Isnin, 9 Julai 2018 | 12:58pm
 PENDUDUK menikmati kelazatan nasi minyak dan kari ayam - Foto NSTP
PENDUDUK menikmati kelazatan nasi minyak dan kari ayam - Foto NSTP
IDA Alina (empat dari kiri) bersama Hishamuddin dan perwakilan Malaysia di Namibia pada demonstrasi masakan Melayu Tradisional, baru-baru ini. - Foto NSTP
IDA Alina (empat dari kiri) bersama Hishamuddin dan perwakilan Malaysia di Namibia pada demonstrasi masakan Melayu Tradisional, baru-baru ini. - Foto NSTP

Kari ayam, nasi minyak pikat selera penggemar di Namibia

KUALA LUMPUR: Menjadi tanggungjawab semua pihak mempromosikan negara kepada masyarakat luar mengenai keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan syurga makanan.

Menyedari pentingnya usaha itu Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan kerjasama Organic Box Namibia menganjurkan program berkaitan bertujuan memberi panduan menyediakan juadah tradisi yang menjadi sajian istimewa,

terutama menjelang musim perayaan.

Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Ida Alina Salleh, berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan demonstrasi masakan Melayu menggunakan sumber tanaman setempat kepada masyarakat di sini, baru-baru ini.

Program berkenaan katanya, dipenuhi dengan sesi mengadun rempah kari resipi Malaysia, selain memperkenalkan herba dan pilihan daun untuk masakan lengkap kari ayam dan daging bersama nasi minyak.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri di Windhoek, berkata dia membeli serai dari Organic Box Windhoek setiap kali menyediakan juadah tradisional kepada perwakilan dari pelbagai negara yang bertugas di sini.

Katanya, memandangkan semua bahan asas menyediakan sajian Melayu mudah didapati, senang baginya untuk memperkenalkan sajian enak itu kepada masyarakat setempat.

Tanah subur

"Tanah di sini subur, tanaman seperti limau purut, lengkuas, serai memang hidup dengan sempurna.

"Jadi, salah satu cara untuk pastikan kesinambungan pengeluaran bahan ini, kakitangan yang bertugas di sini mengambil inisiatif mempromosikan makanan Malaysia menggunakan bahan berkenaan kepada penduduk tempatan.

"Apabila sudah pandai guna bahan ini, pastinya permintaan untuk tanaman sedemikian mendapat permintaan dalam kalangan mereka.

"Usaha ini juga sebahagian daripada inisiatif kami yang juga pegawai dan isteri kakitangan kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan syurga makanan lazat kepada masyarakat luar," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ida Alina berkata, panduan sebegini juga kata beliau, penting terutama kepada masyarakat Malaysia yang menetap di perantauan supaya lebih kreatif dalam menyediakan sajian tradisional khusus menjelang musim perayaan kepada tetamu.

DEMONSTRASI masakan Melayu Tradisional oleh Perwakilan Malaysia di Namibia. - Foto NSTP
DEMONSTRASI masakan Melayu Tradisional oleh Perwakilan Malaysia di Namibia. - Foto NSTP

Sesi interaktif

Sepanjang tempoh demonstrasi itu beliau berkata, peserta berminat mengetahui prosedur masakan memandangkan semua bahan asas penyediaannya mudah didapati di sini.

"Sesi interaktif dengan pertanyaan mengenai herba dan rempah digunakan, terutama ketika hendak menumis hingga garing semua ramuan sehingga menghasilkan aroma menyelerakan.

"Pada program itu juga, saya berkongsi pengetahuan mengenai sejarah Malaysia yang menjadi laluan utama pedagang rempah dari Eropah ke Asia untuk mendapatkan bekalan berkenaan suatu ketika dahulu," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia,

Hishamuddin Ibrahim, berkata promosi sajian makanan tradisional antara elemen memperkenalkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan istimewa.

Beliau berkata, sajian juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Malaysia di perantauan dengan penduduk setempat.

"Sejak bertugas saya dapati bahan mentah dan tumbuh-tumbuhan hidup subur di sini, namun tidak ramai dalam kalangan masyarakat setempat tahu menggunakannya.

"Dengan usaha ini diharap dapat berkongsi pengalaman mengoptimumkan bahan mentah sedia ada.

"Saya berterima kasih kepada Organic Box kerana sudi bekerjasama menjayakan usaha mempromosikan sajian Malaysia dengan penduduk di sini.

Info

Organic Box Namibia

Pembekal bahan organik

pelbagai pilihan produk segar

- Lobak putih

- Pak Choy

- Lada pelbagai spesies

- Bijirin seperti kacang dal

Membekalkan tanaman herba sesuai sajian Melayu tradisi

- Serai

- Lengkuas

- Daun pudina

- Daun ketumbar

Berita Harian X