Isnin, 9 September 2019 | 12:07pm
Dr Sherina pada sesi Taklimat Kesedaran Pengangguran Pesakit Kanser di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, baru-baru ini. - NSTP/Rosela Ismail

Bekas pesakit kanser alami beban kewangan

NASIB pesakit kanser umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana sukar untuk kembali bekerja berikutan tiada majikan yang mahu menggajikan mereka.

Sembuh daripada penyakit berkenaan sebenarnya lebih sukar bagi mereka berbanding ketika disahkan menghidap kanser kerana kehilangan punca pendapatan akibat kehilangan pekerjaan.

Timbalan Pengarah Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CARE UPM), Prof Dr Sherina Mohd Sidik, berkata Ramai pesakit kanser mengadu mengalami masalah kewangan sehingga mengalami kemurungan dan kegelisahan sehingga mengurangkan peluang untuk sembuh.

Katanya, kanser bukan lagi hukuman mati, malah pesakit mampu hidup lebih lama hasil teknologi perubatan yang canggih hari ini.

“Bagaimanapun, mereka sukar mendapat kerja berikutan sejarah kesihatan dialami dan berdepan kesan ekonomi sehingga terpaksa menangguhkan rawatan dan mendapatkan ubat-ubatan selain menjalani kualiti kehidupan rendah,” katanya.

Beliau ditemui pada Taklimat Kesedaran Pengangguran Pesakit Kanser di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly, Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE, UPM) dan JobsMalaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, pesakit perlu bekerja bagi mengalih tumpuan daripada kesakitan dialami dan berasa diri mereka sihat.

Pada masa sama, sesetengah terapi dilalui menyebabkan imun atau sistem ketahanan mereka menurun dan perlu mengelakkan daripada berjumpa orang ramai yang mungkin membawa jangkitan.

“Pergerakan fizikal, mental dan kognitif atau pemikiran mungkin terbatas kesan daripada kanser atau rawatan dijalani.

“Kesan rawatan bergantung kepada jenis dan tahap kanser, fizikal dan mental pesakit sepanjang menjalani rawatan selain jenis pekerjaan dijalankan, persekitaran kerja, tahap keanjalan kerja serta sikap terhadap pekerjaan mereka,” katanya.

Dr Sherena berkata, seorang pengurus atau majikan perlu memberikan keseimbangan ke atas prosedur syarikat.

Antaranya, mempertimbangkan keupayaan masuk bekerja kerana mereka memerlukan masa untuk menjalani rawatan, adakah pekerjaan itu membebankan mereka dan apakah keperluan pekerja lain.

Sementara itu, bekas pesakit kanser darah atau Non-Hodgkin lymphoma, M Harikrishnan , 30, berkata majikan masih ragu-ragu untuk mengambil seseorang untuk bekerja selepas melihat sejarah atau rekod lampau.

Katanya, ada individu yang bebas bebas daripada kanser tertentu tetapi lazimnya tidak diendahkan.

“Saya fikir tidak mudah untuk selamat daripada penyakit kanser, tetapi untuk kembali hidup selepas itu sebenarnya lebih sukar.

“Akibat tiada kerja, saya dipanggil untuk bercakap di persidangan perubatan dan berkongsi pengalaman melawan barah dan akhirnya diserap bekerja dalam Majlis Kanser Nasional (MAKNA), sebelum ditawarkan bekerja sebagai kaunselor di AirAsia,” katanya.

Beliau yang disahkan mengalami kanser darah itu sejak Julai 2014, ketika masih bergelar pelajar, berkata terpaksa bergelut dengan masalah kewangan selepas keluarganya berhabis duit untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Ibu bapa beliau terpaksa meminjam wang daripada kawan dan keluarga serta terpaksa merayu simpati orang ramai menerusi media.

“Doktor awalnya menyangka saya mengalami tuberkulosis atau tibi. Selama tiga bulan mengambil ubat untuk merawat penyakit berkenaan.

“Ini menyebabkan wang dihabiskan untuk membayar bil hospital sedangkan sebenarnya saya mengalami barah darah,” katanya.

Pengurus Pengambilan Pekerjaan Job Master, Ar Malar, berkata peluang untuk bekas pesakit kembali bekerja memang hampir sukar didapati tetapi pihaknya memainkan peranan untuk mencadangkan calon kepada majikan.

“Kebanyakan bekas pesakit lebih sesuai bekerja dalam bidang seperti perkhidmatan pelanggan, pentadbiran dan penyelaras. Ia juga bergantung kepada kemahiran mereka sama ada dalam kerja teknikal dan pengeluaran.

“Bagaimanapun, kebanyakan majikan mencari mereka yang sudah sembuh sepenuhnya,” katanya.

Panduan elak risiko barah

• Jalani amalan gaya hidup sihat, nikmati sajian seimbang. Banyakkan menu sayur-sayuran dan buah-buahan.

• Aktifkan diri, luangkan masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu melakukan riadah ringan. Setiap sesi 30 minit.

• Lakukan aktiviti yang boleh menggembirakan diri. Program sosial memberikan kesan kegembiraan yang baik untuk kesihatan.

• Tingkatkan oksigen dalam badan bertujuan menggantikan sel lama kepada sel baharu. Tanpa oksigen mencukupi badan tidak dapat berbuat demikian.

• Peka kepada perubahan dalam diri, jika ada rasa ketidakselesaan boleh terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan segera.

• Jika ahli keluarga pernah menghidap kanser, anda perlu melakukan pemeriksaan bagi mengesan gejala awal kanser.

Persiapan jika seorang ahli keluarga menghidap kanser

• Jangan panik kerana keadaan ini tidak membantu. Bawa anak, ibu atau ayah berjumpa doktor. Dapatkan maklumat tepat.

• Lakukan penyelidikan menerusi sesawang dipercayai, boleh berjumpa dua atau tiga pakar untuk dapatkan maklumat lanjut.

• Pesakit perlukan sokongan moral seluruh ahli keluarga. Teruskan sokongan sepanjang mereka menjalani rawatan.

• Sebaik selesai jalani rawatan, beri sokongan kepada pesakit untuk menyertai persatuan berkaitan kanser.

• Galakkan mereka aktif menerusi menghadiri aktiviti sosial dianjurkan.

• Aktiviti sedemikian menstabilkan emosi pesakit selepas berhadapan kesakitan kronik ketika menjalani rawatan sama ada pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.

Berita Harian X