Sabtu, 4 Februari 2023 | 8:45am
Kos sara hidup meningkat, golongan berpendapatan rendah sering terkesan, jadi perlu tingkatkan kemahiran. - Foto hiasan
Kos sara hidup meningkat, golongan berpendapatan rendah sering terkesan, jadi perlu tingkatkan kemahiran. - Foto hiasan

Elak jadi 'jutawan hutang'

Setiap kali bajet tahunan negara dibentangkan, setiap kali itulah rakyat akan menanti dengan penuh harapan.

Mereka mahu agar aspek pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi keselesaan. Sudah tentu mereka mengharapkan usul ekonomi yang dibentangkan itu mampu membantu mereka dalam

menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ramai yang tidak sedar kos sara hidup tidak semata-mata berkaitan peningkatan gaji dan upah dalam sektor tertentu dan jawatan tertentu.

Begitu juga persoalan dengan gaji minimum yang ditawarkan dalam sektor berkenaan dalam menampung kehidupan seharian.

Lazimnya masyarakat umum melihat kos sara hidup dalam lingkungan kumpulan berpendapatan rendah dan mengaitkannya dalam corak perbelanjaan terhadap gaji yang diterima.

Petunjuk kos sara hidup mampu memberi gambaran sebenar mengenai pembangunan dan kehidupan masyarakat setempat. Petunjuk ini juga mampu menceritakan kelangsungan hidup sesebuah masyarakat.

Data menunjukkan bahawa 80 peratus masyarakat Malaysia adalah mereka yang mendapat pendidikan sehingga ke tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekiranya mereka menggunakan sijil ini untuk mendapatkan pekerjaan maka sudah tentu gaji permulaan yang mereka terima adalah rendah.

Dalam hal ini sudah tentu penekanan untuk rakyat mendapatkan tahap pendidikan tinggi serta berkemahiran perlu ditekankan.

Peluang tingkatkan taraf hidup

Peluang untuk melanjutkan pelajaran. Cabaran ini bukan sahaja dalam membantu negara untuk mencapai status negara maju tetapi juga dalam membantu kumpulan kurang berkemampuan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

Matlamat menyediakan peluang pendidikan, kemahiran dan bantuan pendidikan perlu disampaikan kepada ibu bapa.

Ibu bapa terutama daripada keluarga berpendapatan rendah dan memiliki tahap pendidikan rendah perlu disedarkan untuk menggalakkan anak-anak mereka tidak hanya terhenti belajar sehingga tahap SPM, tetapi perlu melanjutkan pelajaran sehingga pada peringkat universiti.

Sekiranya usaha ini tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, kita akan melihat sampai bila-bila masyarakat terus hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka akan terus dihimpit kemiskinan sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Upah yang rendah dan tidak mempunyai kemahiran hanya akan menggalakkan aktiviti perbelanjaan yang tidak teratur. Kumpulan ini tidak mempunyai peluang untuk melabur atau menyimpan.

Mereka juga tidak mempunyai daya beli yang tinggi.

Sedangkan pada masa yang sama trend generasi muda dilihat cukup selesa untuk hidup dengan bergantung kepada kad kredit dan pinjaman dalam merealisasikan impian untuk hidup dengan mewah.

Maka, lahirlah ramai 'jutawan hutang.' Sebenarnya satu pelan jangka panjang diperlukan dalam menangani beban kenaikan kos sara hidup.

Hanya dengan peningkatan kemahiran dan pendidikan serta kesediaan majikan untuk memberi upah yang setimpal mampu mengatasi masalah bebanan ekonomi yang melanda rakyat.

Penetapan gaji minimum yang dilihat mampu membantu rakyat berpendapatan rendah tanpa disertai dengan tahap pendidikan dan kemahiran yang setara sebenarnya boleh mendatangkan kesan kepada ekonomi.

Golongan yang paling terkesan adalah kumpulan berpendapatan sederhana yang mempunyai kemahiran tersepit dengan golongan berpendapatan rendah yang mendapat gaji hampir sama dengan mereka.

Ada yang berpandangan bahawa sistem ekonomi yang bercelaru akan memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat pada masa akan datang.

Adalah dikhuatiri kumpulan anak muda tidak lagi berminat untuk mendapatkan kemahiran ataupun menyambung pelajaran apabila ditawarkan dengan penetapan gaji minimum ini.

Negara berpendapatan tinggi adalah juga negara yang mempunyai rakyat dan pekerja yang berkemahiran tinggi.

Justeru, penekanan kepada tahap pendidikan dan kemahiran lebih tinggi adalah cara yang tepat bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Berita Harian X