Jumaat, 19 Januari 2018 | 7:45am
Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli pada pelancaran produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri
Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli pada pelancaran produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri

10 kali dibedah inspirasi jadi usahawan

PETALING JAYA: Bekas jahitan kelihatan seperti cekak rambut di kepala Nadia Zulkifli, 32, membawa seribu memori mengenai kisah silam beliau yang mengharungi pembedahan hampir 10 kali akibat ketumbuhan pada kepalanya.

Kesan pembedahan itu, Nadia bukan saja hilang penglihatan pada mata kiri tetapi juga hilang deria bau dan tidak mempunyai kening akibat pembedahan yang turut dilakukan pada dahinya.

Dilihat pada mata kasar, beliau nampak sempurna, namun wanita cekal ini tidak pernah patah semangat terus sebaliknya mengumpul kekuatan meskipun ada yang beranggapan beliau mungkin tidak hidup lama.

Sikap positif melawan penyakit dan sokongan padu keluarganya membuatkan anak bongsu daripada lima beradik ini hampir sembuh sepenuhnya selepas lima tahun bertarung nyawa.

Setiap kali Nadia mengimbau kembali kejadian hitam yang berlaku pada 2013 itu pasti membuatkan beliau dan keluarga beremosi. Ketumbuhan di bahagian kepalanya itu bukan kecil malah saiz seperti sebuah telefon pintar.

Nadia berkata, sejak di bangku sekolah beliau memang aktif bersukan, namun sering mengadu sakit di bahagian kepala.

"Sebelum ini saya hanya makan ubat tahan sakit, tetapi tiba-tiba satu hari saya memang sudah tidak dapat tahan sakit dan membuat pemeriksaan doktor.

"Doktor memberitahu ada ketumbuhan di kepala dan pada waktu itu saya tidak menjangkakan ia serius. Bagaimanapun, doktor mahu saya dibedah pada keesokan harinya.

Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli (dua dari kanan) bersama keluarganya melancarkan produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri
Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli (dua dari kanan) bersama keluarganya melancarkan produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri

"Apabila saya memberitahu keluarga, mereka yang sedih sedangkan saya bersikap positif dan berani membuat pembedahan itu," katanya ketika ditemui BH ONLINE, baru-baru ini.

Nadia berkata, operasi pembedahan berjaya dilakukan dalam tempoh lima jam.

Bagaimanapun, komplikasi berlaku apabila mata kirinya tidak memberi sebarang maklum balas.

"Tidak sampai satu jam saya kemudiannya dibedah lagi untuk melihat punca komplikasi itu. Bayangkan selepas kepala saya dijahit, ia terpaksa dibuka semula bagi memastikan prosedur yang dijalankan oleh doktor itu tiada kesilapan.

"Selepas diperiksa ternyata masalah mata itu adalah kesan daripada pembedahan terbabit. Bukan itu saja cecair otak juga seperti bocor dan terpaksa dikeluarkan melalui tulang sum-sum dan hidung.

"Akibatnya kedudukan otak beralih ke bahagian leher. Pembedahan dilakukan lagi," katanya.

Selepas pembedahan terbabit, Nadia masih membuat susulan di hospital bagi memantau keadaannya.

Katanya, pelbagai komplikasi yang dilalui dan menyebabkan beliau terpaksa melalui pembedahan hampir 10 kali dari semasa sejak beberapa tahun lalu.

Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli pada pelancaran produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri
Pengasas Flora Skincare By N'Adore, Nadia Zulkifli pada pelancaran produk rangkaian penjagaan muka Flora Skincare. - Foto Rohannis Shukri

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Jika melihat keadaan Nadia pada ketika itu ramai yang menjangkakan beliau sudah tidak mempunyai masa depan dan sekiranya selamat sekali pun mungkin tidak dapat hidup normal apatah lagi berkahwin.

Nadia berkata, berkat sokongan keluarga terutama ibunya, Tumina Juladi, 65, setahun selepas pembedahan beliau bertemu jodoh dan kini dikurniakan dua cahaya mata berusia dua tahun dan 10 bulan.

Katanya, yang turut berkongsi kisah di akaun media sosialnya, apa yang dilalui memberi inspirasi kepada pesakit lain yang turut mengalami nasib sepertinya.

Selepas apa yang dilaluinya, beliau juga perlu membuat radioterapi sebanyak 30 sesi sehingga menyebabkan kulit Nadia terbakar teruk.

Beliau optimis mencuba pelbagai jenis produk bagi memulihkan kulitnya seperti sedia kala.

"Saya menggunakan pelbagai produk berasaskan semula jadi dan Alhamdulillah ia berjaya dipulihkan. Semua yang berlaku ini akhirnya mencetuskan idea membantu orang lain merawat kulit dengan mengeluarkan produk sendiri.

Berita Harian X