Isnin, 17 Jun 2019 | 10:33am
Ruzita pernah mengalami keperitan hidup apabila ditinggalkan sehelai sepinggang.
Perniagaan spa bergerak antara platform membantu ibu tunggal meningkatkan taraf hidup. - Foto hiasan

Majukan ibu tunggal, selepas ditinggalkan sehelai sepinggang

PUCHONG: Diceraikan pada usia 33 tahun ketika sarat mengandung anak bongsu membuatkan usahawan kecantikan, Ruzita Jamaludin, 45, mendapat ilham menjadikan perniagaan berasaskan mobil spa sebagai platform membantu ibu tunggal meningkatkan taraf hidup.

Melalui kesusahan selepas ditinggalkan sehelai sepinggang memerlukan Ruzita bekerja tanpa henti dengan menjadi pemandu van sekolah, menjadi tukang masak hotel dan mengambil upah mengurut tradisional demi membesarkan dua anaknya dengan sempurna.

Tiada istilah penat dalam kamus hidup Ruzita, hasil ketabahan ada pelangi selepas hujan, lantas beliau yang juga pemilik Spa Mawar Putih, yang diusahakan lima tahun lalu, membuka peluang melatih ramai ibu tunggal untuk berjaya sepertinya.

Kini, menerusi latihan disediakan beliau sudah melahirkan lebih 800 usahawan dalam kalangan ibu tunggal, termasuk dari Singapura, untuk menceburi bidang spa bergerak (mobile spa) pelbagai bidang perniagaan.

Ideanya itu bukan sahaja berjaya membantu ibu tunggal meraih pendapatan kira-kira RM50,000 sebulan tetapi membakar semangat golongan itu meningkatkan tahap pendidikan mereka dengan memiliki Sijil Kemahiran MARA (SKM).

"Saya ceburi bidang ini dan tawarkan juga khidmat nasihat dan kemahiran kepada ibu tunggal kerana bidang seperti ini modalnya amat rendah kerana kita tawarkan perkhidmatan bukan jual produk.

"Kebanyakan ibu tunggal hilang arah selepas bercerai, tiada modal besar, tiada langsung kemahiran dan sukar bergerak ke mana-mana kerana perlu menjaga anak," katanya,

Beliau berkata, seorang bekas pelajarnya meraih pendapatan paling minimum RM10,000 sebulan.

Ruzita juga menyarankan setiap pelajarnya memiliki sekurang-kurangnya sijil SKM kerana yakin juruterapi yang dibekalkan kemahiran dan pendidikan lebih ke hadapan dalam meraih perhatian pelanggan.

Hasrat murninya itu disambut baik bekas pelajarnya dan sudah ramai yang memiliki kelayakan sijil selain bekalan kemahiran yang dipelajari.

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, hasrat menyediakan projek itu kerana mahu membantu lebih ramai wanita berdikari dan ada kemahiran untuk meraih pendapatan.

“Saya memahami hati dan naluri wanita yang diceraikan terutama yang tiada pekerjaan. Perceraian cukup menyeksakan terutama pada awal perceraian, jadi jangan menyesali nasib.

Sebagai guru bertauliah dalam pendidikan spa dan kecantikan dengan pengalaman lebih 25 tahun, beliau tidak berhenti mencari ilmu menerusi

pelbagai kelas, kursus pemasaran serta perniagaan untuk dikongsi bersama pelajarnya.

Ini kerana bidang kecantikan dan spa sangat diperlukan masyarakat, terutama khidmat berpantang.

Perniagaan spa bergerak antara platform membantu ibu tunggal meningkatkan taraf hidup. - Foto hiasan

“Ada pelajar saya mendapat RM10,000 sehingga RM50,000 hanya dengan menjadi tukang urut dan menawarkan khidmat menjaga wanita berpantang.

"Saya bangga daripada sehelai sepinggang, kini sudah ada kereta yang dibeli tunai dan rumah sendiri serta berpendapatan lumayan," katanya.

Ruzita berkata, selepas lebih lima tahun, siapa menyangka, beliau siapa sangka, beliau berjaya melahirkan sekumpulan kru spa bergerak Mawar Putih dalam jumlah besar di seluruh negara dan ia legasi perniagaan berkumpulan yang akan diteruskan.

Impiannya kini adalah mahu membuka akademi kecantikan dan spa yang boleh melatih lebih ramai wanita termasuk ibu tunggal menaikkan taraf hidup.

“Wanita yang mahu mempelajari ilmu ini, saya menawarkan kelas lengkap termasuk memberikan beg spa yang diisi produk juga kelas diajar secara peribadi.

“Dalam kelas, saya hanya mengajar dua pelajar supaya mereka lebih mudah faham dan fokus sepenuhnya. Saya pernah cuba ajar secara kumpulan tetapi hasilnya tidak sebaik secara individu,” katanya.

Ruzita berkata, program secara amali, termasuk kelas asas solekan secara percuma bagi mengubah personaliti diri ke arah lebih menarik.

“Saya ajar anak murid saya bagaimana cara betul menonjolkan kemahiran dan penjenamaan diri. Seorang juruterapi perlu memberi keutamaan kepada pelanggan kerana kepuasan mereka sangat penting bagi mewujudkan portfolio kerjaya yang baik dan konsisten,” katanya.

Perkhidmatan terbaik memberi keyakinan pelanggan mengulangi rawatan pada masa akan datang atau memperkenalkan kepada rakan atau saudara mereka.

Katanya, perkhidmatan spa bergerak amat sesuai diceburi ibu tunggal atau mereka yang masih berjinak-jinak dalam perniagaan kerana tidak memerlukan modal besar terutama untuk menyewa premis dan membayar kos.

“Semua orang boleh menyertai kelas ini, syaratnya perlu ada keinginan untuk berjaya dengan usaha berterusan.

"Tetapi setakat ini saya lihat ibu tunggal yang menjadi pelajar saya cukup komited. Ada yang sanggup gadai sementara barangan kemas mereka sebagai modal permulaan menjadi usahawan," katanya.

Kini beliau sedang sibuk menyiapkan pangkalan data semua bekas pelajarnya untuk dimasukkan dalam Laman Web Krew Mawar Putih untuk memberi peluang pelanggan memilih rawatan seperti khidmat berpantang, spa, urutan dan solekan dengan selama dua hari dengan kos RM1,500.

Berita Harian X