Isnin, 26 Ogos 2019 | 7:47pm
Usaha memperkasakan wanita perlu diteruskan termasuk dari segi maklumat bantuan sokongan. - Foto hiasan

Prestasi wanita meningkat

KUALA LUMPUR: Persekitaran ‘mesra wanita’ perlu diterapkan dalam pelbagai aspek bagi memastikan lebih ramai golongan hawa berkerjaya kekal dalam tenaga kerja sama ada sektor awam mahupun swasta.

Wanita mempunyai peranan besar ke arah memantapkan lagi pengukuhan modal insan lantas kewujudan mereka amat relevan untuk meningkatkan pembangunan negara. Banyak kejayaan dan pengiktirafan ditempa golongan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa, sekali gus perlu kekalkan situasi berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata bagi mengekalkan prestasi dan kejayaan wanita di negara ini usaha memperkasakan golongan itu perlu diteruskan termasuk dari segi maklumat bantuan sokongan.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Katanya, dari segi emosi dan sokongan golongan itu mengalami pelbagai cabaran dan termasuk peranannya sebagai ibu dan wanita berkerjaya.

“Di negara ini sudah banyak badan bukan kerajaan (NGO) mahupun agensi kerajaan membantu golongan itu yang memberi sokongan dan jika mempunyai masalah mereka ada saluran untuk mengadu yang dibangunkan kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata, prestasi wanita di negara ini juga sudah meningkat dan terbukti dengan pencapaian wanita dalam pelbagai aspek termasuk pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Harapan saya jumlah wanita dalam jawatan penting ini terus meningkat dan pada masa sama bidang lain dipelopori wanita juga bersama-sama ke hadapan.

“Kini peratusan wanita dalam tenaga kerja mencapai 54 peratus meskipun sebilangan mereka mengurus keluarga.

“Saya juga harap waktu kerja anjal dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini supaya wanita dapat bekerja, mencapai impian dan menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata, corak jadual pekerjaan seharusnya ditukar dengan persekitaran kerja mesra wanita.

Kerajaan sejak awal tahun ini menerusi projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) yang dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, berkata cabaran melahirkan pemimpin wanita berkaliber adalah mereka perlu cekal dan bijak mengimbangi antara keluarga dan kerjaya.


Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak. - NSTP/Rosela Ismail

“Selain majikan sokongan suami dan keluarga berupaya menjadikan wanita lebih produktif di tempat kerja kerana mereka berpotensi mencapai kecemerlangan.

“Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan jumlah tenaga buruh di negara ini secara keseluruhan adalah 15.53 juta, dengan 6.06 juta adalah wanita,” katanya.

Beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh pada suku pertama tahun ini turut meningkat sebanyak 0.5 peratus iaitu, sebanyak 68.7 peratus berbanding 68.6 peratus tahun lalu.

Katanya, menerusi peningkatan memberangsangkan itu, penyertaan tenaga buruh wanita juga turut meningkat dari 55.6 peratus tahun lalu kepada 55.7 peratus tahun ini dan ia perlu diteruskan bagi melahirkan lebih ramai wanita bekerjaya di negara ini.

“Cabaran lain biasa dialami wanita adalah sokongan penjagaan anak terutama bayi kerana kosnya tinggi, tidak berdekatan dengan tempat kerja ibu serta kebanyakan tidak mempunyai kakitangan terlatih mencukupi dan mempunyai pensijilan untuk menjaga bayi.

“Ini perkara penting perlu diperbaiki memandangkan ia berkaitan dengan produktiviti ibu di tempat kerja supaya dapat bekerja dengan tenang tanpa bimbang,” katanya.

Beliau berkata, wanita di negara ini juga berhadapan dengan pandangan stereotaip yang meragui kebolehan wanita menjadi pemimpin.

“Masih ramai tidak mempercayai keupayaan wanita untuk menjadi pemimpin di tempat kerja organisasi dan dalam politik,” katanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Madeline Berma, berkata ramai wanita khususnya suri rumah tidak mempunyai jaminan keselamatan sosial (insurans) dan hanya bergantung kepada suami.


Pesuruhjaya SUHAKAM, Dr Madeline Berma. - NSTP/Sairien Nafis

Justeru, suara wanita perlu menggunakan saluran yang tepat bagi memperjuangkan hak mereka.

“Bagi melahirkan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja, perlu ada penambahan faedah pekerjaan dalam pelbagai segi,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita ( WAO), Sumitra Visvanathan, berkata cabaran utama dihadapi wanita di Malaysia adalah masih belum dapat menikmati hak asasi secara bersepadu.

“Misalnya hak untuk dilindungi termasuk selamat dari keganasan masih tidak dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengetengahkan realiti kehidupan mereka yang didera oleh pasangan,” katanya.


Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abd Manaf. - NSTP/Aswadi Alias

Sementara itu Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abd Manaf menyifatkan wanita di negara ini sudah berada pada landasan yang betul, semakin maju dan berdaya saing.

“Kerajaan juga dilihat positif dalam memastikan wanita menyumbang dengan lebih proaktif kepada pembangunan negara dengan memperkenalkan dasar seperti cuti bersalin, peruntukan untuk latihan dan program keusahawanan.” katanya.

175 dibaca
Berita Harian X