Selasa, 20 Ogos 2019 | 9:58am
Herric (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada pakar perunding ginekologi, Dr Melkeet Singh (kanan) pada Majlis Perasmian Suit Kemoterapi O&G di HWKKKL, semalam. - NSTP/Salhani Ibrahim

Sasaran dapat khidmat lebih selesa mula Oktober

KUALA LUMPUR: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur (HWKKKL) yang dijangka beroperasi sepenuhnya Oktober depan, pastinya menjanjikan keselesaan kepada pesakit.

Hospital menggabungkan dua jabatan iaitu Obstetrik & Ginekologi dan Pediatrik itu siap pada 2017 yang dibangunkan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Pengarah HWKKKL, Dr Roniyuzam Abd Malek, berkata pihaknya masih belum dapat menilai tahap perkhidmatan yang memulakan operasi Februari lalu, bagaimanapun proses perpindahan berjalan tanpa sebarang masalah.

“Pemindahan awal membabitkan kedua-dua jabatan secara berperingkat, muncul antara jabatan terbesar di HKL.

“HWKKKL adalah hospital yang menggabungkan pesakit wanita dan kanak-kanak, bagi memudahkan pergerakan ibu dan kanak-kanak mendapat rawatan selesa dan bersistematik.

“Perkhidmatan baharu yang lain disediakan, termasuk menubuhkan unit transplan dan pengasingan unit kecemasan bagi wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Suit Kemoterapi O&G, dengan menyambut pesakit pertama mendapatkan rawatan di suit berkenaan, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan O&G, Dr Noorhaliza Yussof, berkata HWKKKL turut menyediakan suit kemoterapi O&G yang memberi keselesaan kepada pesakit ketika menjalani rawatan.

“Rawatan kemoterapi yang disediakan di suit ini khusus bagi pesakit yang tidak kritikal dan boleh dihabiskan dalam masa satu jam.

“Ia bagi memberi keselesaan kepada pesakit mendapatkan rawatan harian, tanpa perlu bermalam di hospital tidak seperti sebelum ini.

“Suit kemoterapi mampu memuatkan lapan pesakit dalam sesuatu masa, disediakan khusus kepada wanita dengan hanya bayaran pendaftaran sahaja diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HKL, Dr Heric Corray, berkata HWKKKL masih di bawah penyeliaan HKL dan pihaknya bertanggungjawab memastikan perkhidmatan HWKKKL perlu berjalan lancar, tanpa sebarang masalah.

“Bangunan baharu ini juga menggunakan sistem berteknologi dan lebih sistematik, agar dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan orang ramai.

“Ini adalah kerjasama yang sangat baik antara kerajaan dan syarikat swasta, dalam membangunkan hospital ini.

“Malah, kami menjangkakan bermula 1 Oktober, HWKKKL akan beroperasi sepenuhnya dan merancang dapat mengadakan majlis perasmian pada Januari tahun depan,” katanya.

553 dibaca
Berita Harian X