sangat membantu mempromosikan hasil kerja tenunan yang menggunakan teknik tradisional memandangkan sudah tidak banyak tempat masih menggunakan kaedah lama.

“Bagi saya, kaedah menggunakan alat tenunan tradisional lebih berkualiti memandangkan kita menenun menggunakan benang dari ulat bulu sutera sehelai demi sehelai berbanding menenun menggunakan mesin yang cepat, tetapi belum tentu berkualiti kerja hasilnya,” katanya.

Khazanah seni budaya dihasilkan pengusaha tempatan khususnya dalam kalangan wanita tidak sahaja hebat di negara ini sebaliknya, turut mendapat perhatian di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, berkata Yayasan Maybank mengambil inisiatif memartabatkan produk tempatan di mata dunia.

Katanya, sebagai langkah awal majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan Maybank dan Muzium Negara Singapura, diadakan di republik itu baru-baru ini.

“Kerjasama itu merangkumi mempromosi seni budaya dan warisan Asia Tenggara termasuk anyaman tekstil.

“Saya melihat kerjasama itu amat besar membabitkan pelbagai bidang dan pihak meliputi penyelidikan, penerbitan, informasi, perkongsian teknologi dan menjadi tuan rumah bagi pameran kembara.

“Projek pertama, membabitkan pameran produk tenunan yang dihasilkan oleh penenun dari beberapa negara di pamerkan di Muzium Negara Singapura, baru-baru ini.

Promosi seni budaya\

MoU itu disempurnakan Shahril Azuar mewakili Yayasan Maybank bersama Pengarah Muzium Singapura, Chung May Khuen yang bernaung di bawah Badan Warisan Negara Singapura.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Maybank dan Yayasan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Timbalan Ketua Eksekutif Badan Warisan Singapura, Jennifer Tan.

Beliau berkata, produk kraf dari negara serantau itu memang unik dan seharusnya dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya melihat program itu dapat mengembang dan mempromosi kemahiran usahawan yang kreatif dan mampu menjana ekonomi penenun wanita dari seluruh negara ASEAN.

“Konsep pameran ini menunjukkan kepelbagaian anyaman tenunan tekstil di Malaysia, Laos, Kemboja dan Indonesia. Mereka bersatu dalam pameran bagi menyerlahkan warisan identiti dan kebanggaan negara ASEAN. Pameran ini menjadikan Maybank sebagai bank pertama mengembara dan meneroka pameran seni di ASEAN,” katanya.

Berita Harian X