Sabtu, 25 Mei 2019 | 2:03pm
Ketua Bahagian Komunikasi Koporat BERNAS, Norliza Mat Isa (tiga kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Ketua Bahagian Komunikasi Koporat BERNAS, Norliza Mat Isa (tiga kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai pada program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bernas masak bubur lambuk resipi 10 negara

KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan yang mulia ini, Padiberas Nasional (BERNAS) dengan kerjasama Pasar Seni menyediakan 10 periuk bubur lambuk daripada resipi 10 negara pada program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya, Norliza Mat Isa, berkata juadah berkenaan diagih-agihkan kepada 5,000 pengunjung, menggunakan pelbagai beras yang ada di pasaran.

Beliau berkata, aktiviti tanggungjawab sosial itu disempurnakan oleh 30 tukang masak terdiri daripada warga BERNAS dan Pasar Seni menggunakan berat bermutu.

Katanya, pilihan beras yang digunakan iaitu beras merah, beras perang, beras hitam, beras putih, beras basmati, beras wangi, beras pulut dan beras calrose.

“Pada masa sama juga, pengunjung diberi penerangan mengenai panduan memilih beras secara sihat mengikut keperluan makanan harian. Lokasi pengagihan di kawasan letak kereta Pasar Seni kerana kedudukannya berhampiran hab pengangkutan awam seperti laluan transit aliran ringan atau LRT, komuter dan bas.

Ketua Bahagian Komunikasi Koporat BERNAS, Norliza Mat Isa (kanan) bersama Ketua Bahagian Perancangan Strategik BERNAS, Datuk Julainie Mohd Salleh (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelancong pada program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Ketua Bahagian Komunikasi Koporat BERNAS, Norliza Mat Isa (kanan) bersama Ketua Bahagian Perancangan Strategik BERNAS, Datuk Julainie Mohd Salleh (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelancong pada program Ikhlas BERNAS Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Tempat agihan itu juga menjadi tumpuan warga kota serta pengunjung tempatan dan pelancong asing. Lebih menarik, pelancong asing di situ berpeluang bersama warga kota sama-sama memasak, seterusnya mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai mulai jam 3.30 petang.

“Bubur lambuk sinonim dalam kalangan masyarakat Islam ketika berbuka. Sajian tinggi serat dan protein memberi tenaga tambahan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Perancangan Strategik BERNAS, Datuk Julainie Mohd Salleh.

Norliza berkata, pihaknya mengharapkan program ini memberi pengetahuan tambahan kepada orang ramai mengenai kepelbagaian khasiat beras dalam diet seimbang.

Bubur lambuk antarabangsa BERNAS

* Bubur Lambuk BERNAS beras perang kaya serat dan antioksidan

* Bubur Siam atau Juk dari Thailand.

Sajian menggabungkan beras merah dan putih tempatan. Beras merah mengandungi Vitamin B dan E, selain mempunyai nilai khasiat yang tinggi untuk kesihatan.

* Bubur Nombu Kanji dari India, gabungan beras wangi import dari Taiwan dan beras putih tempatan.

* Bubur Barobba cara Bugis (Indonesia) (beras wangi import dari Australia)

* Bubur Lambuk Singapura (beras basmati)

* Bubur Chao Ga (Vietnam) (beras pulut dan beras putih tempatan).

* Bubur Dakjuk (Korea Selatan) (beras hitam dan beras putih tempatan)

* Bubur Okayu (Jepun) (beras Calrose dan beras putih tempatan)

* Bubur Congee ayam dan halia (China) (beras wangi import)

* Bubur Khmer Bor Bor (Kemboja) (beras Kemboja Phkarkhnei yang amat popular sebagai makanan jalanan di Kemboja).

Berita Harian X