Sabtu, 30 Jun 2018 | 11:14am

AVM ibarat bom jangka dalam otak

Sakit kepala berpanjangan sering dikaitkan dengan serangan migrain mungkin dianggap perkara biasa sesetengah individu.

Hakikatnya, apabila serangan terjadi pesakit dinasihat segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan kerana mungkin anda mengalami 'Arteriovenous Malformation' atau (AVM).

Serangan disebabkan kesan gumpalan dalam saluran darah otak mampu pecah hingga menyebabkan berlaku pendarahan serius.

Pakar Perunding Neuroradiologi dan Endovaskular Neurosurgeri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Khairul Azmi Abd Kadir, berkata gejala AVM berlaku pada semua peringkat usia.

Beliau berkata, simptom bermula pada usia 10 tahun hingga 40 tahun dan AVM boleh merosakkan tisu otak secara perlahan-lahan.

"Selepas mencapai usia 40 tahun, penderita AVM otak biasanya akan stabil dan jarang menunjukkan penyakit dengan ketara.

"Bagi wanita hamil, simptom boleh menjadi teruk disebabkan pertukaran tekanan dan penambahan jumlah darah," katanya.

Boleh menyebabkan kematian

AVM iaitu gumpalan salur darah tidak normal menghubungkan arteri dan vena, jika tidak dirawat meningkatkan risiko penghidapnya koma hingga mengakibatkan kematian.

Serangan boleh terjadi pada bahagian lain dalam tubuh, paling kerap bahagian otak dan saraf tunjang. Penyakit ini jarang berlaku dan hanya membabitkan kurang satu peratus daripada jumlah penduduk.

Penyebab serangan masih belum dipastikan, bagaimanapun kebanyakan pesakit menghidapinya sejak dilahirkan dan ada juga diserang kemudian. Namun, AVM jarang diwarisi sebagai penyakit keturunan.

AVM otak diklasifikasikan beberapa peringkat bergantung kepada saiz, lokasi dan bentuk gumpalan salur darah vena.

Serangan boleh dirawat menerusi beberapa prosedur rawatan bertujuan menghalang pendarahan daripada berlaku, selain mengawal sawan dan memulihkan kesan kerosakan sistem saraf.

Dr Khairul Azmi berkata, terdapat tiga cara rawatan bagi AVM otak iaitu pembedahan, embolisasi dan radiosurgery bagaimanapun dalam kes tertentu pesakit disarankan menjalani kombinasi rawatan untuk mendapatkan kesan rawatan yang terbaik.

Beliau berkata, embolisasi, kaedah rawatan AVM otak tanpa pembedahan dan kurang invasif. Rawatan ini tidak memerlukan pembedahan otak dan kesan parut di salur darah peha adalah sangat kecil.

Prosedur kurang risiko kesakitan

"Kaedah ini tidak sakit selain mengurangkan tempoh rawatan di hospital. Prosedur ini juga mengurangkan risiko jangkitan kuman berbanding pembedahan di kepala," katanya.

Beliau berkata, ketika dirawat pesakit dibius dan dibantu mesin pernafasan, pada masa sama pakar akan memasukkan tiub plastik halus dan panjang ke dalam salur darah pada bahagian peha.

Katanya, dengan bantuan mesin angiogram, tiub halus ini akan digerakkan secara perlahan hingga ke dalam salur darah otak. Cecair kontrast dimasukkan ke dalam tiub ini untuk mendapatkan imej salur darah dan AVM di dalam otak.

"Setelah mengenalpasti bahagian AVM yang perlu dirawat, cecair embolisasi disalurkan ke dalam AVM. Cecair ini akan mengisi ruang salur darah yang tidak normal, kemudiannya mengalami proses pengerasan serta menghilangkan AVM.

"Bergantung kepada saiz AVM, rawatan memakan masa beberapa jam dan dilakukan secara berperingkat. Rawatan dilakukan untuk mengurangkan saiz AVM supaya mudah dirawat secara pembedahan radio atau radiosurgery," katanya.

Mengenai kos rawatan pula, Dr Khairul Azmi berkata, membabitkan perbelanjaan besar kerana memerlukan kepakaran serta peralatan canggih.

Anggaran pula kata beliau, bergantung kepada saiz AVM dengan kos di antara RM20,000 hingga RM100,000. Kos tambahan dikenakan bergantung kepada gred dan lokasi AVM di otak, kesan sampingan bersifat sementara seperti kelemahan anggota boleh berlaku.

"Kesan kecacatan dan lumpuh kekal boleh berlaku, jika terdapat komplikasi pendarahan membabitkan bahagian penting dalam otak yang berfungsi mengawal pergerakan, pertuturan, keseimbangan dan penglihatan.

"Jika pendarahan serius berlaku ketika dan selepas prosedur embolisasi, risiko pesakit meninggal dunia tinggi," katanya.

Berita Harian X