Rabu, 11 April 2018 | 11:02pm

Inovasi kosmetik 'nanas' kurangkan radang kulit, kekeringan

KUALA LUMPUR: Terdedah secara terus kepada sinaran matahari sering kali mencetus masalah besar pada kulit terutama apabila mengakibatkan kekeringan dan keradangan.

Masalah ini sering kali dihadapi golongan seperti atlet atau pekerja lapangan, sekali gus mencetus idea sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membangunkan inovasi khusus bagi mengatasinya.

Inovasi dinamakan Water-Dispersible Nanostructured Bromelain itu dibangunkan Dr Rosnani Hasham@Hisam, Prof Ir Dr Ani Idris, Siti Fatimah Mohamad, Farah Diana Ariffin dan Siti Hajar Mat Sarip.


DR Rosnani (tengah) bersama produk Water-Dispersible Nanostructured Bromelain sempena Pameran Penyelidikan dan Pembangunan Expo Teknologi Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Projek dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Nanas Malaysia itu membabitkan pembangunan inovasi cecair semburan yang dihasilkan daripada bahan buah nanas sepert kulit, batang tengah dan daun.

Rosnani yang juga ketua penyelidik, berkata inovasi itu menyaksikan pengambilan bahan aktif daripada bahagian buah nanas yang dinamakan bromelin, yang kemudian diestrak menggunakan sistem enkapsulasi nano untuk menghasilkan mineral produk.

"Kita menggunakan bromelin kerana bahan ini adalah anti radang. Bahan ini juga cepat dan mudah menyerap serta sesuai diaplikasikan ke atas kulit setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspo Teknologi Malaysia (MET) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, baru-baru ini.

Mengenai kelebihan inovasi, Rosnani berkata ia mampu mempelbagaikan permintaan pasaran bagi produk kosmetik.


INOVASI dinamakan Water-Dispersible Nanostructured Bromelain ini dibangunkan Dr Rosnani Hasham@Hisam, Prof Ir Dr Ani Idris, Siti Fatimah Mohamad, Farah Diana Ariffin dan Siti Hajar Mat Sarip. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Inovasi pelbagaikan kelebihan sumber tempatan

Pada masa sama, katanya ia turut meningkatkan kelebihan dimiliki sumber tempatan kepada pengguna serta memperbanyakkan pembuatan produk kosmetik dan meningkatkan kelembapan kulit.

"Permintaan tinggi pengguna dan pengilang terhadap produk kosmetik yang mengandungi bahan semulajadi turut membantu meningkatkan pengeluaran produk seumpamanya.

"Selain itu, pendedahan kulit dalam tempoh lama terhadap cahaya matahari sehingga mengakibatkan jerawat, alahan dan keradangan, selain kos mahal bagi mendapatkan rawatan permasalahan kulit, mampu meletakkan inovasi ini sebagai produk pilihan berkesan," katanya.

Berkongsi cabaran membangunkan inovasi itu, Rosnani berkata kesukaran paling utama dialami kumpulan penyelidik adalah bagi mengenal pasti gabungan bahan asas disediakan tidak sensitif terhadap pengguna dan boleh diaplikasikan ke atas semua jenis kulit.

"Produk dipasarkan dalam bentuk botol ini boleh digunakan beberapa kali sehari apabila pengguna merasakan kulit mereka terdedah lama kepada matahari, terlalu kering atau kurang segar.

"Cara penggunaannya juga mudah iaitu dengan hanya menyembur ke bahagian wajah sama ada tanpa solekan atau di atas permukaan solekan.

"Saiz kandungan molukel bahan yang kurang daripada 200 nanometer membolehkan semburan ini masuk ke dalam kulit untuk mengekalkan keanjalan," katanya.


INOVASI Water-Dispersible Nanostructured Bromelain menyaksikan pengambilan bahan aktif daripada bahagian buah nanas yang dinamakan bromelin. - Foto Zulfadhli Zulkifli

INFO:
Water-Dispersible Nanostructured Bromelain

  • 2008 produk mula dibangunkan
  • Produk mula dipasarkan tahun ini
  • RM50 - harga sebotol produk bagi kandungan 100 mililiter
  • Maklumat lanjut hubungi 07-5531989 atau emel rosnani@ibd.utm.my atau layari laman web http://www.ibd.utm.my
Berita Harian X