Ahad, 22 Oktober 2017 | 1:47pm
Pengarah Jabatan Pelaksanaan Jangkauan SKMM, K Jusly Ellis (depan kanan) bersama Ahli jawatankuasa Pusat Pertubuhan IKRAM Malaysia, Profesor Madya Ainullotfi Abd Latif (depan kiri) melepaskan peserta Love Myself Run 2017 di Padang Merbok. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Ketagihan pornografi cetuskan pemangsa seksual'

KUALA LUMPUR: Ketagihan segelintir golongan masyarakat menonton pornografi bukan saja meruntuhkan akhlak dan nilai moral, tetapi juga cenderung menjadikan individu terbabit sebagai pemangsa kes gejala sosial.

Sekretariat Pertubuhan Wanita IKRAM Malaysia (Wanita IKRAM), Dr Shamsuriani Md Jamal, berkata golongan ibu bapa khuatir jika ahli keluarga mereka menjadi mangsa rogol, sumbang mahram atau terbabit dengan seks bebas berikutan amalan menonton pornografi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ramai yang sedar ketagihan itu turut berpotensi menjadikan mereka pemangsa.

"Kajian ke atas lebih 300 remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini mendapati, mereka menonton pornografi seawal usia 10 tahun walaupun secara tidak langsung.

"Perkara ini amat membimbangkan. Mereka bermula dengan melihat gambar lucah dan apabila ia tidak lagi mendatangkan kepuasan, mereka berjinak-jinak menonton video.

"Ada antara anak berusia 10 tahun mendapat akses menonton pornografi secara tidak langsung menerusi pautan laman sesawang yang muncul secara tiba-tiba ketika menggunakan internet, selain ada yang menontonnya menerusi perkongsian rakan sebaya.

"Ketagihan ini bertambah buruk apabila mereka menjadikan pornografi sebagai medium mencari keseronokan, terutama apabila berasa murung," katanya ketika ditemui pada acara larian amal Love Myself di Padang Merbok di sini, hari ini.

Kira-kira 1,000 peserta mengambil bahagian dalam larian sempena kempen Malaysian Against Pornography sebagai antara inisiatif Wanita IKRAM menangani isu pornografi.

Dr Shamsuriani yang juga Pengarah kempen terbabit berkata, ia dijalankan sejak tiga bulan lalu atas dasar tanggungjawab selepas menyedari peningkatan kes membabitkan gejala sosial dalam kalangan remaja.

"Saya dan lima doktor lain banyak menguruskan kes seksual seperti penderaan, rogol dan anak luar nikah.

"Pelbagai usaha dijalankan, antaranya kursus dalam talian secara percuma meliputi tajuk seperti mementingkan hak penjagaan diri, bijak siber dan bahagia tanpa pornografi.

"Kami turut ke sekolah untuk meningkatkan kesedaran isu ini. Kempen ini bukan saja untuk kesedaran wanita, kanak-kanak atau remaja saja tetapi juga ibu bapa.

"Kecenderungan individu menonton pornografi merangsang mereka untuk menjadi pemangsa.

"Sebelum keadaan masyarakat menjadi lebih parah, individu seperti ini perlu dikenal pasti untuk dibantu," katanya.

Sementara itu, Rosie Orisa Matthais, 42, menyertai larian terbabit sebagai tanda sokongan menentang pornografi.

Beliau yang bertugas sebagai guru berkata, kesedaran mengenai bahaya pornografi perlu ditanam dalam pemikiran anak muda manakala ibu bapa juga kerap memantau laman sesawang dilayari.

"Ramai pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun dilarang. Mereka menggunakan Wi-Fi sekolah dan kami dapat kesan ada yang melayari sesawang pornografi.

"Inisiatif seperti kempen secara agresif perlu dilakukan supaya ia dapat dikawal menerusi kesedaran terhadap bahaya kesan pornografi," katanya.

Amin Mubarak Mohd Junid, 20, terpanggil menyokong kempen terbabit kerana menyifatkan tema 'menentang pornografi' sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius.

Penuntut universiti awam (UA) itu mengakui akses terhadap laman sesawang lucah mudah diperoleh, malah ada golongan menyifatkan perbuatan melayari atau menyimpan video pornografi sebagai biasa.

"Ia seakan-akan terlalu normal sehingga masyarakat boleh bergurau mengenainya. Hakikatnya, ia tidak normal dan perlu dibendung.

"Saya berpendapat kempen seperti ini memerlukan sokongan kerajaan supaya kesedaran mengenainya boleh disebarkan secara lebih meluas.

"Kita mempunyai tanggungjawab terhadap situasi yang berlaku ini," katanya.

Jika selama ini tanggapan ramai golongan lelaki melayari pornografi, pemantauan Ammar Hasbullah, 21, di universitinya mendapati ada wanita turut terjebak dalam gejala terbabit.

Ammar berkata, ia dikesan menerusi penggunaan Wi-Fi awam di universiti dan pihak atasan yang mempunyai akses memantau kegiatan pelajar.

"Gejala ini serius dan perlu dibendung secara lebih agresif. Saya bimbang lebih ramai akan terjebak dengan aktiviti sosial secara bebas. Justeru, kempen seperti ini wajar disokong," katanya.

Berita Harian X