Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:16pm
PENGERUSI Pertubuhan kebajikan wanita, Women Institut of Management (WIM), Datuk Dr Nellie Tan Wong. - Foto Amirudin Sahib.

Usah percaya berita palsu babitkan premis WIM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan kebajikan wanita, Women Institut of Management (WIM) menggesa semua ahlinya tidak terpengaruh dengan berita palsu mengenai pelupusan bangunan milik agensi berkenaan yang terletak kawasan strategik.

Pengerusinya, Datuk Dr Nellie Tan Wong berkata maklumat palsu yang dipaparkan menerusi artikel disiarkan menerusi satu laman web itu tidak sah.

Beliau berkata, tidak dinafikan laman web berkenaan memberi kesan negatif kepada individu yang ada dalam pengurusan WIM kerana membabitkan sejumlah pelaburan yang tinggi.

Katanya, dunia teknologi di hujung jari, maklumat diterima tidak semua tepat dan boleh dipercayai. Lebih lagi jika membabitkan urusan jual beli hartanah tanpa sebarang maklumat sahih.

“Maklumat menggesa pihak tertentu melabur sejumlah wang yang besar boleh mengundang kesan negatif. Ini kerana syarikat yang dipaparkan juga belum tentu wujud,” katanya ketika di Taman Tun Dr Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas pihaknya dikejutkan berita palsu mengenai penghapusan bangunan milik WIM terletak di Taman Tun Dr Ismail tanpa pengetahuan pihak pengurusan.

Katanya, ditegaskan bahawa premis WIM tidak akan dirobohkan untuk tujuan pembinaan rumah pangsapuri perkhidmatan (service apartments)

Bangunan enam tingkat dibina sejak 25 tahun lalu itu adalah usaha murni mantan Pengerusi WIM, Allahyarham Tan Sri Napsiah Omar bersama ahlinya.

Nellie berkata, berita palsu memaparkan maklumat tidak tepat mengenai penghapusan bangunan WIM di atas lot tanah bernombor 52396.

Tapak itu didakwa sudah diberikan kepada Pertubuhan Majlis Wanita Kebangsaan (NCWO) dan bukan milik WIM.

"Maklumat sungguh mengelirukan malah tiada urusan jual beli dan penghapusan bangunan WIM,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya bangunan WIM dihapuskan segala usaha murni Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini menjadi sia-sia.

"WIM bertindak sebagai pemangkin menjalankan program memperkasakan wanita dan keluarga terutama ibu tinggal keluarga miskin dan Orang Asli, bergerak tanpa mendapatkan sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Bangunan ini disewakan kepada beberapa agensi pendidikan dan syarikat yang memberi manfaat kepada orang ramai.

Pendapatan daripada aktiviti ini dimanfaatkan untuk pembangunan wanita secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, antara program dijalankan iaitu perbincangan mengenai isu keganasan wanita dan rumah tangga, ceramah kesihatan dan penyakit HIV.

Setakat ini, WIM dengan bantuan 40 sukarelawan turun padang menyantuni golongan sasar untuk tujuan pendidikan dan meningkatkan kesedaran pentingnya gaya hidup sihat dan cergas.

103 dibaca
Berita Harian X